Skip to content
Home » 5 Perkara Asas Yang Wanita Kena Tahu Mengenai Kereta

5 Perkara Asas Yang Wanita Kena Tahu Mengenai Kereta

    Tips kereta wanita

    Soal penjagaan kereta tidak boleh diambil mudah. Namun apabila bercakap mengenai penjagaan kereta, pada kebiasaannya golongan yang lebih pakar tentang perkara ini adalah kaum lelaki berbanding wanita. 

    Sebagai langkah keselamatan, semua pemilik kenderaan termasuk golongan wanita perlu peka dan tahu beberapa perkara mengenai kereta bagi kemudahan diri sendiri.

    Justeru pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda khususnya golongan wanita mengenai beberapa asas mengenai kereta yang perlu diberikan perhatian sebagai persediaan.

    Perkara asas wanita perlu tahu mengenai kereta

    Tayar

    Pastikan tekanan udara pada tayar mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kilang

    Tayar merupakan salah satu komponen yang sangat penting untuk setiap jenis kenderaan. Ingat, kegagalan anda untuk memastikan keadaan tayar kereta sentiasa berada dalam keadaan yang baik boleh merisikokan diri anda dan pengguna jalan raya yang lain.

    Salah satu tips asas penjagaan tayar adalah anda perlu memastikan tekanan udara pada tayar mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kilang. Jika tekanan udara tayar terlebih atau terkurang, ia boleh menyebabkan tayar anda mudah retak dan pecah. Selain itu, permukaan tayar anda juga boleh haus dengan lebih cepat.

    Ukur tahap kehausan tayar anda dengan melihat tanda di bahagian tengah bunga tayar tersebut. Pastikan bunga pada tayar tidak kurang dari takat tanda. Jika lebih daripada tanda tersebut, ini bermakna tayar tersebut perlu ditukar kerana ia sudah lagi selamat untuk digunakan. 

    Buat pemeriksaan tayar seminggu sekali. Pastikan bunga pada tayar tidak kurang dari takat tanda.

    Bateri

    Untuk makluman anda, terdapat dua jenis bateri yang digunakan pada kereta iaitu sel kering dan sel basah. Untuk mengetahui jenis bateri kereta anda, anda boleh melihat pada permukaannya.

    Jika ia adalah jenis sel basah, bateri tersebut akan mempunyai tutup tempat untuk mengisi air suling, dan sel kering pula adalah sebaliknya. 

    Jangka hayat bateri biasanya bertahan 18 bulan sehingga 2 tahun. Namun jika penggunaannya terlalu kerap, ada kemungkinan bateri kereta akan habis lebih awal dari tempoh yang sepatutnya. Namun, ada juga bateri yang mampu bertahan lebih lama sehingga 4 tahun, tetapi harganya agak mahal berbanding bateri lain.

    Andai kata anda mengalami masalah untuk menghidupkan enjin, ada kemungkinan bahawa masalah tersebut berpunca daripada bateri kereta anda sudah habis.

    Minyak enjin

    Minyak enjin penting untuk memastikan kereta anda senyap (lancar) dan perjalanan jauh tidak mengalami masalah.

    Untuk makluman anda, minyak enjin kereta perlu ditukar mengikut tempoh masa penggunaan atau jumlah jarak perjalanan kereta anda. Minyak enjin jenis semi-sintetik boleh digunakan sehingga 5,000 km atau 3 bulan manakala minyak enjin jenis sintetik penuh boleh digunakan sehingga 10,000 km atau 6 bulan.

    Jangan biarkan minyak tersebut di dalam enjin kereta melebihi had yang ditetapkan kerana ini boleh meninggalkan keladak yang akan melekat dan menebal pada bahagian dalam enjin. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah lain pada enjin kelak.

    Anda boleh mengetahui sukatan atau kelikatan minyak enjin melalui penyukat minyak enjin atau lebih dikenali sebagai “dipstick”.

    Anda juga disyorkan untuk menukar penapis minyak (oil filter) setiap kali anda menukar minyak enjin.

    Penapis udara (air filter)

    Pastikan penapis udara atau air filter kereta anda ditukar setiap 20,000km bagi melancarkan penapisan penyedutan udara luar masuk ke injection. 

    Belajar cara ‘jump start’ bateri kereta

    Belajar cara jump start bateri kereta untuk kesenangan anda kelak

    Enjin kereta anda mungkin tidak boleh dihidupkan secara tiba-tiba. Jadi, penting untuk anda tahu cara jumper kereta bagi memudahkan urusan anda kelak. Pastikan kabel ‘jumper’ sentiasa berada di dalam kereta ya!

    Tak tahu cara nak jumper kereta? Ikut je langkah-langkah di bawah ini:

    1. Pastikan enjin dan suis kedua-dua kenderaan dimatikan
    2. Parkirkan kereta anda dengan ‘penderma’ berdekatan satu sama lain
    3. Sambungkan klip kabel jumper merah ke terminal positif kedua-dua bateri kereta
    4. Sambung pula klip kabel jumper hitam pada terminal negatif kereta bantuan dan satu lagi kepada “grounding” kereta bateri kong
    5. Hidupkan enjin kereta ‘penderma’ 
    6. Hidupkan enjin kereta bateri kong
    7. Biarkan enjin kedua-dua kereta berjalan selama 5-10 minit
    8. Cabut kabel jumper
    9. Pandu uji kereta selama lebih kurang 30 minit untuk mengecaj kembali kuasa bateri.

    Moga bermanfaat

    Tips yang dikongsikan di atas tidak hanya boleh digunakan oleh pemilik kenderaan wanita sahaja, malah ia juga turut berguna kepada pemandu baru dan pemilik kenderaan lain di luar sana yang kurang kemahiran mengenai kereta.

    Dengan mengetahui beberapa perkara asas di atas, ia setidak-tidaknya dapat mengurangkan risiko berlakunya kerosakan tidak diduga dan melancarkan perjalanan anda.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: