Skip to content
Home » Pengecualian Cukai Jalan Sehingga Tahun 2025 untuk Pemilik Kereta EV dan Kategori OKU

Pengecualian Cukai Jalan Sehingga Tahun 2025 untuk Pemilik Kereta EV dan Kategori OKU

    Pengecualian cukai jalan EV dan OKU

    Berita baik untuk pemilik kenderaan elektrik dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU)!

    Kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini melaksanakan pengecualian fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau turut dikenali sebagai cukai jalan sepenuhnya kepada Kategori Kenderaan Motor Elektrik (EV) dan kenderaan yang membawa atau dimiliki oleh golongan OKU

    Pengecualian fi pembaharuan cukai jalan itu diberikan sehingga akhir tahun 2025.

    Pengecualian fi cukai jalan EV

    Pemilik kenderaan motor elektrik (EV) boleh mula membuat permohonan untuk pengecualian fi cukai jalan bermula 15 Februari 2022.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memetik laporan berkata, bagi pengecualian fi cukai jalan untuk kenderaan elektrik atau EV, ia hanya membabitkan kenderaan yang sepenuhnya dipacu sumber elektrik sahaja, sama ada yang dikuasakan bateri atau ‘Fuel Cell’.

    Jelas Wee, pengecualian fi cukai jalan tersebut tidak terpakai untuk kenderaan jenis hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol mahupun diesel.

    Pemilik kenderaan motor elektrik (EV) boleh mula membuat permohonan untuk pengecualian fi cukai jalan bermula 15 Februari 2022.

    Pengecualian fi cukai jalan kenderaan OKU

    Permohonan pengecualian fi cukai jalan bagi kenderaan untuk kegunaan atau dimiliki OKU boleh dilakukan mulai 15 Mac 2022

    Bagi pengecualian fi cukai jalan sepenuhnya untuk kenderaan kegunaan OKU, Wee memaklumkan bahawa ia hanya terpakai kepada kenderaan yang diubah suai khas untuk kegunaan OKU atau bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai, pengecualian hanya diberikan kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan Kereta Nasional sahaja.

    “Kenderaan terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan atas nama individu OKU itu dan individu OKU terbabit hendaklah sudah berdaftar serta mempunyai kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

    Menurut Wee, pengecualian fi cukai jalan juga turut diberikan kepada kenderaan motor yang didaftar atau dimiliki ibu bapa atau penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU. Namun syaratnya, individu OKU terbabit sudah berdaftar dengan JKM.

    Maklum Wee, rebat akan diberikan kepada pemilik kenderaan di dalam dua kategori berkenaan yang sudah melesenkan kenderaan mereka sama ada cukai jalan baharu atau pembaharuan mulai 1 Januari lalu iaitu sebelum daripada tarikh mula permohonan berkenaan. 

    Pihak berkenaan boleh berkunjung ke mana-mana kaunter JPJ untuk menyerahkan semula cukai jalan dan berhak dibayar balik dengan cara rebat dalam sebarang amaun seperti yang telah ditetapkan. 

    “Seterusnya, pemilik kenderaan atau wakil boleh memohon bagi mendapatkan pengecualian LKM terhadap kenderaan mereka mengikut ketetapan pengecualian itu,” jelasnya lagi seperti memetik laporan.

    Permohonan pengecualian fi cukai jalan bagi kenderaan untuk kegunaan atau dimiliki OKU boleh dilakukan mulai 15 Mac 2022.

    Hubungi khidmat pelanggan JPJ untuk maklumat lanjut

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai insentif ini, anda boleh menghubungi talian khidmat pelanggan JPJ yang disediakan untuk anda.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.