Nak Renew Insurans? Fahami Polisi Insurans Anda!

Amat penting untuk anda memahami satu persatu terma, syarat dan lain-lain supaya perlindungan yang terbaik dapat dipilih

Insurans Kereta

Written by:

Beli insurans kereta tanpa memahami apa yang terkandung dalam polisi insurans sebenarnya boleh merugikan anda. Adalah amat penting untuk anda memahami satu persatu terma, syarat dan lain-lain supaya perlindungan yang terbaik dapat dipilih dan seterusnya memudahkan urusan tuntutan sekiranya memerlukan kelak.

Jadi, sila teruskan membaca artikel ini untuk menambah pengetahuan anda mengenai maksud dan apa yang terkandung di dalam polisi insurans kereta anda.

Jenis perlindungan insurans

Jenis-jenis polisi insurans

Pada kebiasaannya, terdapat tiga jenis perlindungan/ polisi insurans yang ditawarkan oleh syarikat insurans iaitu:

  • Polisi komprehensif – menawarkan perlindungan paling menyeluruh iaitu kepada pemegang polisi dan juga pihak ketiga. Turut dikenali sebagai insurans 1st party
  • Polisi pihak ketiga, kecurian dan kebakaran – memberi perlindungan kepada kenderaan pemegang polisi dalam kejadian kecurian atau kebakaran yang tidak disengajakan. Ia turut melindungi pihak ketiga sekiranya berlaku kematian atau kecederaan akibat daripada kemalangan yang berpunca daripada anda.
  • Polisi pihak ketiga – merupakan polisi paling asas dan hanya melindungi pihak ketiga sahaja.

Fahami lebih lanjut mengenai ketiga-tiga jenis polisi insurans kereta di atas menerusi artikel yang telah dikongsikan sebelum ini.

Perkara yang dilindungi

Perkara yang dilindungi merujuk kepada kejadian yang membolehkan anda untuk membuat tuntutan dan mendapat ganti rugi daripada syarikat insurans. Penting untuk anda mengetahui setiap perlindungan yang diberikan oleh syarikat insurans di bawah polisi anda supaya tidak timbul sebarang masalah atau salah faham ketika proses tuntutan.

Sebagai contoh bagi perlindungan komprehensif, teliti dan fahamkan kejadian-kejadian yang membolehkan anda untuk mendapatkan pampasan bagi kerosakan/ kerugian pada kenderaan anda. Lihat juga manfaat lain yang disediakan oleh syarikat insurans di dalam polisi anda supaya anda tidak kerugian.

Contohnya, polisi komprehensif Takaful Malaysia ada menyediakan perlindungan untuk kemalangan peribadi secara percuma kepada pemandu dan penumpang sekiranya kematian atau kecacatan kekal berlaku ketika dalam perjalanan. Dengan manfaat ini, anda mungkin tidak perlu lagi mengambil perlindungan kemalangan peribadi yang lain dan menjimatkan wang.

Perkara yang tidak dilindungi

Anda hanya boleh membuat tuntutan kerosakan kereta akibat banjir jika ada mengambil perlindungan tambahan peril khas.

Polisi insurans anda tidak mungkin melindungi semua perkara yang berlaku terhadap kereta anda. 

Perkara atau kejadian yang tidak dilindungi merujuk kepada pengecualian-pengecualian yang tersenarai di dalam polisi insurans  yang mana anda tidak akan dibayar kerugian untuk kejadian tersebut. 

Sebagai contoh kerosakan pada kenderaan anda akibat banjir. Jika anda tidak mengambil perlindungan tambahan peril khas, maka anda tidak boleh membuat tuntutan untuk sebarang kerosakan kerana ia tidak terkandung dalam perlindungan asas polisi insurans komprehensif anda.

Contoh kejadian lain adalah kerosakan pada tayar. Syarikat insurans tidak akan membayar ganti rugi untuk sebarang kerosakan pada tayar kecuali jika bahagian-bahagian lain kereta anda juga turut rosak pada masa yang sama.

Tempoh perlindungan 

Tempoh perlindungan insurans bermaksud tarikh kuatkuasa insurans yang dinyatakan sehingga tarikh luputnya untuk perlindungan insurans sepertimana yang dinyatakan di dalam polisi/ jadual. 

Pada kebiasaannya, tempoh perlindungan untuk insurans kereta adalah selama satu tahun dan perlu diperbaharui pada setiap tahun selagi anda adalah pemilik kereta tersebut.

Contoh:

Tempoh perlindungan untuk insurans kereta

Jumlah yang diinsuranskan

Renew insurans mengikut nilai pasaran atau nilai yang dipersetujui

Jumlah yang diinsuranskan adalah jumlah maksimum kenderaan dapat diinsuranskan bersesuaian dengan nilai pasaran semasa kenderaan tersebut. Ia (jumlah yang diinsuranskan) akan menurun sebanyak 10% setiap tahun apabila harga kereta menurun atau mengikut harga pasaran kereta.

Ketika memperbaharui insurans, anda boleh memilih untuk menginsuranskan kenderaan mengikut nilai pasaran atau nilai yang dipersetujui.

Excess

Excess adalah amaun pertama yang anda perlu tanggung sendiri bagi setiap tuntutan yang diluluskan oleh syarikat insurans, walaupun kejadian itu bukan kesalahan anda.

Walau bagaimanapun, excess tidak akan dikenakan jika kerugian atau kerosakan yang dialami adalah akibat daripada kebakaran, letupan, disambar kilat, pecah masuk, pecah rumah, kecurian, kerosakan harta pihak ketiga atau tuntutan kecederaan tubuh badan pihak ketiga. 

Tahu lebih lanjut mengenai excess melalui artikel yang telah dikongsikan sebelum ini.

No claim discount (NCD)/ Diskaun tanpa tuntutan

Jika anda telah melindungi kereta anda selama 12 bulan secara berterusan dan anda atau sesiapa sahaja yang lain tidak pernah membuat sebarang tuntutan terhadap polisi dalam tempoh tersebut, suatu diskaun NCD akan diberikan setiap kali insurans anda diperbaharui. 

Kadar NCD akan meningkat setiap tahun insurans diperbaharui selagi anda tidak membuat tuntutan mengikut peratusan yang telah ditetapkan.

NCD adalah hak peribadi anda dan ini bermakna anda juga boleh memindahkan NCD anda daripada kereta lama ke kereta baru. 

Lihat cara-cara memindahkan NCD dalam artikel sebelum ini.

Perlindungan tambahan

Jenis-jenis perlindungan tambahan yang sering ditawarkan oleh syarikat insurans dan takaful

Perlindungan tambahan adalah perlindungan yang tidak dimasukkan dalam ‘perlindungan asas’ polisi ketika memperbaharui insurans.

Antara jenis-jenis perlindungan tambahan yang sering ditawarkan oleh syarikat insurans adalah:

  • Pemandu tambahan
  • Cermin kereta
  • Bencana alam
  • Rusuhan dan kemusnahan awam
  • Aksesori kereta; dan banyak lagi.

Pemandu dinamakan

Ia merujuk kepada orang yang anda namakan di dalam polisi yang dibenarkan memandu kereta anda.

Excess wajib sebanyak RM400 tidak akan dikenakan jika kereta anda dipandu oleh pemandu dinamakan dengan syarat mereka mempunyai lesen memandu yang sah bagi jenis yang relevan dan tidak hilang kelayakan dari segi undang-undang untuk memandu atau kerana sebab-sebab lain dan mesti berumur lebih daripada 21 tahun pada masa kejadian. 

Di Malaysia, pemilik kereta boleh menamakan satu pemandu (selain pemilik) untuk dimasukkan ke dalam polisi secara percuma. Namun, ada juga sesetengah syarikat insurans/ takaful memberikan manfaat perlindungan untuk semua pemandu secara percuma seperti Takaful Malaysia, Etiqa Takaful dan Lonpac.

Premium Asas, Premium Kasar dan Premium Akhir

Premium Asas: Kadar premium untuk polisi insurans anda sebelum ditolak NCD.

Premium Kasar: Jumlah premium yang ditetapkan selepas NCD ditolak.

Premium Akhir: Jumlah sebenar yang anda perlu bayar kepada syarikat insurans untuk menghidupkan semula polisi insurans anda. Premium akhir ini biasanya ditetapkan selepas premium asas anda ditolak NCD, kemudiannya ditambah dengan perlindungan tambahan (jika ada), caj cukai perkhidmatan (SST), dan juga duti setem.

Fahami lebih lanjut menerusi situasi di bawah ini:

Formula asas untuk mengira harga insurans kereta di Malaysia
Pengiraan harga insurans kereta

Endorsmen 

Endorsmen adalah dokumen/ borang yang dikeluarkan oleh syarikat insurans untuk mengesahkan sebarang perubahan atau peluasan perlindungan pada sijil asas.

Ia juga merujuk kepada terma tambahan yang akan dikenakan kepada pemegang polisi atau perlindungan tambahan jika anda telah membayar premium tambahan.

Di bawah ini merupakan contoh borang endosmen oleh syarikat Takaful Ikhlas.

Contoh borang endosmen oleh syarikat Takaful Ikhlas.

Fahami dan dapatkan perlindungan terbaik

Diharap perkongsian ini sedikit sebanyak dapat menambah pengetahuan anda mengenai perkara-perkara penting di dalam polisi insurans dan seterusnya membantu anda mendapatkan perlindungan yang terbaik. 

Anda juga boleh mendapatkan lebih banyak info mengenai insurans kereta melalui platform Bjak. Pelbagai panduan dan tips untuk perbaharui insurans kereta ada dikongsikan di sini.