Skip to content
Home » Kali Pertama Nak Naik Kapal Terbang? Ini Tips Untuk Anda

Kali Pertama Nak Naik Kapal Terbang? Ini Tips Untuk Anda

    tips naik kapal terbang

    Untuk yang ingin melancong ke luar negara, kapal terbang pastinya akan dijadikan sebagai pengangkutan utama. Namun, bagi yang pertama kali ingin menggunakan pengangkutan udara ini, perasaan berdebar, risau, gementar dan lain-lain pastinya akan timbul. Mana tidaknya, proses nak naik kapal terbang ni tidak semudah naik pengangkutan darat seperti bas atau keretapi. Banyak peraturan dan syarat yang perlu dipatuhi. 

    Namun jangan risau! Jika anda pertama kali akan naiki kapal terbang, jom anda ikut sahaja tips yang akan dikongsikan ini. Barulah perjalanan anda rasa tenang, selamat dan lancar.

    Semak harga tiket dan rancang tarikh yang sesuai

    Sebelum ingin melancong ke luar negara khususnya, pastikan anda semak harga tiket beberapa bulan lebih awal dan pilih tarikh yang sesuai.

    Elakkan pergi melancong pada waktu ‘peak season’ kerana biasanya pada ketika ini harga tiket kapal terbang akan jauh lebih mahal berbanding waktu biasa.

    Anda boleh membeli dan mendapatkan tiket kapal terbang anda secara online dan pilih sama ada mahu membeli keperluan asas lain atau tidak seperti tambahan berat bagasi, mahupun makanan.

    Daftar masuk lebih awal ketika hari berlepas

    Dah tiba tarikh untuk berlepas? Jangan lupa untuk mendaftar masuk terlebih dahulu bagi mengesahkan bahawa anda meneruskan penerbangan anda pada tarikh dan masa tersebut.

    Anda boleh membuat pendaftaran masuk secara online, di kiosk layan diri di lapangan terbang ataupun juga jika kurang yakin atau arif, anda boleh lakukannya di kaunter pendaftaran.

    Biasanya untuk penerbangan luar negara, anda perlu mendaftar masuk selewat-lewatnya 4 jam sebelum masa berlepas ya. Kegagalan anda untuk berbuat demikian akan menyebabkan anda tidak boleh lagi menaiki penerbangan tersebut dan seterusnya merosakkan percutian anda. Jadi, sila alert ya!

    Jangan gementar ketika lalui imbasan kawalan keselamatan 

    Dah berjaya buat pendaftaran masuk dan cetak pas pelepasan anda, langkah seterusnya adalah anda akan melalui satu laluan untuk imbasan kawalan keselamatan.

    Biasanya ketika di situ, anda akan diarahkan untuk mengeluarkan segala benda atau barangan yang ada di tubuh anda termasuklah dompet, tali pinggang, telefon bimbit serta aksesori-aksesori lain.

    Jangan lupa untuk letakkan beg anda di dalam kotak yang disediakan ya. Pastikan anda tidak meletakkan sebarang peralatan yang dilarang di dalam beg atau poket anda seperti pisau, gunting, dan sebagainya.

    Cek nombor pintu pelepasan anda

    Selesai melalui proses di atas, kini anda sudah boleh berjalan ke balai pelepasan. Anda perlu ingat untuk ke sini, perjalanan mungkin agak jauh ya. Jadi, satu tips untuk anda! Sila pastikan anda memakai kasut yang selesa di lapangan terbang untuk kebaikan anda.

    Pastikan anda semak dan berada di nombor pintu pelepasan yang betul tau! Jangan tunggu di tempat lain agar anda tidak terlepas penerbangan anda nanti.

    Apabila hampir tiba waktu untuk berlepas, krew syarikat penerbangan biasanya akan membuat pengumuman dan meminta anda beratur untuk masuk ke dalam pesawat. Sediakan tiket penerbangan bersama-sama dengan passport untuk mereka buat semakan. Jika anda melancong di dalam negeri, maka anda hanya perlu pamerkan kad pengenalan dan pas pelepasan sahaja.

    Jom masuk pesawat!

    Dah boleh masuk pesawat? Pastikan anda duduk di tempat yang betul, seperti yang tertera pada tiket penerbangan anda ya.

    Ikut arahan krew kabin penerbangan. Pakai tali pinggang keledar apabila diarahkan terutamanya ketika ingin berlepas dan mendarat.  

    Ouh ya! Jangan lupa dengar dengan teliti demonstrasi penggunaan alat-alat kecemasan seperti pemakaian jaket keselamatan dan lain-lain untuk kebaikan anda ya.

    Siap untuk mendarat!

    Apabila sudah tiba ke destinasi yang ingin dituju, anda akan melalui satu stesen pemeriksaan imigresen. Di sini, anda akan disemak sekali lagi terutamanya untuk tujuan perjalanan anda dan mengeluarkan sekeping pas lawatan kecil untuk anda simpan.

    Jangan lupa pergi ke ruang pengambilan bagasi untuk mengambil beg anda. Selesai dan selamat bercuti!


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans terbesar di Malaysia dan telah dipercayai lebih 3 juta pengguna. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan beli insurans anda ikut keperluan dan bajet.

    Baca juga: