Skip to content
Home » 5 Aplikasi Pemanduan Yang Perlu Ada Dalam Telefon Bimbit Anda 

5 Aplikasi Pemanduan Yang Perlu Ada Dalam Telefon Bimbit Anda 

    Aplikasi pemanduan

    Aplikasi pemanduan yang dimuat turun pada telefon bimbit dapat membantu anda ketika sedang memandu di jalan raya. 

    Sesetengah aplikasi sememangnya sangat penting dan berguna. Tanpa berlengah lagi, di sini kami senaraikan beberapa jenis aplikasi yang boleh memudahkan pemanduan anda.

    Waze

    Waze merupakan aplikasi berasaskan komuniti yang boleh anda gunakan untuk navigasi GPS, memeriksa keadaan trafik dan pengangkutan awam.

    Aplikasi ini akan sentiasa mengumpul maklumat – ia akan dikemaskini dengan pantas untuk membantu pengguna mendapatkan laluan yang paling cepat. Pengguna boleh melaporkan kemalangan, kesesakan lalu lintas dan perkara lain yang berpotensi memperlahankan pemanduan. Secara tidak langsung, pengguna lain boleh mendapat manfaat daripada maklumat ini dan seterusnya mengelakkan laluan tersebut.

    Selain itu, Waze juga boleh mengira dan memberikan anggaran masa perjalanan anda dari lokasi terkini ke destinasi yang ingin dituju.

    Google Maps

    Sama seperti Waze, Google Maps juga membantu menunjukkan laluan kepada pengguna dan menggunakan maklumat trafik semasa untuk mencari alternatif laluan terbaik ke destinasi yang ingin dituju.

    Tidak hanya membantu pengguna memberikan arah jalan, anda juga boleh mendapatkan butiran mengenai tempat menarik, seperti berkaitan restoran, komen, foto dan banyak lagi menerusi Google Maps.

    Selain untuk pemandu, pejalan kaki juga boleh menggunakan aplikasi ini untuk mencari arah berjalan kaki untuk mereka. Klik sahaja pada ikon pejalan kaki pada halaman aplikasi ini. Laluan pada peta akan berubah sedikit mengikut kaedah pengangkutan pilihan pengguna.

    Touch ‘n Go

    Aplikasi Touch ‘n Go merupakan salah satu aplikasi yang perlu ada untuk mereka yang menggunakan Smart Tag atau RFID.

    Ia adalah aplikasi yang menghubungkan anda ke tag RFID dan kad Touch ‘n Go anda. Pengguna boleh menggunakan aplikasi ini untuk menambah nilai kad mereka terus daripada telefon tanpa perlu melakukannya secara fizikal di kios.

    Jangan risau, TNGD memberi jaminan bahawa butiran anda tidak akan dikongsi atau dijual kepada mana-mana pihak lain.

    Aplikasi Lebuhraya PLUS

    Aplikasi PLUS daripada PLUS Malaysia Berhad boleh membantu anda merancang perjalanan anda di sepanjang laluan lebuh raya yang dilalui.

    Apakah yang ditawarkan oleh aplikasi ini untuk pengguna lebuh raya PLUS:

    • Mengira kadar tol untuk perjalanan anda 
    • Menyediakan pseudo-live camera bagi kamera lebuh raya
    • Cari tempat menarik sepanjang perjalanan seperti tempat pemandangan yang indah, restoran atau kawasan R&R

    Aplikasi PLUS ini sesuai untuk mereka yang melalui Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, BKE, NKVE, Elite, Link ke Dua, dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

    Find My Car

    Anda terlupa mana anda parkirkan kereta? Jangan risau, aplikasi Find My Car memberi perkhidmatan lokasi GPS untuk membantu anda mencari kereta anda.

    Bagaimana untuk menggunakan aplikasi ini? Mudah sahaja, anda hanya perlu menamakan lokasi dan pilih jenis lokasi, kemudian klik butang Simpan lokasi. Apabila anda perlu mencari kereta anda, buka sahaja aplikasi ini dan klik butang Kembali ke Lokasi. Anda akan melihat lokasi kereta anda dipaparkan pada peta. Kemudian, berjalanlah ke arah kereta anda.

    Gunakan aplikasi pemanduan untuk memudahkan perjalanan anda

    Aplikasi-aplikasi ini boleh memberi manfaat kepada pemandu tetapi hati-hati ketika menggunakannya. Jangan sehingga ia mengganggu pemanduan anda pula ya! 

    Pastikan anda memuat turun aplikasi-aplikasi di atas sebelum memulakan pemanduan anda dan bukan semasa anda memandu! 


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: