Menunggang motosikal untuk perjalanan jarak jauh sememangnya agak menyeronokkan.
Namun, risikonya juga lebih besar berbanding jika seseorang itu memandu kereta. Bahkan, statistik menunjukkan angka atau peratusan kadar kemalangan membabitkan penunggang motosikal adalah lebih tinggi berbanding kenderaan lain.
Untuk anda yang merupakan penunggang motosikal dan ingin melakukan perjalanan jauh, anda pasti akan menghadapi lebih cabaran berbanding jika menaiki kenderaan pacuan empat roda. Ia tetap boleh dilakukan namun haruslah disertai dengan beberapa langkah keselamatan yang rapi.
Jadi pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda khusus buat penunggang motosikal beberapa tips serta persediaan jika ingin melakukan perjalanan jauh.
Tips tunggang motosikal jarak jauh
Motosikal dalam keadaan terbaik
Sebelum ingin memulakan perjalanan, adalah sangat penting untuk anda memastikan kondisi motosikal anda berada dalam keadaan yang sangat baik bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.
Pastikan anda periksa keadaan tayar, rantai, minyak enjin, coolant, dan komponen-komponen motosikal lain yang dirasakan penting untuk keselamatan anda. Jika anda kurang mahir, hantar dulu motosikal anda ke bengkel untuk melakukan pemeriksaan. Ingat, jangan abaikan langkah paling utama ini bagi menjamin keselamatan anda dan pengguna jalan raya yang lain.
Pastikan waktu bertolak adalah sesuai
Untuk memastikan perjalanan anda lancar, anda perlu menetapkan waktu untuk bertolak bersesuaian dengan kondisi dan keadaan semasa.
Elak menunggang motosikal pada cuaca yang buruk atau waktu hujan kerana ia boleh mengganggu dan membahayakan anda. Selain cuaca hujan, anda juga tidak disarankan untuk menunggang motosikal pada cuaca angin kencang atau terlalu panas terik.
Bawa kelengkapan & peralatan tambahan
Untuk perjalanan jauh, sebaiknya anda bawa juga kelengkapan lain yang penting seperti sarung tangan, tuala kecil, baju hujan, dan peralatan seperti pemutar skru, spanar dan lain-lain yang dirasakan perlu. Ini bagi memastikan anda lebih bersiap sedia atas segala kemungkinan yang boleh berlaku ketika dalam perjalanan itu nanti.
Cari geng peneman
Sebaiknya untuk perjalanan jauh, anda tidak digalakkan untuk menunggang secara berseorangan. Carilah sekurang-kurangnya seorang dua rakan penunggang yang lain agar perjalanan anda lebih selamat dan menyeronokkan.
Selain itu, jika ada apa-apa berlaku ketika perjalanan, anda juga tidak berseorangan dan boleh mendapatkan bantuan rakan anda itu.
Bawa duit yang mencukupi
Jangan bawa hanya cukup-cukup, dan bawalah lebih sikit duit anda untuk perjalanan jauh. Bukan apa, risau jika motosikal anda secara tiba-tiba berdepan kerosakan dan perlu dimasukkan ke bengkel, maka anda tidak perlu risau lagi kerana mempunyai wang yang mencukupi.
Penglihatan jelas
Ketika menunggang motosikal, anda sememangnya terdedah dengan keadaan cuaca panas. Jadi, pastikan anda menggunakan cermin mata yang sesuai untuk memastikan penglihatan anda lebih jelas ketika menunggang motosikal.
Untuk tunggangan yang lebih baik, gunakan juga topi keledar yang mempunyai visor.
Berehat apabila penat
Untuk penunggang motosikal, keletihan pastinya lebih terasa bagi perjalanan jauh berbanding jika memandu kereta.
Ingat, anda tidak perlu sampai cepat ke destinasi. Sila pastikan anda berhenti rehat di kawasan yang sesuai seperti di kawasan Rehat & Rawat (R&R) yang disediakan di lebuh raya untuk sekurang-kurangnya 20 minit.
Dalam pada itu, anda juga digalakkan untuk berhenti rehat dengan lebih kerap antara tiga hingga lima kali. Ia juga penting bagi menyejukkan enjin motosikal dan mengelakkan ia daripada rosak.
Jaga jarak
Jika anda berkonvoi bersama rakan-rakan penunggang motosikal yang lain, penting untuk anda menjaga jarak antara satu sama lain ya! Ia bagi mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku kepada anda serta penunggang motosikal lain.
Elak menunggang pada jarak yang terlalu rapat dan menjadikan kumpulan konvoi terlalu padat. Selain membahayakan anda dan pasukan konvoi, ia juga boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Pastikan anda dan rakan-rakan konvoi membuat perancangan lebih awal dan berkomunikasi dengan baik menggunakan isyarat-isyarat tangan.
Moga bermanfaat!
Diharapkan perkongsian kali ini dapat membantu penunggang motosikal melakukan perjalanan jauh dengan lebih selamat dan menyeronokkan.
Dalam pada itu, pastikan sebelum perjalanan anda memiliki perlindungan insurans dan roadtax yang sah! Ingat, sekatan lalu lintas boleh ada di mana-mana sahaja. Jangan tunggang motosikal tanpa roadtax, insurans serta lesen yang sah bagi mengelakkan tindakan dikenakan kepada anda.
Untuk memperbaharui insurans dan roadtax motosikal anda, anda juga boleh melakukannya secara mudah di Bjak. Layari Bjak dulu untuk semak harga secara percuma.