Skip to content
Home » Kemalangan Kereta: Apa Jadi Jika Pihak Melanggar Anda Enggan Bertukar Maklumat?

Kemalangan Kereta: Apa Jadi Jika Pihak Melanggar Anda Enggan Bertukar Maklumat?

    Tuntutan insurans

    Terlibat dalam kemalangan kereta di jalan raya sudah cukup mendukacitakan, lebih-lebih lagi jika kita sudah cukup berhati-hati dan dilanggar pula oleh kenderaan lain. Bermula dari sini jugalah, anda sudah perlu mula fikirkan mengenai tuntutan insurans bagi memastikan kereta anda dapat dibaiki di bengkel panel. Namun, tahukah anda apa yang lebih menjengkelkan? Ia apabila pemandu lain yang terlibat dalam kemalangan itu enggan bertukar maklumat dengan anda.

    Perlu anda tahu, bagi memfailkan tuntutan insurans, anda perlu mengumpulkan sebanyak mungkin butiran bagi memastikan tuntutan anda tidak ditolak. Maklumat tersebut termasuklah butiran mengenai pemandu lain yang terlibat. Apa yang boleh anda lakukan dalam situasi ini?

    Jangan risau. Anda tidak perlu panik jika pihak terbabit enggan kongsikan maklumat insurans dan pendaftaran keretanya. Anda tetap boleh mendapatkan semua maklumat yang anda perlukan walaupun pemandu tersebut enggan bekerjasama dan bertukar-tukar butiran insurans dengan anda. 

    Dalam artikel ini, kami akan kongsikan panduan mengenai perkara yang boleh anda lakukan apabila pemandu yang tidak bertanggungjawab enggan memberikan maklumat mereka.

    Apakah yang menyebabkan pemandu lain yang terlibat enggan berkongsi maklumat?

    Mungkin terdapat beberapa sebab mengapa pemandu lain akan teragak-agak untuk memberikan maklumat insurans mereka. Boleh jadi mereka ingin mengelakkan akibatnya terutama apabila mereka dipihak yang bersalah. Menjadi pihak yang bersalah bermakna syarikat insurans mereka perlu membayar kerosakan kenderaan anda yang disebabkan oleh kecuaian mereka.

    Berikut adalah merupakan antara sebab lazim mengapa pihak bersalah teragak-agak untuk berbuat demikian:

    • Mereka memandu tanpa insurans yang sah
    • Lesen mereka telah melepasi tarikh luput
    • Memandu kereta orang lain tanpa kebenaran
    • Memandu di bawah pengaruh dadah/ alkohol
    • Mereka mempunyai terlalu banyak kemalangan yang telah direkodkan

    Berhati-hati, mungkin ada yang cuba melarikan diri sebelum anda mempunyai peluang untuk berbincang dengan mereka.

    Apakah maklumat yang mesti dikongsi di tempat kejadian?

    kemalangan kereta

    Selepas kemalangan, pihak yang terlibat harus berkongsi butiran yang diperlukan seperti di bawah:

    1. Nama
    2. Maklumat kenderaan
    3. Nombor telefon
    4. Butiran MyKad
    5. Maklumat insurans (nama syarikat, nombor polisi)

    Apakah yang boleh anda lakukan jika pemandu lain yang terlibat enggan kongsikan maklumat?

    Hubungi pihak berkuasa

    Dalam keadaan begini, bertenang. Kami menasihati anda untuk menghubungi pihak berkuasa untuk melaporkan kemalangan itu. Sangat penting untuk anda menghubungi polis dan membiarkan mereka datang ke tempat kejadian bagi mengelakkan sebarang tuduhan/ penilaian yang tidak tepat.

    Elak memburukkan keadaan dengan terlibat dalam pertengkaran sementara menunggu polis tiba. Anda mungkin berasa jengkel, namun sebaiknya jangan letakkan diri anda dalam masalah lain. 

    Sebaik sahaja polis tiba, mereka akan mengumpul maklumat daripada kedua-dua belah pihak. Pemandu lain tidak boleh menolak untuk memberikan maklumat tertentu apabila polis memintanya. Pastikan anda maklumkan kepada pegawai polis bahawa pemandu terbabit enggan kongsikan maklumat mereka, supaya mereka tahu bahawa mereka perlu menyampaikannya kepada anda.

    Kumpulkan butiran yang diperlukan

    Walaupun mereka enggan kongsikan maklumat insurans mereka, anda masih boleh kumpulkan butiran dengan melihat sekeliling tempat kejadian.

    Catatkan model dan nombor pendaftaran kenderaan yang melanggar anda. Selain itu, sila ambil gambar yang jelas mengenai kerosakan pada kenderaan anda. Catatkan kemalangan secara terperinci – tentang bagaimana kemalangan itu berlaku dan periksa jika terdapat sebarang kecederaan.

    Laporkan kemalangan itu kepada syarikat insurans anda

    Segera hubungi syarikat insurans anda untuk maklumkan kepada mereka mengenai kemalangan selepas anda membuat laporan polis. Syarikat insurans akan membantu anda untuk memfailkan tuntutan insurans terhadap pihak ketiga dan membolehkan kenderaan anda dihantar ke bengkel panel insurans bagi membaiki kerosakan akibat kemalangan.  

    Tetapi bagaimana jika mereka melarikan diri dari tempat kejadian?

    Jangan risau, anda mungkin masih mendapat akses mengenai maklumat insurans mereka sekiranya anda catat/ ingat nombor pendaftaran kenderaan pihak ketiga tersebut. Maklumat insurans kereta adalah rekod awam. Syarikat insurans anda akan dapat mencari syarikat insurans mereka berdasarkan nombor platnya.

    Jangan panik jika pemandu lain yang terlibat enggan bertukar maklumat

    Kemalangan kereta sememangnya boleh membuatkan anda tertekan. Sudah tentu, anda mahu memastikan tuntutan insurans anda berjalan dengan lancar, tanpa sebarang masalah. Walau bagaimanapun, keengganan serta kedegilan pihak lain untuk kongsikan maklumat mereka boleh mengganggu penyelesaian yang sepatutnya.

    Jika ini berlaku kepada anda pada masa hadapan, sila bertenang. Ikut sahaja panduan yang kami telah kongsikan ini. Kami harap anda tidak akan menghadapi banyak masalah dan dapat menyelesaikan tuntutan anda dengan lebih cepat dan mudah. 


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: