Skip to content
Home » Kenali 4 Warna Asap Ekzos dan Punca Masalah

Kenali 4 Warna Asap Ekzos dan Punca Masalah

    Kenali tanda kerosakan kereta melalui warna asap ekzos

    Tahukah anda? 

    Warna asap kenderaan yang keluar daripada paip ekzos sebenarnya merupakan petunjuk awal sama ada terdapat kerosakan pada mana-mana komponen kenderaan anda. 

    Pada kebiasaannya, terdapat empat jenis warna asap ekzos yang berbeza dikeluarkan oleh kenderaan, dan keempat-empatnya menunjukkan masalah yang berlainan. 

    Tanpa berlengah, Bjak akan kongsikan kepada anda kesemua jenis asap ekzos tersebut dan punca masalahnya sebagai persiapan kepada anda untuk mengesan sebarang kerosakan.

    Asap hitam

    Asap hitam berlaku mungkin disebabkan oleh kekurangan udara dalam enjin kereta

    Pernah tak anda melihat mana-mana kereta mengeluarkan asap hitam yang amat dasyat sehingga mengganggu pemanduan anda?

    Sebenarnya untuk pengetahuan anda, asap hitam yang keluar daripada ekzos kereta itu mungkin berpunca daripada kekurangan udara dalam enjin kereta. Kekurangan udara ini seterusnya meningkatkan keperluan bahan api berlebihan untuk proses pembakaran.

    Sekiranya kereta anda mengeluarkan asap hitam, anda sebenarnya disarankan untuk segera memeriksa penapis udara (air filter) kerana ia berkemungkinan tersumbat ataupun injektor bahan api mengalami kerosakan. Anda juga mungkin disarankan untuk membersihkan penapis atau menukar dengan yang baru.

    Namun jika anda mendapati penapis masih dalam keadaan baik namun ekzos masih mengeluarkan asap hitam, maka itu mungkin bermakna bahawa injektor bahan api, manifold atau komponen lain sedang mengalami masalah. 

    Jadi, segeralah bawa kereta anda ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut. 

    Asap biru

    Asap biru dikeluarkan mungkin kerana terdapat kebocoran dalam enjin

    Selain daripada asap biasa, pernahkah kereta anda mengeluarkan asap biru secara tiba-tiba? 

    Jika ya, ini bermakna mungkin ada kebocoran dalam enjin. Enjin anda mungkin sedang membakar minyak hitam akibat kerosakan kedap injap atau gelang piston haus.

    Selain itu, jika anda mendapati kepulan asap biru dikeluarkan ekzos kereta ketika memecut, ia mungkin menunjukkan bahawa gelang piston telah mengalami kerosakan berpunca daripada silinder. 

    Untuk langkah yang selamat, segera bawa kenderaan anda ke bengkel untuk diperiksa dengan segera.

    Asap putih

    Warna asap putih yang tebal mungkin menandakan bahawa terdapat kerosakan pada gasket silinder

    Asap putih yang dikeluarkan ekzos ketika menghidupkan enjin selepas beberapa saat adalah perkara biasa. Namun, perhatian perlu diberikan jika ekzos kereta anda mengeluarkan asap putih yang tebal.

    Jika ia berlaku, ia menandakan bahawa minyak pelincir telah memasuki kebuk pembakaran serta berlakunya kerosakan pada enjin kenderaan anda.

    Selain itu, asap warna ini juga menunjukkan bahawa terdapat kerosakan pada gasket silinder. 

    Jadi, anda perlu mengambil langkah proaktif dengan segera membawa kenderaan anda ke bengkel untuk diperiksa dan seterusnya mengelakkan daripada kerosakan lebih serius.

    Asap kelabu

    Kerosakan pada gelang piston mungkin berlaku sehingga menyebabkan asap berwarna kelabu dikeluarkan ekzos kereta

    Kepulan asap kelabu akan dikeluarkan oleh ekzos kereta apabila enjin membakar minyak transmisi daripada silinder atau terdapat kerosakan pada gelang piston. Petanda lain adalah anda akan terhidu bau asap seperti terbakar. Itu juga mungkin petanda berlaku masalah terhadap komponen pengecas turbo (jika kereta berenjin turbo) dan enjin menggunakan terlalu banyak bahan api.

    Jika ia berlaku, anda perlu melakukan pembaikan dengan kadar segera sebagai langkah pemulihan. 

    Moga bermanfaat!

    Diharapkan semoga perkongsian pada kali ini dapat membantu anda mengenal pasti masalah-masalah yang mungkin berlaku dalam komponen kereta berdasarkan daripada warna asap yang dikeluarkan ekzos kereta.

    Sila ambil langkah pencegahan dengan segera seperti menghantar kereta ke bengkel jika mendapati ekzos kenderaan anda mengeluarkan asap yang luar biasa.

    Ingat, elak ambil sikap sambil lewa supaya anda tidak menanggung kos yang lebih besar kelak.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.