Skip to content
Home » Hati-Hati! Polis Dedah Taktik Macau Scam Menyamar Jadi Ejen Insurans

Hati-Hati! Polis Dedah Taktik Macau Scam Menyamar Jadi Ejen Insurans

    Macau Scam Tipu Jadi Ejen Insurans

    Macau Scam!

    Jenayah penipuan dalam talian ini bukan lagi satu perkara baru malah ia kerap berlaku sejak beberapa tahun lalu di negara ini.

    Menurut rekod, keseluruhan hampir RM405.7 juta wang rakyat Malaysia telah mengalami kerugian hasil daripada penipuan Macau Scam dari tahun 2018 sehingga September 2020 dengan empat negeri mencatatkan kerugian tertinggi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

    Untuk makluman anda juga, analisis yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bahawa golongan yang kerap menjadi mangsa Macau Scam adalah individu yang berusia 51 tahun ke atas.

    Jadi Ejen Insurans Pula

    Tahukah anda, Macau Scam didalangi sindiket China serta Taiwan yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan juga tempatan.

    Terbaru, polis mendedahkan modus operandi Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans bagi memperdaya mangsa.

    Perkongsian itu telah dibuat menerusi laman Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police, baru-baru ini.

    Di bawah ini merupakan modus operandi yang dilakukan:

    1. Suspek menghubungi mangsa melalui panggilan telefon.

    2. Mangsa dikatakan ada membuat tuntutan insurans.

    3. Apabila mangsa menafikan, mangsa diminta untuk membuat laporan polis melalui panggilan telefon.

    4. Mangsa kemudian dihubungi oleh pihak polis. Mangsa kemudian dikatakan terlibat dengan kes jenayah penggubahan wang haram / dadah.

    5. Mangsa diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan bagi tujuan siasatan.

    6. Wang mangsa kemudian dipindahkan oleh suspek ke akaun keldai.

    Maka mangsa pun tersedar telah ditipu apabila baki wang di dalam akaun telah berkurang.

    Modus operandi Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans

    Modus operandi ‘popular’ Macau Scam

    Berhati-hati dengan taktik Macau Scam

    Menurut Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia KPN, Datuk Asmawati Ahmad seperti memetik laporan, antara modus operandi yang sering dilakukan oleh Macau Scam adalah dengan membuat panggilan palsu dan kononnya:

    Menawarkan cabutan bertuah 

    Pada kebiasaannya, mangsa diperdaya bahawa ‘dia’ telah memenangi cabutan bertuah benilai jutaan dollar dari syarikat Hong Kong dan Macau.

    Pemanggil (scammer) kemudiannya memberikan nombor telefon untuk dihubungi jika mangsa mahu menuntut hadiah berkenaan. Jika bersetuju, mangsa seterusnya dikehendaki untuk membayar cukai dan insurans dengan memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi membolehkan hadiah dituntut. Setelah pembayaran dibuat, mangsa akhirnya gagal menghubungi semula pemanggil, malah hadiah juga tidak diterima.

    Tipu culik dan minta wang tebusan

    Antara taktik popular penipuan Macau Scam adalah mendakwa ahli keluarga telah diculik dan minta wang tebusan

    Mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa anak atau saudaranya diculik. Mangsa kemudiannya diperdaya supaya memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan oleh pemanggil (scammer)

    Spoofing pegawai polis atau agensi kerajaan

    Pengadu menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku kononnya dia adalah pegawai mahkamah dan polis. Pemanggil kemudiannya mendakwa bahawa mangsa terlibat di dalam kegiatan haram (seperti ah long dan pengedaran dadah) dan mangsa pada akhirnya diminta untuk memindahkan wang dari akaunnya ke dalam akaun tertentu, bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa kononnya.

    Spoofing pegawai bank negara atau bank komersial (kad kredit)

    Mangsa menerima panggilan daripada scammer yang mengaku sebagai pegawai bank, dengan dakwaan bahawa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. Mangsa kemudiannya diarah untuk menghubungi seseorang, kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan. Akhirnya, mangsa diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke nombor akaun tertentu melalui e-banking atau melalui mesin deposit tunai (CDM).

    Apakah itu spoofing?

    Spoofing merupakan teknik di mana pemanggil (scammer) akan berkomunikasi menggunakan platform Voice Over Internet Protocol (VoIP) bagi membolehkan pemanggil tersebut meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya mangsa bahawa pemanggil adalah dari nombor yang tertera di skrin.

    Apa yang perlu dilakukan bagi mengelak jadi mangsa Macau Scam?

    1. Jangan panik atau mudah mengikut arahan yang diberikan oleh mana-mana individu yang dibuat melalui panggilan telefon.
    2. Jangan hubungi semula nombor telefon tersebut. Dapatkan dulu pengesahan dengan menelefon nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi berkenaan.
    3. Jangan sesekali mendedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit kepada orang tidak dikenali
    4. Layari portal rasmi BNM untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan dan seumpamanya.

    Nombor telefon rasmi Bjak

    Dalam pada itu, di sini Bjak kongsikan nombor telefon rasmi yang anda boleh hubungi sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung insurans kereta, insurans nyawa mahupun perubatan.

    Nombor telefon rasmi Bjak – 03 92131717

    Nombor WhatsApp Bjak – 016-6999129

    Ingat, jangan biarkan diri anda terpedaya dengan sebarang bentuk scam, termasuklah Macau Scam ini!


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.