Skip to content
Home » 5 Tanda Ekzos Kereta Anda Mungkin Bocor

5 Tanda Ekzos Kereta Anda Mungkin Bocor

    Tanda ekzos kereta bocor

    Ekzos kereta mungkin merupakan salah satu komponen yang kurang diambil perhatian oleh pemilik. 

    Jangan begitu! Sebenarnya, ekzos kereta perlu diperiksa dengan kerap. Sebarang masalah atau kebocoran pada ekzos boleh menjejaskan kesihatan serta membahayakan nyawa anda dan penumpang jika dihidu secara berterusan sepanjang perjalanan. 

    Mengenai ekzos kereta

    Ekzoskereta direka bagi memastikan pelepasan bahan kimia yang dihasilkan oleh kereta pada tahap yang selamat

    Sistem ekzos kereta direka untuk memastikan pelepasan bahan kimia berbahaya yang dihasilkan oleh kereta berada pada tahap yang selamat. Sebagai komponen yang mengeluarkan sisa buangan pembakaran, sistem ekzos kereta ini secara tidak langsung mempunyai fungsi mengurangkan kadar pencemaran.

    Walaupun begitu, masih ramai dalam kalangan pemilik kereta yang mengambil ringan mengenai penjagaan sistem ekzos kereta sehingga akhirnya menyebabkan sistem ekzos kereta bermasalah seperti berlaku kebocoran. 

    Untuk makluman anda, kebocoran pada sistem ekzos kereta adalah sangat berbahaya kepada pemandu dan penumpang. Gas ekzos seperti karbon monoksida (CO) yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar malah tidak berbau boleh menyebabkan seseorang itu terhidu tanpa sedar sehingga kadang kala membawa kepada kematian.

    Keracunan karbon monoksida

    Justeru itu, adalah penting untuk setiap pemilik mengambil tahu mengambil tahu mengenai kebocoran sistem ekzos kereta bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. 

    Tanda-tanda ekzos kereta bocor

    Bagaimanakah cara anda untuk mengesan kebocoran pada sistem ekzos kereta?

    Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Bunyi ekzos kereta kuat

    Ia mungkin mengeluarkan bunyi seperti berdesis atau ketak-ketik

    Anda sedang memecut dan anda secara tiba-tiba terdengar bunyi kuat dari ekzos kereta? Ia mungkin menandakan bahawa sistem ekzos kereta anda sedang bocor atau mengalami masalah.

    Pada kebiasaannya, ia akan mengeluarkan bunyi seperti berdesis atau ketak-ketik. 

    Jika anda mendapati bunyi luar biasa ini dihasilkan daripada ekzos kereta anda, segera ke bengkel untuk membuat pemeriksaan bagi mengelak daripada berlakunya masalah yang lebih besar.

    Gegaran pada pedal minyak

    Lazimnya, gegaran pada bahagian pedal minyak disebabkan oleh kebocoran paip ekzos

    Jika anda mendapati berlaku gegaran pada bahagian pedal minyak, ia mungkin juga menandakan bahawa sistem ekzos kereta anda sedang bermasalah atau bocor. Gegaran pada pedal minyak boleh berlaku walaupun hanya terdapat kebocoran kecil. 

    Lazimnya, gegaran pada bahagian pedal minyak adalah disebabkan oleh kebocoran paip ekzos dan berkadar langsung dengan saiz kebocoran paip ekzos. Semakin besar saiz kebocoran paip ekzos, semakin teruk gegaran pedal minyak yang dialami oleh pemandu. 

    Jika anda mengabaikan simptom ini, gegaran tersebut boleh bertambah buruk dan boleh merebak hingga bahagian stereng dan lantai kereta.

    Minyak kereta cepat habis

     Jika ekzos bocor, ia menyebabkan prestasi enjin kereta anda merosot dan sekaligus meningkatkan penggunaan bahan api.

    Kereta anda kerap kehabisan minyak (berbeza berbanding sebelum ini)? Maka ia mungkin menandakan bahawa sistem ekzos kereta anda sedang mengalami masalah atau kebocoran.

    Ini kerana, sistem ekzos memerlukan nisbah kandungan bahan api yang betul bagi menghasilkan tahap kecekapan bahan api yang bersesuaian. Jika berlaku kebocoran dalam sistem ekzos, ia sebenarnya menyebabkan prestasi enjin kereta anda merosot dan sekaligus meningkatkan penggunaan bahan api.

    Mudah kata, lebih banyak bahan api diperlukan bagi mencapai tekanan yang betul untuk memberikan tenaga yang diperlukan oleh kereta anda. 

    Kuasa pecutan kurang

    Kebocoran sistem ekzos kereta terutamanya pada bahagian manifold ekzos secara tidak langsung boleh merosakkan injap dan akan meningkatkan penggunaan bahan api yang menyebabkan kuasa enjin berkurangan.

    Ini kerana, enjin kehilangan lebih banyak kuasa dan menyebabkan kuasa enjin menjadi lemau sekali gus mengurangkan kuasa pecutan enjin sesebuah kereta.

    Terhidu bau kurang menyenangkan

    Berbeza dengan gas CO yang tidak mempunyai bau, gas karbon dioksida (CO2) mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, termasuklah gas-gas lain yang dilepaskan oleh enjin kereta.

    Gas-gas tersebut turut mendatangkan bahaya jika pemandu dan penumpang terhidu secara berterusan sepanjang pemanduan. Jika kebocoran berlaku di bahagian manifold, gas-gas yang terlepas itu akan menghasilkan bau yang kuat.

    Gas-gas berkenaan mungkin menyelinap masuk menerusi kabin belakang dan tidak dapat dibau pemandu dan penumpang depan. Jadi, sentiasa prihatin kepada bunyi, gegaran dan bau.

    Sentiasa periksa ekzos kereta anda

    Seperti yang dinyatakan di atas, masalah yang berlaku pada ekzos kereta boleh menggadaikan nyawa pemandu dan penumpang. Jadi, apa kata selepas ini anda kerapkan diri untuk melakukan pemeriksaan pada bahagian sistem ekzos kereta. Ia bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. 

    Pastikan anda tidak mengabaikan lagi tanda-tanda yang mungkin boleh membantu anda mengenal pasti sebarang masalah atau kebocoran pada ekzos kereta.

    Sila bawa segera kereta anda ke bengkel jika mendapati mana-mana tanda yang dikongsikan di atas berlaku pada kereta anda. 


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.