Skip to content
Home » Nak Beli Kereta Baru? Fikir Dulu 5 Perkara Ini

Nak Beli Kereta Baru? Fikir Dulu 5 Perkara Ini

    Beli kereta baru

    Pertama kali nak beli kereta? Dah ada kereta, tapi nak beli dan tukar kepada yang baru? Atau dah ada kereta di rumah, tetapi nak tambah lagi sebiji?

    Ya, rata-rata penduduk di Malaysia dilihat memiliki sekurang-kurangnya sebiji kereta untuk kemudahan pengangkutan mereka. Dan tidak kurang, ramai juga yang mempunyai lebih daripada sebiji kereta buat diri mereka.

    Malah tahukah anda pada tahun 2021 sahaja, industri automotif di Malaysia mencatatkan jualan melebihi 500,000 unit meskipun pada ketika itu sedang berdepan cabaran akibat sekatan pergerakan susulan pandemik Covid-19 dan kekurangan cip semikonduktor. 

    Membeli kereta bukanlah perkara yang boleh diambil ringan kerana ia merupakan komitmen masa panjang. Jika tersilap langkah, anda mungkin akan merasa terlalu terbeban sehingga menjejaskan perkara lain dalam kehidupan seharian.

    Justeru itu untuk anda yang ingin membeli kereta baru atau pertama kali ingin membeli kereta, apa kata anda baca dulu artikel ini untuk pertimbangan selanjutnya.

    Pertimbangkan dulu perkara ini sebelum beli kereta

    Kenapa nak beli kereta baru?

    Tahu tujuan anda beli kereta baru

    Jangan terikut dengan trend semasa atau orang sekeliling. Jika anda sudah mempunyai kereta, fikirkan dulu sama ada membeli kereta baru adalah benar-benar perlu atau tidak. Apakah keperluannya? Apakah tujuan anda? Atas alasan apakah anda membeli?

    Andai kata:

    • kereta anda sudah berusia lebih 10 tahun
    • bilangan anak anda semakin ramai
    • kereta perlu digunakan untuk perjalanan jarak jauh; atau
    • kereta sedia ada sering mengalami kerosakan

    Maka, anda bolehlah mempertimbangkan untuk membeli sebiji lagi kereta, atau menukar kereta lama anda dan beli yang baru. Ini kerana, anda memerlukannya ekoran daripada keadaan serta komitmen semasa anda. 

    Namun jika alasan di atas tidak ‘tersenarai’ untuk menjadi penyebab anda membeli kereta baru, maka anda mungkin perlu fikirkannya semula. Ingat, tidak perlulah menambah komitmen sedia ada anda semata-mata untuk mengikut trend. Selagi cantik dan elok digunakan di atas jalan raya, gunakanlah ia sebaiknya.

    Status kewangan anda

    Buat pengiraan mengenai komitmen bulanan anda

    Elak beli kereta di luar kemampuan. Belilah kereta yang mana komitmen bulanannya tidak akan membebankan anda. Katakan anda memperoleh gaji sebanyak RM3,000 sebulan dan pendapatan tahunan adalah RM36,000, maka carilah kereta baru yang harganya kurang daripada pendapatan tahunan anda tersebut.

    Selain itu, fikirkan juga komitmen sedia ada anda termasuk rumah, makan dan minum, bil internet, insurans, kereta (sedia ada) dan lain-lain yang anda perlu tanggung ketika itu dan buat jangka masa panjang. Tambahkan semua komitmen tersebut dan nilai semula sama ada anda berkemampuan atau tidak untuk membeli kereta baru. 

    Kadar deposit

    Bercadang untuk membeli kereta dengan 0% deposit? Nampak agak ‘menarik’ namun sedar atau tidak, komitmen bulanan anda akan menjadi sedikit tinggi berbanding jika anda membayar wang pendahuluan sekurang-kurangnya 10% daripada harga sebenar kereta.

    Sebaiknya, kumpul dulu wang sehingga anda boleh membayar deposit untuk kereta yang anda ingin miliki. Sebagai contoh jika kereta anda itu berharga RM50,000, kumpul dan sediakan wang sebanyak RM5,000 sebagai deposit untuk kereta anda. Dengan itu, ia boleh mengurangkan komitmen bulanan anda kelak.

    Nak beli kereta tempatan atau import?

    Tahu model kenderaan yang anda ingin beli

    Untuk makluman anda, bank pada kebiasaannya meletakkan kadar faedah yang lebih rendah bagi kenderaan import seperti Honda dan Ford berbanding kenderaan jenama tempatan seperti Perodua. Namun perlu anda ketahui, perbezaannya adalah sedikit sahaja.

    Selain harga kereta, pertimbangkan juga caj serta kos penyelenggaraan, alat ganti terpakai dan lain-lain yang anda perlu tanggung selepas memilikinya. Sila buat research terlebih dahulu dan buat penilaian sebelum menambah komitmen bulanan anda dengan membeli kereta baru.

    Keluasan/ ruang kereta

    Anda sudah berkahwin dan miliki lebih daripada tiga orang anak yang masih di bawah penjagaan anda? Maka, seeloknya anda beli kereta yang lebih besar dan luas seperti kenderaan jenis MPV. 

    Biarpun mungkin sedikit mahal, namun ia berbaloi dan penting demi keselamatan serta keselesaan ahli keluarga anda.

    Fikirkan keperluan anda

    Memiliki kenderaan baru sememangnya agak menyeronokkan. Namun perlu anda ketahui terdapat komitmen dalam jangka masa panjang yang perlu anda tanggung. Bukan sahaja anda perlu membayar wang pinjaman kepada pihak bank setiap bulan selama beberapa tahun, malah anda juga perlu fikirkan tentang kos-kos lain selepas memilikinya termasuk minyak, tol, kos penyelenggaraan, kerosakan secara tiba-tiba dan lain-lain.

    Fikirkan dahulu perkara-perkara di atas sebelum anda memutuskan untuk membeli kereta baru. Ingat, beli ikut keperluan serta kemampuan anda. Jangan bebankan diri semata-mata ingin nampak gah atau trend semasa. 


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: