Skip to content
Home » 6 Tips Berguna Memandu Waktu Malam

6 Tips Berguna Memandu Waktu Malam

    Tips pandu kereta waktu malam

    Memandu pada waktu malam mungkin digemari oleh sesetengah pemandu kerana tidak perlu menghadap cuaca yang panas di siang hari, di samping boleh mengelakkan kesesakan di atas jalan raya. 

    Walaupun begitu, memandu pada waktu malam tidak sama seperti di waktu siang kerana jarak penglihatan adalah lebih terhad dan seterusnya mendedahkan kepada risiko seperti kemalangan. 

    Ini kerana apabila memandu pada waktu malam, pemandu sepenuhnya akan bergantung kepada lampu jalan, lampu kereta sendiri dan juga lampu kenderaan lain. Tanpa semua lampu-lampu berkenaan, ia akan menyukarkan pemandu untuk melihat dengan jelas dan boleh menjejaskan tahap pemanduan yang baik.

    Justeru pada kali ini, Bjak akan kongsikan beberapa tips berguna kepada anda sekiranya memandu pada waktu malam untuk keselamatan anda dan pengguna jalan raya yang lain.

    Tips memandu pada waktu malam

    Periksa headlamp

    Pastikan headlamp berfungsi dengan baik

    Sebelum memandu pada waktu malam, pastikan lampu utama hadapan (headlamp) kereta anda masih berfungsi dalam keadaan yang baik. Selain itu, pastikan juga lampu hadapan tersebut berada pada posisi yang tepat dan ditalakan mengikut posisi yang sebenarnya. 

    Ini kerana jika lampu terlalu rendah, anda sebagai pemandu mungkin tidak boleh nampak jauh ke hadapan. Manakala jika ia terlalu tinggi pula, ia akan membahayakan pemandu dari arah bertentangan kerana penglihatan pemandu tersebut boleh menjadi silau dan seterusnya gagal mengawal pemanduan dan mengakibatkan pelanggaran.

    Pakai pakaian berwarna terang

    Kerosakan pada kenderaan boleh berlaku pada bila-bila masa. Baju yang cerah penting apabila berlaku situasi kecemasan seperti anda ‘tersadai’ di tepi jalan mahupun ketika membantu kenderaan lain.

    Dengan menggunakan baju yang cerah, ia akan membuatkan diri anda lebih mudah dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain dan seterusnya mengelakkan daripada berlakunya kemalangan. Selain itu, memakai pakaian yang berwarna cerah juga akan membantu anda untuk lebih mudah dikesan oleh petugas kecemasan sekiranya berlaku sesuatu yang teruk pada diri anda akibat kemalangan. 

    Antara warna pakaian yang disarankan untuk anda pakai apabila memandu pada waktu malam adalah warna merah atau kuning. 

    Jangan memandu dalam keadaan mengantuk

    Memandu ketika mengantuk boleh membahayakan anda, penumpang dan kenderaan lain

    Banyak kejadian kemalangan maut berlaku akibat microsleep. Jika anda mulai rasa mengantuk, pastikan anda berhenti dulu seketika di stesen minyak atau pusat rawat dan rehat yang berdekatan. Tidur seketika dan dapatkan rehat yang secukupnya sebelum meneruskan pemanduan anda.

    Jangan sesekali memandu ketika mengantuk kerana ia bukan sahaja akan membahayakan nyawa anda, malah juga pengguna jalan raya yang lain. 

    Gunakan lampu tinggi mengikut kesesuaian

    Sebagai seorang pemandu yang berhemah, anda perlu prihatin juga dengan keselesaan dan keselamatan pemandu lain ketika di atas jalan raya.

    Penggunaan lampu tinggi pada waktu yang tidak sesuai boleh menyebabkan mata pemandu dari arah bertentangan menjadi silau dan seterusnya mengganggu pemanduan mereka. 

    Sebaiknya, gunakan lampu tinggi apabila tiada kereta di hadapan anda, dan jalan sememangnya berada dalam keadaan gelap pada ketika itu. Segera matikan lampu tinggi jika mendapati terdapat kereta dari arah bertentangan semakin hampir dengan anda.

    Berehat setiap 2 jam

    Rehat dulu di mana-mana perhentian yang selamat untuk menyegarkan diri anda sebelum perjalanan diteruskan

    Jika anda perlu melalui perjalanan yang jauh pada waktu malam, anda digalakkan untuk berehat seketika setiap kali selepas dua jam memandu. Ambil angin segar, renggangkan anggota badan dan beli makanan serta minuman yang mampu menyegarkan semula pemanduan anda nanti.

    Ingat, keadaan badan yang letih boleh menghilangkan fokus pemanduan tanpa disedari. Boleh jadi anda terlepap seketika ketika memandu dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. 

    Jadi, elakkan daripada berlakunya perkara itu dan pastikan diri anda sentiasa berada dalam keadaan yang cergas ketika memandu. Biar lambat sedikit, asalkan selamat. 

    Elak memandu sendirian

    Memandu sendirian terutamanya untuk perjalanan jarak jauh boleh membuatkan anda berasa bosan dan seterusnya menghilangkan fokus pemanduan.

    Sebaiknya, cari seorang rakan untuk dijadikan sebagai teman berbual. Ini juga boleh membantu anda sebagai seorang pemandu daripada berasa sunyi dan mudah rasa mengantuk. 

    Cari topik yang menghiburkan untuk dijadikan sebagai sepanjang perjalanan. Dengan cara itu, pemanduan anda akan lebih menyeronokkan dan selamat.

    Pandu dengan berhati-hati

    Tidak kira memandu pada waktu malam mahupun siang, jadilah seorang pemandu yang berhemah dan bertimbang rasa bukan sahaja untuk diri sendiri, malah juga pemandu lain. Sila ikuti tips-tips di atas jika anda (terutamanya beginner) perlu memandu pada waktu malam. Ingat, jangan risikokan nyawa pemandu lain atas sikap mementingkan diri sendiri.

    Pandu selamat, jiwa selamat. 


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.