Perkeso bantu beri pampasan kepada pekerja positif COVID 19
Menurut angka yang dicatat pada bulan Julai, lebih daripada separuh kluster aktif Covid-19 di Selangor berasal dari sektor ekonomi, di mana 54% dari sektor pembuatan, diikuti oleh sektor perkhidmatan (12%), tapak pembinaan (10%) dan perniagaan (7%)..
Tapi tahukah anda, pekerja yang dijangkiti Covid-19 dan disahkan berpunca dari tempat kerja boleh menuntut faedah Hilang Upaya Sementara daripada Perkeso?
Ya, sekiranya anda dijangkiti atau pernah mempunyai sejarah positif Covid-19 dari tempat kerja, anda boleh untuk membuat tuntutan melalui majikan anda.
Covid-19 adalah bencana pekerjaan
Perkeso telah mengesahkan bahawa jangkitan Covid-19 dikategorikan sebagai bencana pekerjaan yang melayakkan anda sebagai pekerja untuk mendapat pampasan pekerja di bawah Jadual 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969.
Sebuah badan bertindak khas telah ditubuhkan bagi tujuan siasatan ke atas permohonan program bagi mempercepatkan proses pembayaran kepada mereka.
Permohonan akan diproses dengan segera dan pada kebiasaannya akan mengambil masa sehingga 45 hari selepas permohonan dilakukan. Setakat bulan Disember 2020, sebanyak 376 permohonan diterima, yang mana 129 daripada pemohon tersebut telah berjaya menerima faedah.
Syarat untuk membuat tuntutan
Meskipun anda telah disahkan positif Covid-19, terdapat beberapa syarat yang anda perlu ikuti bagi melayakkan diri anda untuk membuat tuntutan.
Di bawah ini adalah syarat-syaratnya:
- Masih bekerja
- Masih aktif sebagai pencarum Perkeso
- Dijangkiti Covid-19 daripada tempt kerja
✅ Kes diterima ✅ | ❌ Kes Ditolak ❌ |
Individual yang dijangkiti Covid-19 dari tempat kerja | Dijangkiti virus dari ahli keluarga, jangkitan sosial dan tidak dijangkiti Covid-19 (kontak rapat) |
Bagaimana cara buat tuntutan?
Untuk makluman anda, permohonan untuk membuat tuntutan ini hanya boleh dilakukan melalui majikan. Majikan kemudiannya perlu bertanggungjawab untuk melaporkan kes dan membuat permohonan ke Perkeso melalui Borang 34 iaitu Butiran Notis dan Tuntutan Faedah.
Butiran yang diperlukan untuk membuat tuntutan adalah seperti berikut:
- Borang Butiran Notis dan Tuntutan Faedah (Borang 34)
- Salinan kad pengenalan
- Sijil cuti sakit asal
- Salinan rekod kedatangan
- Laporan pengesahan positif Covid-19
- Slip gaji (6 bulan sebelum kemalangan)
- Salinan penyata akaun simpanan
Anda perlukan maklumat lanjut? Anda boleh layari laman web Perkeso untuk tahu lebih lanjut mengenai faedah Hilang Upaya Sementara ini!
(Sumber: MalayMail, New Straits Times, Perkeso)