Skip to content
Home » Polis Panggil Ahli Kelab Kereta Bergambar di Lorong Kecemasan

Polis Panggil Ahli Kelab Kereta Bergambar di Lorong Kecemasan

    Kereta Bergambar di Lorong Kecemasan

    Beberapa keping gambar yang menunjukkan deretan kereta berhenti di lorong kecemasan di kedua-dua arah di Lebuhraya Temiang-Pantai, Seremban, Negeri Sembilan, tular di media sosial sejak 22 Januari lepas. Pemilik-pemilik kenderaan tersebut dipercayai memberhentikan kenderaan masing-masing di lorong kecemasan untuk bergambar di lebuh raya berkenaan. 

    Berdasarkan laporan Harian Metro kelmarin, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihak polis akan memanggil pemilik-pemilik kereta berkenaan yang dipercayai ahli sebuah kelab kereta untuk memberi keterangan dalam masa terdekat. 

    Menurut Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, pihak polis telah mengenal pasti sebanyak 48 buah kereta yang terlibat. Sebagai permulaan, pihaknya akan memanggil ketua kelab kereta tersebut terlebih dahulu. 

    Berhenti di lorong kecemasan tanpa sebab munasabah adalah satu kesalahan

    Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang meletakkan atau meninggalkan kenderaan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan, kecuali dalam kes kecemasan.

    Tambah beliau lagi, pesalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    Fahami fungsi lorong kecemasan

    Lorong kecemasan disediakan khusus untuk kegunaan kecemasan

    Seperti yang telah Bjak kongsikan dalam artikel yang lepas, lorong kecemasan disediakan khusus untuk tujuan kecemasan.

    Secara amnya, lorong kecemasan dikhaskan untuk kegunaan ambulans, bomba dan penyelamat, polis, agensi penguatkuasaan serta kenderaan yang mengalami kerosakan atau kecemasan.

    Penggunaan lorong kecemasan dapat memudahkan pihak-pihak yang disebutkan di atas untuk sampai ke destinasi dengan lebih cepat tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya.

    Oleh itu, jika kenderaan anda tidak tergolong dalam mana-mana kategori di atas, tolong jangan gunakan lorong kecemasan. Ingat, tindakan menggunakan lorong kecemasan tanpa sebab munasabah boleh merisikokan nyawa orang lain. 

    Ambil langkah berjaga-jaga jika terpaksa berhenti di bahu jalan atau lorong kecemasan

    Jika kenderaan anda meragam di jalan raya yang memaksa anda untuk berhenti di bahu jalan atau lorong kecemasan, pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga seperti di bawah:

    Nyalakan lampu isyarat kecemasan

    Nyalakan lampu isyarat kecemasan ketika berhenti di lorong kecemasan atau bahu jalan

    Setelah memberhentikan kenderaan anda di lorong kecemasan atau bahu jalan dengan selamat, segera nyalakan lampu isyarat kecemasan.

    Seperti yang anda tahu, fungsi utama lampu isyarat kecemasan ialah untuk memberi amaran kepada pemandu di belakang anda bahawa kenderaan anda mempunyai masalah di jalan raya yang menyebabkan anda terpaksa berhenti. 

    Pakai jaket keselamatan

    Pakai jaket keselamatan

    Sekiranya anda mempunyai jaket keselamatan di dalam kereta, pakai jaket keselamatan tersebut agar anda dapat dilihat dengan jelas oleh pemandu-pemandu lain ketika berada di luar kenderaan anda.

    Memakai jaket keselamatan yang berwarna cerah dan terang serta boleh memantulkan cahaya adalah sangat penting, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, anda dinasihatkan untuk menyediakan jaket keselamatan serta item-item penting di dalam kit kecemasan di dalam kenderaan anda. 

    Letakkan segi tiga amaran

    Letakkan segi tiga amaran ketika berhenti di lorong kecemasan atau bahu jalan

    Pastikan juga anda meletakkan segi tiga amaran kira-kira 45 meter atau 147 kaki dari belakang kenderaan anda agar kenderaan anda mudah dilihat oleh pengguna jalan raya.

    Sekiranya anda belum mempunyai segi tiga amaran di dalam kenderaan anda, kami nasihatkan anda untuk mendapatkannya di mana-mana kedai aksesori kereta atau pusat servis pengeluar kenderaan anda. 

    Hubungi syarikat insurans 

    Hubungi syarikat insurans 

    Sila hubungi hotline syarikat insurans anda untuk mendapatkan bantuan segera.

    Berikan maklumat penting kepada syarikat insurans anda seperti keadaan kenderaan anda dan lokasi kejadian.

    Rujuk artikel kami yang lepas untuk mendapatkan nombor hotline syarikat insurans anda. 

    Selain itu, anda juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan yang disediakan oleh Industri Insurans dan Takaful Malaysia di nombor 15500 untuk mendapatkan bantuan segera sekiranya berlaku kemalangan.

    Dapatkan khidmat tunda 

    Dapatkan khidmat tunda 

    Kebanyakan syarikat insurans menawarkan khidmat tunda secara percuma. Oleh itu, hubungi syarikat insurans anda dengan segera jika anda memerlukan khidmat tunda.

    Untuk urusan pembaikan dan tuntutan insurans kenderaan, anda disarankan untuk meminta kenderaan anda ditunda ke bengkel panel insurans anda. 

    Ikuti proses mendapatkan kidmat tunda yang telah kami kongsikan dalam artikel yang lepas. 

    Jangan berhenti di selekoh

    Jangan berhenti di selekoh

    Tolong jangan berhentikan kenderaan anda di kawasan selekoh atau kawasan yang terlindung daripada penglihatan pemandu lain dari jarak jauh.

    Pastikan anda memilih lokasi yang sesuai sebelum memberhentikan kenderaan anda. 

    Patuhi peraturan jalan raya untuk keselamatan bersama

    Setiap pengguna jalan raya bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan bersama di jalan raya. Pastikan anda mengikut setiap peraturan jalan raya dan memandu dengan selamat. Tindakan memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab munasabah atau sebarang pelanggaran peraturan jalan raya mesti dijauhkan. 

    Sekiranya anda mendapati mana-mana pengguna melanggar peraturan jalan raya, terus laporkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)

    Ingat, jadilah pengguna jalan raya yang peka dan berhemah. 


    Bjak ialah salah satu platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menawarkan 15 jenama insurans. Dapatkan sebut harga insurans kereta percuma di Bjak dan renew insurans kereta dan roadtax secara online dalam hanya 5 minit.