Skip to content
Home » 4 Masalah Wiper Kereta yang Sering Berlaku

4 Masalah Wiper Kereta yang Sering Berlaku

    Wiper kereta rosak

    Wiper kereta merupakan salah satu komponen yang sangat penting bagi memastikan cermin kereta berada dalam keadaan terbaik agar pemanduan menjadi lebih selamat.

    Wiper kereta memainkan peranannya terutama di kala waktu hujan atau cuaca buruk. Ia akan membantu mengelap air atau sisa kotoran yang ada pada cermin hadapan kereta. Jika wiper kereta anda rosak, ia akan menimbulkan risiko di mana penglihatan pemandu akan terganggu akibat pemandangan yang tidak jelas dan seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan.

    Sebenarnya, terdapat beberapa masalah yang sememangnya sering berlaku pada wiper kereta. Ingin ketahui apakah ia? Teruskan membaca artikel ini.

    Masalah pada wiper kereta yang sering berlaku

    Getah wiper kereta haus

    Sistem penggerak wiper yang kotor mungkin menjadi punca wiper bergerak dengan tersekat-sekat

    Jika getah wiper sudah haus atau keras, ia tidak akan mampu berfungsi dengan baik yang mana sapuan air di permukaan cermin hadapan akan menjadi tidak sekata. Lebih buruk, ia juga berpotensi menyebabkan cermin kereta anda bercalar.

    Jadi, sebaiknya anda tukar terus wiper kereta anda berbanding daripada perlu membaiki cermin kereta anda di kemudian hari.

    Wiper tersekat-sekat & lambat

    Jika anda mendapati wiper anda bergerak dalam keadaan yang tersekat-sekat atau lambat, maka ia berkemungkinan disebabkan oleh bahagian dalam sistem penggerak wiper yang kotor. Ia mempunyai kesan ke atas arus elektrik dan biasanya membuatkan bilah wiper bergerak dengan lambat. Untuk mengatasinya, anda perlu bersihkan kotoran pada kawasan yang mengalami kekotoran itu. 

    Selain itu, wiper juga akan bergerak dengan lambat jika terdapat karat di dalam komponen itu, menyebabkan ia tidak mampu berfungsi pada tahap yang optimal. Jadi, bersihkan bahagian yang terjejas dari karat dan semburkan bahagian tersebut dengan cecair anti karat. 

    Bagaimanapun, anda digalakkan untuk terus menggantikan wiper kereta anda dengan yang baharu jika keadaannya sudah terlalu teruk.

    Wiper tidak bergerak/ berfungsi langsung

    Pernah tak wiper kereta anda tidak bergerak atau berfungsi langsung ketika ingin menggunakannya? Jika ya, maka anda mungkin perlu memeriksa bahagian motor elektrik. Jika motor elektrik telah rosak, maka anda terpaksa segera menggantikan wiper kereta anda dengan yang baharu. 

    Selain itu, punca wiper tidak bergerak langsung juga mungkin disebabkan oleh masalah fius di mana fius pecah dan terdapat arus elektrik yang berlebihan. Jadi, sila perhatikan litar dan sambungan antara kabel yang berkaitan dengan fius. 

    Dynamo wiper rosak

    Dynamo wiper bermasalah

    Kerosakan yang sering terjadi pada dynamo wiper adalah masalah gegelung yang terbakar.

    Ia biasanya disebabkan oleh litar pintas arus elektrik di dalam kereta. Jika ini terjadi, wiper kereta anda boleh dianggap sebagai rosak sepenuhnya dan harus diganti dengan yang baharu.

    Bagaimanakah cara untuk jaga wiper kereta agar tahan lama?

    Untuk menjaga wiper agar tidak mudah rosak sebenarnya tidaklah sesusah yang disangka. Jika wiper dijaga dengan baik, ia secara tidak langsung mampu memanjangkan hayatnya dan anda juga tidak perlu sering menukarnya dengan yang baru.

    Berikut merupakan beberapa tips untuk menjaga atau ‘memanjangkan hayat’ wiper kereta anda.

    1. Elak guna pada waktu kering – Ingat, wiper seharusnya digunakan pada permukaan yang basah sahaja. Jika anda gunakannya pada waktu kering, maka ia boleh menyebabkan wiper kereta anda lebih cepat haus. Jika anda ingin menghilangkan habuk atau sebarang kotoran pada permukaan cermin, pancut dulu air wiper pada cermin untuk membasahkannya.
    2. Bersihkan bilah wiper – Sentiasa bersihkan bilah wiper kereta anda untuk mengelakkan pengumpulan kotoran di bawah bilah dengan menggunakan kain lembab. Ia bagi mengelakkan cermin kereta anda diseret dengan bendasing yang terkumpul pada bilah dan seterusnya menyebabkan kesan calar.
    3. Jemur/ angkat wiper kereta – Biasakan untuk mengangkat wiper kereta anda terutama ketika cuaca panas bagi mengelakkan getah pengelap cermin daripada rosak akibat suhu serta kepanasan yang melampau.
    4. Tukar getah wiper beberapa bulan sekali – Secara amnya, anda digalakkan untuk menggantikan getah wiper cermin kereta anda setiap 6 bulan sekali sehingga setahun bergantung pada tahap penggunaan. 

    Jaga wiper kereta anda untuk penglihatan terbaik ketika memandu

    Wiper kereta memainkan peranan yang sangat penting demi keselesaan dan keselamatan pemandu terutama pada waktu hujan. Jika ia sudah rosak seperti situasi yang dikongsikan di atas, pastikan anda menukarnya dengan yang baharu pada kadar segera.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.