Sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka diraikan pada Sabtu ini, ramai dalam kalangan kita pastinya sudah mula dalam perancangan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Biasanya pada waktu-waktu inilah jalan raya mulai sesak, dan secara tidak langsung ada dalam kalangan pemandu yang mula mengabaikan peraturan jalan raya semata-mata untuk cuba sampai dengan lebih cepat ke destinasi mereka.
Tunggu dulu, ini peringatan untuk anda! Sempena Ops Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dari 18-27 April ini, terdapat 7 kesalahan utama yang tidak boleh dikompaun, justeru perlu anda elak daripada melakukannya!
7 Kesalahan Utama Tidak Boleh Dikompaun Sempena OPS Hari Raya Aidilfitri
Untuk makluman anda, saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbahagi kepada dua iaitu:
I. saman yang boleh dikompaun – saman yang boleh dibayar dalam tempoh yang ditetapkan dalam saman tersebut.
Ii. saman yang tidak boleh dikompaun – saman yang perlu diselesaikan di Mahkamah seperti yang ditetapkan dalam notis saman.
Justeru, sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA), berikut JPJ senaraikan kesalahan utama yang tidak boleh dikompaun:
- Menggunakan telefon bimbit ketika memandu
- Gagal mematuhi lampu isyarat merah
- Memandu di lorong kecemasan
- Memandu melebihi had laju
- Memotong di garisan berkembar
- Memotong barisan
- Tidak memakai tali pinggang keledar
Nampak seperti kesalahan ringan, bukan? Namun sedar atau tidak, kesalahan-kesalahan inilah yang sering dilakukan oleh pemandu di luar sana, yang mana ia sebenarnya membahayakan keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Polis jalankan OPS Lancar
Dalam pada itu, polis pula menjalankan OPS Lancar bermula 18 dan 19 April sempena cuti Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan aliran trafik di seluruh negara lancar.
Menurut Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah, operasi tersebut tertumpu di kawasan dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas, melibatkan lebih raya, jalan negeri dan jalan bandar.
Katanya, polis trafik juga akan melaksanakan Ops Selamat 20 selama lapan hari bermula 20 April bertujuan memastikan aliran trafik lancar, selain meminimumkan kes kemalangan jalan raya dan menjamin keselamatan premis kediaman.
“Ops Selamat turut memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui unit peronda polis di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.
Nak balik kampung dengan selamat? Ikut tips ini
Setiap orang ingin memastikan perjalanannya ke kampung selamat dan lancar. Justeru itu, pastikan anda mengambil langkah berwaspada ini agar segalanya dipermudahkan, tenang dan rasa lebih selamat.
Rumah anda
- Jangan tinggalkan barangan berharga seperti wang, barang kemas, komputer riba, dan sebagainya yang dirasakan penting
- Sila pastikan semua punca kuasa elektrik sudah ditutup bagi mengelakkan berlakunya insiden litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran
- Sila pastikan kesemua pintu dan tingkap rumah anda sudah dikunci sebelum meninggalkan rumah
- Maklumkan kepada jiran mengenai ketiadaan anda
Kereta anda
- Sediakan peralatan penting di dalam kereta seperti dashcam, kit pertolongan cemas, tanda segi tiga amaran, tayar ganti dan alat tukar tayar, kabel jumper kereta dan sebagainya
- Pastikan kereta anda sudah diservis
- Pastikan petrol kereta dan sudah diisi dengan penuh bagi mengelakkan anda bersesak di stesen minyak
- Isi kad touch ‘n go anda secukupnya
- Pastikan insurans dan roadtax kenderaan yang digunakan untuk ke kampung masih aktif
Diri anda
- Sebagai pemandu, pastikan anda mendapatkan tidur yang secukupnya sebelum mulakan perjalanan
- Bawa juga wang yang mencukupi andai kata berlaku kecemasan
- Pastikan anda mengikut segala peraturan jalan raya yang ditetapkan ketika memandu demi keselamatan anda, keluarga dan pengguna jalan raya lain
Pulanglah ke kampung dengan selamat
Semoga anda tiba ke destinasi dengan selamat, lancar dan tenang. Sila memandu dengan berhati-hati. Kekal bersabar dengan kesesakan jalan raya yang mungkin berlaku.
Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada Bjak!
Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!
Baca juga: