Skip to content
Home » 347,300 Pemilik Kenderaan Benarkan Individu Tiada Lesen Memandu Setakat Jan 2019 hingga Mei 2022

347,300 Pemilik Kenderaan Benarkan Individu Tiada Lesen Memandu Setakat Jan 2019 hingga Mei 2022

    LESEN MEMANDU

    Salah satu syarat wajib untuk memandu kenderaan di Malaysia adalah memiliki lesen memandu yang sah. 

    Bagaimanapun, masih lagi ramai individu dikesan memandu tanpa lesen walaupun amaran berhubung kesalahan itu kerap kali diberikan. 

    Lebih menyedihkan, banyak juga pemilik kenderaan seolah-olah mengambil mudah dengan membenarkan kereta atau motosikal mereka dipandu oleh anak dibawah umur dan juga individu yang tidak mempunyai lesen. 

    55,000 kesalahan di 5 bulan pertama 2022

    Buktinya setakat Januari hingga Mei tahun ini sahaja, sebanyak 55,000 kesalahan melibatkan pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tiada lesen membawa kenderaan mereka telah direkodkan di seluruh negara.

    Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly seperti memetik laporan berkata, kebanyakan kesalahan tersebut melibatkan ahli keluarga terutama ibu bapa yang mana mereka membenarkan anak-anak termasuk di bawah umur memandu tanpa lesen dengan alasan tidak munasabah.

    “Menurut pemerhatian dan analisis terkini JPJ, tiada perubahan sikap dan tanggungjawab yang ketara dalam kalangan pemilik kenderaan tentang perkara itu dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. 

    “Ia boleh dilihat dengan jelas apabila direkodkan 347,300 pemilik kenderaan didapati membenarkan individu tiada lesen membawa kenderaan mereka dari Januari 2019 hingga Mei tahun ini,” katanya.

    Hukuman denda atau penjara

    Mana-mana pemilik kenderaan yang didapati ingkar dengan membenarkan individu tidak layak memandu kenderaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

    Ia termasuklah denda tidak kurang RM300 dan maksimum RM3,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu, kenderaan juga boleh disita mengikut Seksyen 64 (1) di bawah akta yang sama. 

    Infografik: Bernama

    Dapatkan lesen memandu yang sah

    Justeru diingatkan, sebelum ingin memandu di jalan raya, pastikan anda mempunyai lesen yang sah. Ia bagi mengelakkan tindakan dikenakan bukan sahaja terhadap anda, malah juga kepada pemilik kenderaan itu sendiri. 

    Ikut sahaja prosedur ini untuk mendapatkan lesen memandu anda:

    1. Daftar dengan sekolah memandu untuk mendapatkan Lesen Belajar Memandu (biasanya dikenali sebagai ‘Lesen L’)

    2. Selesaikan Ujian Teori Undang-Undang Komputer selama 45 minit. Anda perlu mendapat markah 42/50 atau lebih tinggi untuk lulus.

    3. Selepas mendapat lesen L, selesaikan pula sesi latihan memandu di litar sekurang-kurangnya 16 jam.

    4. Cukup tempoh latihan, teruskan dengan ujian memandu di jalan raya. Ujian memandu anda akan termasuk ujian bukit, ujian tiga penjuru, parking sisi, mengundur dan memandu di jalan besar.

    5. Kini anda boleh memandu secara sah dengan lesen Percubaan (Lesen P) untuk tempoh 2 tahun. Selepas tamat 2 tahun, anda anda diberikan Lesen Memandu Kompeten (CDL).

    Untuk mengetahui prosedur lengkap bagi mendapatkan lesen memandu, sila baca perkongsian kami yang lalu dalam artikel ini.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: