Skip to content
Home » 5 Sebab Permohonan ‘Claim’ Insurans atau Takaful Anda ditolak

5 Sebab Permohonan ‘Claim’ Insurans atau Takaful Anda ditolak

    “Saya nak buat tuntutan insurans untuk bayar kos rawatan hospital, tetapi kenapa ditolak?”

    Sakitnya hati kalau tiba-tiba situasi seperti di atas ini berlaku pada diri sendiri kan? Sudahlah penat menanggung kesakitan, kemudian hati pula bagai ‘dirobek’ selepas cubaan untuk membuat tuntutan insurans ditolak.

    Tetapi anda perlu ingat, pihak insurans tidak akan sewenang-wenangnya boleh menolak permohonan bagi tuntutan insurans anda. Sini kami senaraikan antara lima puncanya:

    1. Anda tidak memberi pengesahan sebenar mengenai penyakit sedia ada

    Ketika proses anda untuk mendapatkan perlindungan insurans perubatan sebelum ini, anda pastinya sudah diminta untuk membuat pengesahan mengenai penyakit sedia ada anda.

    Ingat, jangan sesekali cuba menyembunyikan penyakit anda tidak kiralah sama ada kritikal mahupun tidak. Anda perlu tahu bahawa pihak insurans mahupun Takaful boleh mendapatkan laporan perubatan daripada jabatan tuntutan yang akan melakukan siasatan apabila permohonan tuntutan anda dibuat.

    Sekiranya permohonan tuntutan yang dibuat itu adalah untuk penyakit sedia ada yang tidak diisytiharkan anda sebelum ini, maka sudah semestinya tuntutan anda akan ditolak. Jadi, jangan cuba sembunyikan penyakit anda dan berlakulah jujur!

    2. Tuntutan melebihi jumlah perlindungan

    Setiap pelan insurans mahupun Takaful pasti mempunyai had tuntutan tahunan yang telah ditetapkan. Jadi setiap tahun, anda hanya akan dibenar untuk membuat tuntutan tidak melebihi jumlah yang telah ditetapkan dalam polisi insurans anda. Sekiranya lebih daripada itu, maka kemungkinan besar tuntutan anda akan ditolak.

    Jadi sebelum mendapatkan pelan insurans atau Takaful, pastikan anda ketahui limit tahunan untuk pelan tersebut agar anda dapat mengagak jumlah tuntutan yang boleh dibuat setiap tahun!

    3. Anda masih dalam tempoh menunggu

    Tahukah anda bahawa majoriti syarikat insurans mengenakan tempoh menunggu sehingga 120 hari bagi penyakit tertentu seperti darah tinggi, kencing manis, cyst, kanser dan banyak lagi . Tempoh menunggu atau disebut juga sebagai waiting period ini dikenakan khusus kepada pencarum atau individu yang baru membeli insurans perubatan.

    Ini bermakna sepanjang tempoh ini (iaitu dari tarikh polisi diaktifkan), anda tidak boleh menggunakan kad perubatan sekiranya dimasukkan ke hospital. Sekiranya anda membuat juga tuntutan, pastilah ia akan ditolak oleh syarikat insurans!

    Namun, lain kisahnya jika anda terlibat dalam kemalangan. Tempoh menunggu tidak akan dikenakan dan anda boleh menggunakan kad perubatan dengan serta-merta.

    (Sila rujuk polisi anda untuk lihat senarai penyakit yang dikenakan bagi tempoh menunggu).

    4. Tempoh untuk menghantar tuntutan telah luput

    Untuk membuat tuntutan, anda perlulah menghantarnya dalam tempoh atau masa yang telah ditetapkan oleh syarikat insurans mahupun Takaful. Jika anda melebihi tempoh tersebut, permohonan anda boleh ditolak meskipun semua dokuman sokongan telah lengkap.

    Pada kebiaasaannya, tempoh yang diberikan oleh syarikat insurans atau takaful untuk anda membuat tuntutan adalah 3 bulan dari tarikh anda mendapatkan rawatan (bergantung kepada polisi setiap syarikat insurans/ takaful).

    Jadi, bagi memastikan permohonan tuntutan anda tidak ditolak, silalah lakukannya dalam tempoh yang telah ditetapkan ok!

    5. Maklumat tidak cukup dan lengkap

    Untuk membuat tuntutan, anda tidak bolehlah tergopoh-gopoh sehingga gagal memberikan maklumat yang lengkap.

    Sekiranya ia berlaku, permohonan anda akan ditolak oleh syarikat insurans dan ia mungkin akan melambatkan lagi proses anda untuk membuat tuntutan insurans.

    Jadi, pastikan anda isi dan berikan semua maklumat dengan betul dan lengkap bagi melancarkan proses tuntutan insurans anda.

    Bagi yang ingin mendapatkan insurans perubatan pada harga terbaik, kini anda juga boleh perolehnya secara online di Bjak. Pilihan insurans konvensional dan Takaful pastinya ada untuk anda membuat pilihan.