Skip to content
Home » Jenis & Fungsi Lampu pada Kenderaan

Jenis & Fungsi Lampu pada Kenderaan

    Fahami fungsi lampu kereta

    Sumber pencahayaan memainkan peranan yang sangat penting buat pemandu terutamanya jika memandu pada waktu malam atau ketika cuaca buruk seperti waktu hujan. Justeru itu, penjagaan lampu kereta adalah sangat penting bagi memastikan ia boleh digunakan ketika keadaan memerlukan apabila sedang memandu.

    Pada dasarnya, setiap kereta pastinya dilengkapi beberapa jenis lampu pada kedudukan yang berbeza dan setiap daripadanya memainkan fungsi yang tersendiri. 

    Justeru pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda jenis-jenis lampu dan fungsinya sebagai rujukan kepada anda.

    Jenis dan fungsi lampu kereta

    Lampu hadapan

    Lampu hadapan dilengkapi dengan dua jenis iaitu lampu alur rendah dan lampu alur tinggi

    Setiap kenderaan pasti dilengkapi dengan dua jenis lampu hadapan, i) alur rendah (low beam) dan ii) alur tinggi (high beam).

    Fungsi kedua-dua jenis lampu ini adalah untuk membolehkan pemandu melihat keadaan jalan raya dengan jelas dan membantu pengguna jalan raya lain menyedari keberadaan kenderaan anda.

    Bagaimanapun, penggunaan kedua-kedua jenis lampu hadapan ini perlu bersesuaian dengan situasi dan tempat.

    i) Lampu alur rendah – digunakan ketika pemanduan biasa pada waktu malam dan tidak menyilaukan pemandu kenderaan lain.

    ii) Lampu alur tinggi – sepatutnya hanya digunakan jika berada dalam keadaan yang gelap dan tiada kenderaan lain di hadapan sama ada di laluan anda mahupun di laluan yang bertentangan. Penggunaan lampu ini pada waktu yang salah boleh menyebabkan silau dan mengganggu penglihatan pengguna jalan raya lain.

    Lampu belakang

    Lampu belakang membolehkan pemandu merancang jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan

    Lampu belakang akan menghasilkan cahaya berwarna merah dan akan menyala apabila lampu depan turut dinyalakan. Sama seperti lampu hadapan, lampu belakang kereta turut membantu pengguna jalan raya yang berada di belakang anda menyedari kewujudan kenderaan anda di hadapan terutama pada waktu gelap. 

    Selain itu, lampu belakang juga akan membolehkan pemandu merancang jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan bagi mengelak daripada berlakunya kemalangan.

    Lampu brek

    Lampu brek penting sebagai tanda amaran kepada kenderaan di belakang bahawa kereta anda sedang memperlahankan kenderaan atau ingin berhenti

    Berbeza dengan lampu belakang kereta, lampu brek hanya akan menyala apabila brek kaki ditekan dan biasanya berwarna merah.

    Pastikan lampu brek ini sentiasa berada dalam keadaan baik. Ia penting sebagai tanda amaran kepada kenderaan di belakang bahawa kereta anda sedang memperlahankan kenderaan atau ingin memberhentikan kenderaan.

    Secara tidak langsung, ia boleh mengelakkan daripada berlakunya pelanggaran yang tidak diingini. 

    Lampu pencahayaan siang

    Lampu ini direka bagi memudahkan pengguna lain untuk melihat kenderaan lain terutama ketika lampu depan tidak dinyalakan

    Lampu pencahayaan siang berfungsi untuk penggunaan pada waktu siang. Ia biasanya akan menyala secara automatik sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan.

    Lampu ini bagaimanapun tidak menggantikan fungsi lampu hadapan memandangkan ia hanya akan menyala tanpa mengaktifkan fungsi lampu belakang. Ia direka bagi memudahkan pengguna lain untuk melihat kenderaan anda terutama ketika lampu depan tidak dinyalakan. 

    Lampu signal kereta

    Lampu signal perlu diaktifkan ketika ingin mengubah lorong

    Signal memainkan peranan yang sangat penting untuk pemandu gunakan terutama ketika ingin menukar arah atau lorong. Kegagalan pemandu untuk mengaktifkan lampu signal ketika ingin menukar lorong boleh mengganggu pemandu lain dan tidak mustahil, menyebabkan kemalangan. Pada kebiasaannya, lampu signal kereta terletak bersebelahan lampu hadapan dan lampu belakang. 

    Lampu kabus

    Lampu ini digalakkan untuk dipasang ketika cuaca berkabus, hujan lebat, jerebu, atau ribut.

    Lebih dikenali sebagai fog lights, ia dipasang pada kedudukan lebih rendah pada bahagian hadapan kereta. Lampu ini direka bagi mengelakkan cahaya daripada memantul semula dan menyilaukan penglihatan.

    Pada kebiasaannya, lampu ini digalakkan untuk dipasang ketika cuaca berkabus, hujan lebat, jerebu, atau ribut. Ia bagi membantu meningkatkan tahap penglihatan pemanduan.

    Untuk lampu fog lights belakang pula, ia berfungsi untuk meningkatkan tahap kebolehlihatan kereta. Ini bermakna, kereta anda akan lebih mudah dilihat oleh kenderaan di belakang ketika cuaca-cuaca yang kurang elok.

    Bagaimanapun, anda hanya disarankan untuk menggunakan fog lights pada waktu yang sesuai sahaja kerana tahap pencahayaannya dikatakan 30 kali ganda lebih cerah daripada lampu biasa. 

    Lampu undur

    Lampu ini biasanya akan menyala untuk memberi amaran kepada kenderaan lain bahawa kenderaan anda sedang bergerak ke belakang. Ia secara tidak langsung memberi isyarat kepada kenderaan di belakang untuk menjaga jarak dengan kenderaan anda. 

    Lampu bahaya

    Lampu ini digunakan bagi memberi amaran kepada pemandu lain bahawa kenderaan anda sedang mengalami masalah atau kerosakan.

    Lampu bahaya berfungsi untuk memberikan isyarat berkelip serentak di bahagian kiri dan kanan. Pada kebiasaannya, lampu ini akan digunakan bagi memberi amaran kepada pemandu lain bahawa kenderaan anda sedang mengalami masalah atau kerosakan.

    Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyalakan lampu ini jika mendapati terdapat sesuatu yang berbahaya di hadapan dan secara tidak langsung ‘memaklumkan’ kenderaan di belakang bahawa anda sedang memperlahankan kenderaan. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk menyalakan lampu ini apabila kena pada masanya sahaja.

    Lampu dalam kereta

    Sama seperti namanya, lampu ini terletak di bahagian dalam kereta dan biasanya dinyalakan oleh pemandu atau penumpang di dalam kereta ketika perlu melakukan sesuatu tatkala cuaca di luar gelap.

    Pada kebiasaannya lampu ini berwarna kuning redup bagi memastikan kadar kecerahannya tidak mengganggu pandangan kereta belakang. Namun ingat, anda perlu segera mematikan lampu ini jika tidak digunakan lagi kerana ia boleh menyebabkan bateri kereta anda kong

    Kenali jenis dan fungsi lampu kereta

    Meskipun ia nampak mudah namun mungkin ada lagi pemandu kereta yang masih belum benar-benar memahami fungsi-fungsi lampu yang ada pada kereta dan menggunakannya sesuka hati. 

    Sebagai pemilik kereta, anda sangat disarankan untuk memahami setiap jenis lampu dan fungsinya bagi memastikan ia digunakan pada waktu yang sesuai dan seterusnya mengelak daripada mengganggu pengguna jalan raya yang lain.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.