Bolehkah Anda Tukar Warna Cat Kereta Tanpa Kelulusan?

Pengubahsuaian warna cat kereta perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selari dengan Seksyen (12) Akta JPJ 1987.

Info

Written by:

Warna kereta sememangnya menjadi salah satu kriteria utama sebelum kita membeli sebiji kereta bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan juga untuk orang lain. Ada yang mungkin menggemari warna terang seperti biru atau kuning, tidak kurang ada juga yang sukakan warna-warna gelap seperti hitam dan sebagainya.

Sekadar maklumat untuk dikongsikan kepada anda, berdasarkan data yang diperoleh daripada Carsome Insight 2020, warna kereta yang paling popular di Malaysia adalah warna akromatik (putih dan perak), dan diikuti dengan warna hitam, kelabu, biru dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, ada kalanya taste kita mulai berubah dan untuk beberapa tempoh selepas membelinya, justeru perasaan untuk menukar warna cat kereta mulai timbul. Namun persoalannya, boleh anda sebagai pemilik kereta menukar warna cat kereta sesuka hati tanpa mendapatkan kelulusan pihak berwajib dahulu?

Bolehkah anda sesuka hati tukar warna cat kereta?

Tunggu dulu! Sebenarnya, pengubahsuaian pada warna cat kereta perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selari dengan Seksyen (12) Akta JPJ 1987 – Pemeriksaaan Kenderaan Motor dan Pemberian Maklumat kepada Ketua Pengarah.

Anda perlu membuat permohonan kelulusan pengubahsuaian warna kenderaan ini dalam tempoh 7 hari bagi mengelakkan kenderaan daripada dikenakan tindakan undang-undang seperti saman.

Kenapa kelulusan JPJ diperlukan?

“Nak tukar cat kereta pun kena dapat kelulusan dulu. Rumitnya!”

Mesti ada yang tertanya-tanya mengapa kelulusan daripada JPJ perlu dilakukan sedangkan ia hanyalah penukaran warna cat kereta bukan?

Mungkin nampak remeh pada anda. Namun sebenarnya, ia penting untuk keselamatan anda kelak. Contohnya, andai kata berlaku insiden tidak diingini seperti kemalangan, kecurian atau sebagainya, maka warna kenderaan yang didaftarkan boleh dijadikan sebagai rujukan, termasuklah daripada aspek tuntutan insurans. Perbezaan antara rekod pendaftaran dan keadaan semasa kereta mungkin boleh menjadi sumber pertikaian semasa tuntutan insurans nanti.

Jika kenderaan anda terlibat dalam kemalangan dan pihak insurans mendapati warna kereta yang dinyatakan dalam rekod pendaftaran tidak sama dengan warna semasa kenderaan, pihak insurans pula mungkin tidak mahu menanggung kerugian yang dialami oleh pemilik. Jadi ia pasti akan merugikan anda, bukan?

Bagaimana cara/ proses nak tukar warna cat kereta?

Jangan risau, proses pendaftarannya adalah sangat mudah malah anda tidak akan dikenakan sebarang bayaran pun.

Ikut dan lakukan sahaja langkah-langkah seperti di bawah ini:

  1. Sebelum ingin mendapatkan kelulusan daripada JPJ, anda terlebih dahulu perlu mengecat kenderaan anda kepada warna yang baru. Jika lebih daripada satu warna, warna yang paling banyak akan dianggap sebagai warna utama kenderaan anda
  2. Selesai mengecat, anda perlu datang ke pejabat JPJ untuk tujuan pemeriksaan dan kemas kini maklumat
  3. Isikan borang JPJ K8 (pindaan butir-butir kenderaan) dan serahkan kepada pegawai yang bertugas. (Untuk lebih mudah dan pantas, anda boleh download dahulu borang ini di portal rasmi JPJ bagi mengelakkan kesesakan)
Borang JPJ K8 boleh dimuat turun terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di JPJ
  1. Pegawai JPJ akan memeriksa warna pada kenderaan anda sebelum kelulusan diberikan. Jika lulus, maklumat anda kemudiannya akan dikemas kini di dalam sistem MySikap.

Jika anda menukar warna kenderaan secara wrap (dibalut dengan pelekat khas), proses yang sama juga perlu dibuat.

Panduan tukar warna cat kenderaan oleh JPJ

Untuk makluman anda juga, berdasarkan Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pemilik kenderaan yang menukar warna kereta perlu diberi suatu Notis Arah Periksa atau PG1. 

Notis tersebut diberikan supaya pemilik boleh memaklumkan kepada JPJ mengenai perubahan warna kenderaan yang dilakukan. Pihak JPJ biasanya tidak mengeluarkan saman atas sebab pemilik menukar warna sesebuah kenderaan. Namun, saman dikeluarkan apabila pemilik ingkar Notis Arah Periksa atau PG1.

Semoga bermanfaat!


Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

Baca juga: