Skip to content
Home » 1 daripada 5 Rakyat Malaysia adalah Penghidap Diabetes

1 daripada 5 Rakyat Malaysia adalah Penghidap Diabetes

    Diabetes adalah salah satu penyakit tidak berjangkit yang sering dihidapi oleh penduduk Malaysia.

    Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), ia menganggarkan seramai 3.9 juta individu dewasa yang berumur 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes.

    Apakah itu diabetes?

    Penyakit kronik, diabetes terjadi apabila pankreas tidak lagi dapat menghasilkan insulin, atau ketika tubuh tidak dapat memanfaatkan insulin yang dihasilkannya dengan baik.

    Insulin adalah hormon yang berfungsi untuk membiarkan glukosa daripada makanan yang kita makan mengalir dari saluran darah ke sel-sel badan bagi menghasilkan tenaga.

    Apabila pankreas tidak dapat menghasilkan atau menggunakan insulin dengan sebaiknya, ini menyebabkan peningkatan kadar glukosa dalam darah.

    Seseorang itu menghidap diabetes apabila tahap gula dalam darahnya (dalam keadaan berpuasa) lebih daripada 7.0 mmol/L atau lebih daripada 11.1 mmol/ L (dalam keadaan tidak berpuasa). Walau bagaimanapun, banyak gejala diabetes hanya berlaku apabila gula darah melebihi 15 mmol/ L.

    Jenis-jenis diabetes

    Terdapat 3 jenis utama diabetes iaitu:

    1. Diabetes jenis 1

    Untuk diabetes jenis 1, pankreas menghasilkan insulin yang sangat sedikit atau tidak ada langsung. Bagi memastikan kadar glukosa darah dalam keadaan terkawal, pesakit memerlukan suntikan insulin setiap hari.

    Diabetes jenis 1 boleh terjadi di sebarang usia sekalipun tetapi paling kerap berlaku pada kanak-kanak dan remaja. Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit beranggapan diabetes jenis 1 berlaku disebabkan oleh reaksi autoimun di mana tubuh menyerang diri sendiri secara tidak sengaja, sehingga menghentikan pankreas daripada menghasilkan insulin. Belum ada cara yang dietahui untuk mencegah diabetes jenis 1.

    Punca

    Punca sebenar untuk diabetes jenis 1 masih tidak diketahui. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia mungkin berlaku disebabkan oleh sistem imunisasi yang menyerang tubuh dan ‘menghancurkan’ sel-sel penghasil insulin di pankreas, yang pada akhirnya meninggalkan tubuh dengan hanya sedikit insulin atau tanpa ilusin langsung. Ini menyebabkan penghasilan gula dalam saluran darah.

    Walaupun masih belum jelas, diabetes jenis 1 dianggap berlaku disebabkan oleh kombinasi di antara faktor genetik dan persekitaran. Berat badan berlebihan atau gemuk dipercayai bukan menjadi punca atau penyebab diabetes jenis 1.

    2. Diabetes jenis 2

    Untuk diabetes jenis 2, sel-sel badan tidak bertindak balas kepada insulin dengan berkesan dan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi bagi mengatasi kerintangan insulin.

    Diabetes jenis 2 berkembang selama bertahun-tahun dan biasanya didiagnosis pada orang dewasa. Walau bagaimanapun, kini ia juga semakin banyak dihidapi/ didiagnosis oleh kanak-kanak, remaja dan golongan muda. Diabetes jenis 2 boleh dicegah atau ‘ditunda’ dengan mengubah gaya hidup seperti menikmati makanan sihat, mengurangkan berat badan dan menjadi seorang yang aktif.

    Di Malaysia, daripada 1,614,613 pesakit diabetes yang berdaftar dengan National diabetes Registry (NDR) pada 2019, diabetes jenis 2 membentuk jumlah pesakit majoriti dengan peratusan 93.71% pesakit, diikuti dengan diabetes jenis 1 (6.2%) dan jenis diabetes lain (0.09%).

    Punca

    Dipercayai bahawa faktor genetik dan persekitaran menyumbang kepada penyakit diabetes jenis 2. Walaupun obesiti dan gemuk sangat berkait dengan diabetes jenis 2, namun tidak semua individu dengan diabetes jenis 2 adalah seorang obesiti atau mempunyai berat badan berlebihan.

    3. Diabetes kehamilan

    Diabetes kehamilan atau (Gestational Diabetes Mellitus – GDM) biasanya berlaku pada wanita hamil yang tidak pernah menghidap diabetes.

    Diabetes jenis ini boleh meletakkan bayi ke risiko yang lebih tinggi untuk komplikasi kesihatan. Biasanya, jenis diabetes ini hilang setelah bayi dilahirkan. Walau bagaimanapun, ibu berisiko untuk menghidap diabetes jenis 2 di kemudian hari. Malah kemungkinan, bayi juga boleh menjadi obesiti ketika kanak-kanak atau remaja dan menghidap diabetes jenis 2 di kemudian hari.

    Punca

    Ketika hamil, plasenta menghasilkan hormon untuk mengekalkan kehamilan. Hormon-hormon ini menyebabkan sel-sel badan lebih tahan terhadap insulin.

    Biasanya, pankreas mengatasi daya tahan dengan menghasilkan insulin yang mencukupi. Walau bagaimanapun, kadang kala pankreas tidak mampu bertahan dan apabila ini berlaku, glukosa yang terlalu sedikit masuk ke dalam sel dan banyak glukosa berada di dalam saluran darah, yang pada akhiranya menyebabkan GDM.

    Apakah prediabetes?

    Prediabetes berlaku apabila kadar gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa namun tidak cukup tinggi untuk diklasifikasikan sebagai diabetes. Prediabetes boleh berkembang menjadi diabetes jika tiada tindakan diambil bagi mencegahnya.

    Gejala diabetes

    Gejala diabetes berbeza bergantung pada kadar gula darah anda. Sesetengah orang, terutama mereka yang prediabetes atau menghidap diabetes jenis 2, kadang-kala tidak mengalami sebarang gejala. Untuk diabetes jenis 1, gejalanya pada kebiasaan akan lebih teruk.

    Beberapa tanda dan gejala diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2 adalah:

    • Sering dahaga
    • Kerap membuang air kecil
    • Kelaparan yang melampau
    • Kurang berat badan tanpa sebab yang diketahui
    • Kewujudan keton dalam air kencing
    • Keletihan
    • Kerengsaan/ lesu
    • Penglihatan kabur
    • Luka sembuh dengan perlahan
    • Kerap mengalami jangkitan seperti gusi, jangkitan kulit atau jangkitan faraj.

    Berapakah kos untuk merawat diabetes?

    Sekiranya anda menghidap diabetes, anda harus menjalani rawatan untuk memastikan kadar gula darah anda terkawal. Ujian biasa untuk diabetes adalah ujian Hemoglobin A1c (HbA1c, A1c, atau Hb1c) yang menentukan kepekatan purata glukosa dalam plasma darah. Anda perlu melakukan ujian ini sekitar dua hingga tujuh kali setahun. Anda juga perlu mempertimbangkan ubat-ubatan dan alat ujian darah. Rawatan pesakit luar termasuk ujian darah lengkap, alat ujian darah, ubat-ubatan dan kos rundingan doktor boleh menelan belanja sebanyak RM2,750 setahun. Oleh kerana jumlah kumulatif yang dianggarkan ini adalah untuk tahun 2017, jumlahnya pasti jauh lebih tinggi hari ini memandangkan berlaku inflasi perubatan.

    Ingatlah bahawa diabetes juga boleh menyebabkan penyakit teruk seperti penyakit buah pinggang dan penyakit jantung. Berapakah untuk kos penyakit ini? Secara purata, dialisis buah pinggang boleh dikenakan kos antara RM150 hingga RM250 setiap sesi, sementara pemindahan jantung boleh menelan belanja sehingga RM100,000!

    Bagaimana anda boleh mencegah diabetes?

    Walaupun diabetes jenis 1 tidak dapat dicegah, anda boleh mencegah diabetes jenis 2 dan diabetes kehamilan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

    • Makan secara sihat. Makan makanan berserat tinggi seperti beras perang dan kacang, dan elakkan makanan yang tinggi lemak dan kalori seperti ayam goreng dan ais krim. Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.
    • Aktif secara fizikal. Luangkan masa kira-kira 30 minit pada setiap hari untuk aktiviti fizikal seperti berjoging. Sasarkan untuk menghabiskan sekurang-kurangnya 2.5 jam atau 150 minit seminggu untuk aktiviti tersebut.
    • Turunkan berat badan berlebihan. Sekiranya berat badan anda berlebihan , menurunkan berat badan walaupun 7% dapat mengurangkan risiko anda menghidap diabetes. Sebagai contoh, jika ketinggian anda adalah 155 cm dan berat 71 kg, sebagai permulaan, cubalah menurunkan 7% atau 5 kg berat badan anda. Anda kemudian boleh berusaha mencapai berat badan ideal anda. Sekiranya anda hamil, sila berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu mengenai berapa berat badan yang sihat untuk ditambah semasa mengandung.

    Kesimpulan

    Jalani gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko anda menghidap diabetes. Periksa gula darah anda sekurang-kurangnya sekali setahun untuk memastikan bahawa anda bebas daripada diabetes jenis 2. 49% pesakit diabetes di Malaysia tidak pernah diperiksa atau didiagnosis menghidap diabetes, jadi jangan tunggu sehingga anda mendapat gejala diabetes. Satu-satunya cara untuk mengetahui adalah dengan menjalankan ujian darah. Ujian saringan boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan di Malaysia dan anda disyorkan untuk membuat pemeriksaan tahunan.

    Sila juga lindungi diri anda dengan mendapatkan insurans nyawa dan perubatan. Kini, anda boleh mendapatkannya secara mudah melalui Bjak. Hanya secara atas talian, urusan anda untuk mendapatkan insurans kini lebih pantas dan selamat. Jika terdapat sebarang persoalan atau kebimbangan mengenai insurans, berhubung sahaja dengan ejen tanpa komisen Bjak yang bersedia setiap masa untuk membantu anda.

    Rujukan:

    Sumber 1

    Sumber 2

    Sumber 3

    Sumber 4