Skip to content
Home » Nak Insurans Nyawa dan Perubatan terbaik? Ini 5 Perkara Anda Perlu Tahu

Nak Insurans Nyawa dan Perubatan terbaik? Ini 5 Perkara Anda Perlu Tahu

    Kesedaran untuk memiliki insurans dalam kalangan rakyat Malaysia nampaknya sudah meningkat meskipun masih berada dalam tahap yang rendah berbanding negara lain. Perlindungan insurans kini dianggap sebagai suatu keperluan bagi setiap individu lebih-lebih dalam kehidupan yang serba mencabar pada hari ini.

    Anda tidak akan tahu apa yang akan menanti diri anda pada masa akan datang. Jika anda sihat pada hari ini, tidak semestinya kondisi atau tahap kesihatan anda akan berada dalam keadaan yang sama beberapa tahun akan datang. Malah tidak mustahil, fizikal dan kehidupan anda boleh berubah dalam sekelip mata sekiranya berlaku kecelakaan seperti kemalangan ke atas diri atau keluarga anda. Justeru, pada ketika inilah perlindungan insurans nyawa dan perubatan akan memainkan peranannya. 

    Namun, untuk memiliki atau membeli insurans, anda tidak bolehlah mengambilnya secara somberono dan sambil lewa. Jika ingin memastikan anda mempunyai perlindungan insurans terbaik, sila pastikan anda mengikuti beberapa panduan yang disediakan ini.

    1. Kenal pasti keperluan jumlah perlindungan

    Setiap individu mempunyai keperluan jumlah perlindungan yang berbeza. Sebelum membeli insurans, pastikan anda tahu berapakah jumlah perlindungan yang anda perlukan. 

    Namun, anda sangat disarankan untuk mendapatkan jumlah perlindungan sebanyak 10 kali ganda daripada pendapatan tahunan anda. Matematiknya mudah, sekiranya pendapatan tahunan anda adalah sebanyak RM60,000, maka jumlah perlindungan yang anda perlukan anda sepatutnya RM600,000.

    Dengan cara ini, sekiranya sesuatu berlaku kepada anda, wang pampasan yang bakal diterima akan membantu menyelamatkan anda untuk ‘pulih’ dalam tempoh masa yang agak panjang.

    2. Fahami ciri-ciri pelan

    Sangat penting untuk anda memahami dan meniliti setiap ciri-ciri pelan yang ditawarkan. Walaupun kebanyakan pelan insurans memiliki asas yang sama, namun setiap penyedia insurans mungkin mempunyai keistimewaan atau perbezaan dalam pelan mereka.

    Jadi, berbincanglah elok-elok dengan ejen anda. Tanya apa sahaja soalan yang anda ingin tahu dan pastikan setiap ciri dalam pelan yang dipilih anda difahami sepenuhnya.

    3. Tahu bajet anda

    Elakkan daripada membeli insurans lebih daripada keperluan dan kemampuan anda.  Tanya diri anda, berapakah jumlah yang anda sanggup/ boleh bayar setiap bulan untuk perlindungan insurans?

    Kenalpasti jumlah tersebut, dan dapatkanlah perlindungan insurans yang bersesuaian dengan bajet anda itu. Kadar peratusan yang disarankan untuk perlindungan insurans pada kebiasaannya adalah sekitar 10% daripada pendapatan bulanan anda.

    4. Nak beli kad perubatan? Dapatkan kad perubatan yang tidak terhad kepada hospital tertentu

    Seperti yang anda mungkin sedia maklum, sesetengah penyakit memerlukan pesakit untuk mendapatkan prosedur/rawatan di hospital tertentu kerana mempunyai peralatan yang lebih lengkap dan canggih.

    Jadi, di sinilah pentingnya untuk anda memiliki kad perubatan yang boleh menanggung anda untuk mendapatkan rawatan di mana-mana hospital sekalipun. Malah sebaiknya, kad perubatan tersebut perlulah juga memberi perlindungan bagi kedua-dua kos rawatan hospital dan ubat-ubatan. Ini kerana terdapat sesetengah polisi yang hanya akan menanggung kos ubat-ubatan sahaja dan tidak kepada kos prosedur rawatan.

    5. Tiada pembahagian pembayaran antara anda dan syarikat insurans

    Memiliki perlindungan insurans terutamanya kad perubatan pastinya akan mengurangkan beban kewangan anda jika anda menghidap penyakit suatu hari nanti. Namun, anda tidak akan lega sepenuhnya sekiranya kad perubatan anda memerlukan anda untuk membayar sebahagian daripada kos rawatan. 

    Kad perubatan yang terbaik adalah di mana anda tidak perlu membayar sebahagian daripada kos rawatan sekiranya anda memilih hospital anda sendiri. Jadi, teliti and baca betul-betul kontrak polisi insurans anda!