Skip to content
Home » Beza Kad Perubatan Standalone dan Rider

Beza Kad Perubatan Standalone dan Rider

    Pada hari ini, pasti ramai yang sudah dengar dan tahu mengenai kad perubatan. Namun, adakah anda sudah memahami fungsi dan kepentingan sebenar kad perubatan ini?

    Secara ringkasnya, kad perubatan berfungsi untuk membantu pencarum mendapatkan rawatan di hospital panel yang ditetapkan oleh syarikat insurans di samping membayar kos rawatan hospital pencarum berdasarkan jumlah had tahunan dan seumur hidup yang ditetapkan di dalam kontrak. 

    Terdapat banyak kad perubatan yang boleh dibeli oleh individu di Malaysia. Keadaan ini  sehingga kadang-kala boleh menimbulkan kekeliruan kerana begitu banyak variasi perlindungan yang disediakan oleh syarikat insurans. 

    Artikel kali ini akan menjelaskan kepada anda mengenai perbezaan di antara dua jenis kad perubatan yang biasa atau sering dimiliki oleh rakyat Malaysia, iaitu kad perubatan standalone dengan kad perubatan rider.

    Beza antara kad perubatan standalone dan rider

    Ringkasan perbezaan di antara kad perubatan standalone dengan kad perubatan rider

    Ciri-ciriStandaloneRider
    Maksud Sejenis kad perubatan persendirian yang memberi manfaat atau faedah untuk hospitalisasi sahaja.Sejenis kad perubatan yang bertindak sebagai perlindungan tambahan kepada polisi insurans nyawa jenis pelaburan atau simpanan.
    PremiumMurah namun mengalami peningkatan mengikut faktor usia dan inflasi perubatanMahal namun tidak mengalami peningkatan
    KesesuaianSesuai untuk diambil oleh mereka yang kurang berkemampuan tetapi ingin memastikan diri mendapatkan rawatan terbaik sekiranya berlaku sesuatuSesuai diambil oleh individu yang mempunyai bajet yang lebih tinggi dan sanggup mengeluarkan sejumlah amaun yang banyak untuk membayar premium
    Kelebihan– Tidak perlu ambil pelan sampingan
    – Pencarum dilindungi sehingga umur 99 tahun
    – Lebih murah
    – Sumbangan tidak meningkat mengikut umur
    – Mempunyai nilai tunai
    – Nilai tunai boleh dikeluarkan untuk kegunaan peribadi
    – Boleh bantu menampung caruman
    -Harga tetap
    Kekurangan– Tiada pulangan tunai
    – Jika tiada tuntutan dibuat, premium yang dibayar hilang begitu sahaja
    – Harga premium meningkat
    – Lebih mahal
    -Mempunyai tempoh matang
    – Walaupun pulangan tunai boleh dikeluarkan, namun bayaran premium pada bulan berikutnya akan naik 

    1. Maksud 

    Kad perubatan standalone

    Kad perubatan standalone adalah sejenis kad perubatan persendirian yang memberi manfaat atau faedah untuk hospitalisasi sahaja tanpa mempunyai sebarang pelan sampingan lain seperti simpanan atau pelaburan. 

    Secara amnya, terdapat 3 jenis manfaat yang diliputi di dalam kad perubatan standalone iaitu: 

    1. Kos kemasukan hospital dan pembedahan – Ia termasuk segala kos yang berkenaan dengan kemasukan ke hospital, pembedahan, bilik dan penginapan, perkhidmatan ambulan, ubat-ubatan dan lain-lain.
    2. Penyakit kritikal – Sebanyak 36 jenis penyakit kritikal pada kebiasaannya disenaraikan oleh syarikat insurans termasuk kanser, serangan jantung, strok, dan lain-lain (sila lihat dalam polisi masing-masing mengenai penyakit kritikal yang disenaraikan).
    3. Rawatan jangka panjang – Berguna terutama untuk individu yang mempunyai penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan penjagaan untuk tempoh masa yang lama. Contoh: Pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis berpanjangan. 

    Kad perubatan rider

    Kad perubatan rider pula adalah sejenis kad perubatan yang bertindak sebagai perlindungan tambahan kepada polisi insurans nyawa jenis pelaburan atau simpanan.

    Sebagai contoh, pencarum boleh menambah perlindungan untuk penyakit kritikal di dalam polisi insurans nyawanya di mana pemegang polisi akan dilindungi jika didiagnosis dengan penyakit kritikal seperti strok, kanser, dll. Ia boleh meliputi perlindungan bagi kos perubatan seperti pembedahan, kos bilik dan penginapan, rawatan dan lain-lain mengikut pelan yang dipilih. 

    2. Premium

    Kad perubatan standalone

    Pada kebiasaannya, premium untuk kad perubatan jenis standalone adalah lebih murah kerana pencarum hanya perlu membayar caruman atau premium bagi perlindungan perubatan sahaja. Namun, anda perlu tahu bahawa ia tidak tetap dan boleh mengalami peningkatan disebabkan dua faktor ini:

    1. Usia – Semakin meningkat usia pencarum, semakin tinggi risiko menghidap penyakit. Jadi kadar caruman juga mengalami peningkatan. Peningkatan ini pada kebiasaannya akan berlaku setiap 5 tahun. 
    2. Inflasi perubatan 

    Kad perubatan rider

    Manakala, kadar premium untuk kad perubatan rider pula adalah lebih mahal dan tinggi kerana sumbangan yang dibuat oleh pencarum bukan sekadar untuk memberi perlindungan perubatan sahaja, malah juga untuk simpanan serta pelaburan. Namun, kadar sumbangan tahunannya adalah tetap (mungkin mengalami sedikit sahaja peningkatan, itu pun disebabkan inflasi perubatan dan bukan disebabkan usia).

    3. Kesesuaian

    Kad perubatan standalone

    Kad perubatan standalone sesuai untuk diambil oleh mereka yang kurang berkemampuan tetapi ingin memastikan diri mendapatkan rawatan terbaik sekiranya berlaku sesuatu kesakitan atau kecederaan pada diri sendiri kelak.

    Kad perubatan rider

    Kad ini sesuai diambil oleh individu yang mempunyai bajet yang lebih tinggi dan sanggup mengeluarkan sejumlah amaun yang banyak untuk membayar premium setiap bulan bagi perlindungan terbaik untuk diri sendiri dan keluarga.

    4. Kelebihan

    Terdapat beberapa kelebihan yang diperoleh bagi pencarum untuk pemegang kad standalone dan juga pemegang kad perubatan rider.

    Kad perubatan standalone

    • Tidak perlu mengambil pelan sampingan
    • Pencarum akan dilindungi sehingga umur 99 tahun (selagi polisi hidup)
    • Lebih murah berbanding kad perubatan rider

    Kad perubatan rider

    • Sumbangan tidak meningkat mengikut umur. 
    • Mempunyai nilai tunai (pulangan pelaburan)
    • Caruman yang dibuat oleh pencarum akan memberikan nilai tabungan yang bertambah setiap tahun di mana ia boleh dikeluarkan untuk kegunaan peribadi.
    • Boleh membantu menampung caruman jika bayaran bulanan lewat dibayar dan ia secara tidak langsung tidak akan menyebabkan polisi luput serta merta.
    • Harga tetap sehingga tempoh polisi matang

    5. Kekurangan 

    Berikut pula merupakan kekurangan bagi kad perubatan standalone dan kad perubatan rider:

    Kad perubatan standalone

    • Tiada pulangan tunai (pulangan simpanan pelaburan)
    • Premium yang dibayar, jika tiada sebarang tuntutan dibuat akan habis/ hilang begitu sahaja tanpa sebarang pulangan.
    • Pembaharuan mungkin tidak dijamin di mana jika menghidap penyakit semasa dilindungi, pembaharuan pada tahun hadapan mungkin tidak diberikan.
    • Harga premium akan meningkat setiap 5 tahun mengikut pertambahan usia.

    Kad perubatan rider

    • Harga premium lebih tinggi dan mahal berbanding standalone
    • Mempunyai tempoh matang (65, 80, 99 tahun)
    • Polisi tamat jika mengambil rider pampasan penyakit kritikal (jumlah ini akan ditolak oleh amaun pampasan kematian). Jika amaun pampasan penyakit kritikal sama banyak dengan pampasan kematian, maka polisi tamat. 
    • Jika polisi tamat, maka seluruh rider (termasuk kad perubatan) juga akan tamat.
    • Meskipun pulangan tunai boleh dikeluarkan, namun bayaran premium pada bulan berikutnya akan naik 

    Manakah yang lebih bagus? Kad perubatan standalone atau rider

    Sudah pasti, kedua-dua jenis kad perubatan di atas mempunyai kelebihan masing-masing. Sekiranya anda mempunyai had/ bajet untuk perlindungan diri sendiri, anda mungkin boleh utamakan dahulu kad perubatan standalone kerana premiumnya yang lebih murah berbanding rider

    Namun sebaliknya, jika anda mempunyai keluarga dan ingin memberi jaminan kesejahteraan yang terbaik buat mereka, dapatkanlah insurans nyawa dan masukkan rider di dalam polisi anda untuk perlindungan yang lebih baik dan komprehensif. Ingat, untuk kad perubatan rider, anda hanya boleh mendapatkannya jika anda membeli insurans nyawa. Selain itu, rider juga sesuai diperoleh untuk individu yang ingin mendapatkan pulangan tunai dan tidak hanya ingin mendapatkan perlindungan perubatan semata-mata. 

    Berbincang dengan ejen

    Apa pun, sebarang membuat keputusan pastikan anda memahami setiap pelan yang disyorkan dengan melakukan perbincangan lebih teliti bersama ejen. Anda juga boleh mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini dengan berhubung dengan ejen tanpa komisen Bjak pada bila-bila masa yang anda mahu. 

    Rujukan:

    Sumber 1

    Sumber 2