Skip to content
Home » 4 Sebab Si Kecil Anda Perlu Ada Insurans Perubatan

4 Sebab Si Kecil Anda Perlu Ada Insurans Perubatan

    Insurans Perubatan tidak hanya perlu dimiliki oleh golongan dewasa. Bayi, kanak-kanak dan anak anda yang menginjak usia remaja juga turut memerlukan perlindungan bagi menjamin masa depan mereka.


    Memiliki perlindungan insurans perubatan bukan lagi boleh dianggap sebagai kehendak, namun ia boleh dikategorikan sebagai satu keperluan buat setiap golongan dan individu tanpa mengenal usia.

    Dengan kewujudan pelbagai penyakit yang ada pada hari ini, perlindungan insurans perubatan boleh dilihat sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang.

    Namun pada kebiasaannya, perlindungan insurans perubatan ini lebih sinonim untuk diambil oleh mereka yang sudah dewasa.

    Tetapi bagaimana pula dengan bayi atau atau anak kecil? Adakah mereka masih belum sepenuhnya perlu untuk mempunyai pelan perlindungan perubatan sendiri?

    Sebagai ibu bapa, anda perlu sedar bahawa bayi dan anak kecil paling mudah terdedah apabila kejadian malang berlaku kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membantu serta menyokong diri mereka sendiri terutama dari segi kewangan.

    Ada ke pelan untuk anak?

    Ya, pelan insurans perubatan untuk anak termasuk si bayi yang masih kecil sememangnya ada dan wujud. Anda hanya perlu mendapatkannya seperti ketika anda membeli perlindungan insurans perubatan untuk diri anda.

    Yang pasti, pelan perlindungan perubatan untuk anak kecil ini disediakan bagi menjaga kesihatan dan tahap kesejahteraan mereka pada masa akan datang.

    Sebelum kita pergi lebih dalam mengenai sebab-sebab anak anda memerlukan insurans perubatan, ayuh kita ketahui dulu beberapa syarat untuk mengambil insurans buat si kecil anda.

    Anak anda haruslah:

    • Berusia 14 hari dan ke atas (atau)
    • Masih dalam kandungan
    • Mempunyai penjaga
    • Mempunyai dokumen kelahiran dan Mykid
    • Sihat tubuh badan

    Sebab-sebab ibu bapa perlu dapatkan insurans perubatan untuk si kecil

    1. Risiko penyakit boleh berlaku pada bila-bila masa

    Penyakit boleh menghidap sesiapa sahaja tanpa mengenal usia. Anda mesti sudah banyak melihat serta membaca berita yang memaparkan kisah bayi atau anak kecil yang menghidap penyakit tertentu dan memerlukan bantuan untuk menanggung kos rawatan bukan?

    Situasi ini sememangnya sangat memilukan. Sememangnya difahami mungkin ada ibu bapa yang belum begitu berkemampuan untuk mendapatkan perlindungan insurans bukan sahaja buat anak, malah untuk diri sendiri juga.

    Namun sekiranya anda berkemampuan dan mempunyai pendapatan yang lebih, pertimbangkanlah untuk mendapatkan perlindungan insurans perubatan buat anak anda. Yang pasti, perlindungan insurans perubatan dapat membantu memudahkan anda dan anak sekiranya berlaku sesuatu kelak (minta dijauhkan).

    2. Jaminan perlindungan dan penjagaan kesihatan

    Sebilangan ibu bapa mungkin memilih untuk mendapatkan perlindungan insurans buat anak ketika usia mereka sudah sedikit besar. Sebenarnya, ia bukanlah pilihan yang baik.

    Mengambil kira pada catatan di point nombor satu tadi, penyakit boleh menghidap sesiapa sahaja tanpa mengenal usia. Justeru, seeloknya jika anda sebagai ibu bapa mengambil insurans perubatan buat anak sejak dari bayi bagi melindungi mereka.

    Anda pasti mahukan anak anda mendapat rawatan yang baik dan lengkap sekiranya berlaku sesuatu nanti bukan?

    Justeru dengan adanya insurans perubatan, anak anda pasti akan mendapatkan rawatan yang terbaik, pantas dan lebih selesa berbanding sekiranya mereka tidak dilindungi insurans.

    3. Anda lebih tenang, tidak perlu fikir risiko kewangan

    Jika anda menganggap kos rawatan untuk bayi atau anak yang masih kecil adalah murah, maka pemikiran anda itu adalah salah. Sebenarnya, kos perubatan untuk kanak-kanak dan bayi kecil tidak mempunyai beza dengan kos perubatan orang dewasa.

    Sedarkah anda bahawa kos perubatan di Malaysia meningkat pada kadar 10%-15% setiap tahun?

    Dengan memiliki insurans perubatan, ia bukan sahaja boleh menjamin perlindungan kesihatan buat anak anda, malah anda secara tidak langsung juga akan berasa lebih lega dan tenang kerana tidak lagi perlu memikirkan mengenai risiko kewangan yang bakal ditanggung nanti kerana ia akan ditanggung oleh syarikat insurans.

    4. Jaminan perlindungan pada harga yang kompetetif

    Disebabkan faktor umur, golongan bayi, kanak-kanak mahupun remaja sememangnya mempunyai kebarangkalian untuk menggunakan kesemua tuntutan insurans. Ini menyebabkan premium insurans untuk mereka juga akan menjadi lebih rendah berbanding golongan dewasa.

    Namun, mereka boleh mendapatkan perlindungan yang lebih apabila usia mereka mencapai 18 tahun, tanpa perlu melalui pemeriksaan kesihatan.

    Lakukan yang terbaik buat anak anda

    Sebagai ibu bapa, anda pasti mahukan yang terbaik untuk anak anda. Tidak rugi sekiranya anda membeli perlindungan insurans perubatan untuk mereka sejak kecil kerana ia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan mereka dilindungi dan mendapatkan penjagaan kesihatan yang terbaik.

    Sekiranya anda tidak pasti mengenai pelan yang terbaik, hubungi sahaja mana-mana ejen yang sah atau syarikat insurans untuk sebarang nasihat dan pandangan. Jangan tangguh terlalu lama.

    Ingat, mereka juga perlukan perlindungan perubatan terbaik, sama seperti anda.

    Bjak merupakan platform yang menyediakan pelan insurans lengkap semua-dalam-satu secara atas talian. Untuk sebarang persoalan mengenai insurans, berhubung sahaja dengan ejen tanpa komisen kami yang bersedia untuk membantu anda pada bila-bila masa.