“Saya dah ada kad perubatan, tapi saya belum ada insurans nyawa”
Adakah anda juga sebahagian daripadanya, ataupun anda sudah memiliki kedua-duanya?
Kad Perubatan atau Insurans Nyawa
Ya, ada sebahagian individu hanya mendapatkan kad perubatan sahaja untuk melindungi diri mereka dan memastikan bahawa mereka boleh mendapatkan rawatan terbaik sekiranya berlaku sesuatu kelak.
Namun, ada juga individu yang memilih untuk memiliki kedua-dua kad perubatan dan insurans nyawa supaya boleh mendapat perlindungan yang lebih komprehensif bukan sahaja buat diri sendiri malah juga untuk keluarga.
Apakah beza kad perubatan dengan insurans nyawa? Bagaimana ia mampu memberi manfaat kepada pencarum? Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui perbezaannya.
Perbezaan mudah kad perubatan dengan Insurans Nyawa
Ringkasan mengenai perbezaan di antara kad perubatan dengan insurans nyawa:
Ciri-ciri | Kad Perubatan | Insurans Nyawa |
Maksud | Disediakan untuk membantu pencarum mendapatkan rawatan di hospital panel yang disediakan dengan segala kos rawatan pencarum turut ditanggung oleh penanggung insurans | Menyediakan perlindungan dengan memberikan pembayaran wang pampasan secara sekali gus kepada pencarum atau tanggungan (waris) jika berlaku sesuatu dalam tempoh polisi masih berlangsung |
Fungsi | Untuk membayar kos rawatan di hospital berdasarkan pelan yang dipilih | Membantu anda meringankan bebanan kewangan dengan memberikan pampasan secara sekali gus untuk anda (sekiranya hilang upaya kekal) dan untuk waris (sekiranya anda sebagai pemegang polisi meninggal dunia) |
Manfaat | – Kos kemasukan hospital dan pembedahan – Penyakit kritikal – Rawatan jangka panjang | -Membantu membayar kos pengebumian anda – Membantu langsaikan hutang – Tabung pendidikan anak-anak |
Penama | Tiada | Boleh letakkan waris sebagai penama |
Kaedah pembayaran | Syarikat insurans akan membayar terus kepada pihak hospital setelah mendapat tuntutan daripada pemegang polisi untuk kos rawatan hospital | Pembayaran akan dilakukan secara sekaligus kepada penama jika ia melibatkan kematian pemegang polisi, manakala ia diberikan kepada pemegang polisi jika berlaku hilang upaya kekal |
1.Maksud
Kad Perubatan
Kad perubatan disediakan oleh syarikat insurans dengan tujuan untuk memberi pencarum mendapatkan rawatan di hospital panel yang disediakan dengan segala kos rawatan pencarum turut ditanggung oleh penanggung insurans berdasarkan had tahunan dan seumur hidup yang dipersetujui di dalam kontrak/ polisi.
Insurans Nyawa
Berbeza dengan kad perubatan, insurans nyawa menyediakan perlindungan dengan memberikan pembayaran wang pampasan secara sekali gus kepada pencarum atau tanggungan (waris) jika berlaku sesuatu dalam tempoh polisi masih berlangsung. Jika pencarum mengalami hilang upaya kekal, maka wang pampasan akan diserahkan kepada pencarum, manakala jika pencarum meninggal dunia, maka keseluruhan wang pampasan itu pula akan diberikan kepada waris (penama yang ditetapkan).
2. Fungsi
Kad Perubatan
Kad perubatan berfungsi untuk membayar kos rawatan anda di hospital (dari pembedahan, kos bilik dan penginapan, rawatan dan lain-lain) mengikut pelan yang dipilih.
Contoh senario:
Kerana kekangan bajet, Zizi hanya mendapatkan perlindungan kad perubatan dengan premium sebanyak RM100 sebulan. Pada suatu hari, Zizi perlu menjalani pembedahan sinus kerana sering mengalami masalah hidung tersumbat dan kesukaran untuk bernafas. Jumlah kos rawatan di hospital dan pembedahan itu adalah sebanyak RM20 ribu. Zizi bagaimanapun tidak perlu mengeluarkan sebarang kos kerana ia ditanggung oleh kad perubatannya.
Insurans Nyawa
Berlainan dengan kad perubatan, insurans nyawa akan membantu anda meringankan bebanan kewangan dengan memberikan pampasan secara sekali gus untuk anda (sekiranya hilang upaya kekal) dan untuk waris (sekiranya anda sebagai pemegang polisi meninggal dunia).
Contoh senario 1:
Latiff telah mendapatkan perlindungan insurans nyawa sejak 15 tahun lalu dengan premium terkini sebanyak RM410/sebulan. Pada suatu hari, Latiff yang bekerja sebagai operator kilang telah mengalami kemalangan di tempat kerja sehingga mengakibatkan dia kehilangan kedua-dua belah tangan dan pada akhirnya tidak boleh bekerja untuk seumur hidup. Hasil daripada carumannya dalam insurans nyawa selama ini, Latiff telah mendapat wang pampasan untuk manfaat hilang upaya kekal (TPD) oleh penanggung insurans untuk membantunya meneruskan kehidupan.
Contoh senario 2
Ramli telah mendirikan rumah tangga bersama Suhaila dan mempunyai seorang cahaya mata. Menyedari bahawa keluarga kecilnya itu perlu mendapatkan kehidupan terbaik meskipun apabila dia tiada nanti, Ramli memutuskan untuk mengambil insurans nyawa buat dirinya dengan menamakan isterinya sebagai penama. 10 tahun selepas Ramli mengambil polisi insurans nyawa, Ramli diserang penyakit jantung sehingga meninggal dunia. Akibat daripada itu, Suhaila yang merupakan penama untuk insurans nyawa milik suaminya itu menerima wang pampasan secara sekali gus oleh penanggung insurans untuk membantu dirinya dan anak meneruskan kehidupan.
3. Manfaat
Kad Perubatan
Secara amnya, terdapat 3 jenis manfaat yang diliputi di dalam kad perubatan iaitu:
- Kos kemasukan hospital dan pembedahan – Ia termasuk segala kos yang berkenaan dengan kemasukan ke hospital, pembedahan, bilik dan penginapan, perkhidmatan ambulan, ubat-ubatan dan lain-lain.
- Penyakit kritikal – Sebanyak 36 jenis penyakit kritikal pada kebiasaannya disenaraikan oleh syarikat insurans termasuk kanser, serangan jantung, strok, dan lain-lain (sila lihat dalam polisi masing-masing mengenai penyakit kritikal yang disenaraikan).
- Rawatan jangka panjang – Berguna terutama untuk individu yang mempunyai penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan penjagaan untuk tempoh masa yang lama. Contoh: Pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis berpanjangan.
Insurans Nyawa
Melalui insurans nyawa, anda secara tidak langsung melindungi dan bertanggungjawab atas kebajikan keluarga meskipun setelah meninggal dunia. Dengan wang pampasan yang bakal diterima oleh waris/ tanggungan anda, ia secara tidak langsung bakal membantu mereka meneruskan kehidupan dan memberi manfaat dari segi:
- Membantu membayar kos pengebumian anda
- Membantu melangsaikan hutang
- Membantu untuk tabung pendidikan anak-anak
- Membantu membayar kos perubatan
- Membantu membayar komitmen sedia ada seperti duit rumah, bil dan lain-lain
4. Penama
Kad Perubatan
Tiada penama perlu diletakkan. Kad perubatan hanya akan melindungi kos rawatan hospital untuk pemegang polisi/ pencarum sahaja.
Insurans Nyawa
Pemegang polisi boleh meletakkan waris sebagai penama. Jika berlaku kematian, pembayaran wang pampasan akan diterima oleh waris. Malah sekiranya berlaku kejadian hilang upaya kekal terhadap pemegang polisi, maka wang pampasan juga bakal diperoleh.
5. Kaedah pembayaran
Kad Perubatan
Syarikat insurans akan membayar terus kepada pihak hospital setelah mendapat tuntutan daripada pemegang polisi untuk kos rawatan hospital.
Insurans Nyawa
Pembayaran akan dilakukan secara sekaligus (lumpsum) kepada pewaris/ penama jika ia melibatkan kematian pemegang polisi, manakala ia akan diberikan kepada pemegang polisi sekiranya berlaku hilang upaya kekal
Buat perbandingan mengenai pelan terbaik untuk diri anda
Sebagai individu yang bijak, anda perlu memastikan diri anda mendapatkan perlindungan insurans seawal yang boleh bagi menikmati premium yang lebih rendah. Namun sebelum memutuskan sama ada untuk membeli kad perubatan sahaja atau insurans nyawa sahaja atau kedua-duanya, anda dinasihatkan untuk membuat perbandingan mengenai manfaat kedua-duanya terlebih dahulu. Lakukan carian atau kajian di internet yang semestinya akan memberikan banyak maklumat kepada anda. Jika masih keliru, anda juga boleh menghubungi mana-mana ejen insurans yang disahkan atau turut boleh mendapatkan bantuan melalui ejen tanpa komisen kami pada bila-bila masa.