Skip to content
Home » 5 Perkara yang Perlu Dititikberatkan Sebelum Beli Pelan Insurans Perjalanan

5 Perkara yang Perlu Dititikberatkan Sebelum Beli Pelan Insurans Perjalanan

    pelan insurans perjalanan

    Ramai yang menganggap insurans perjalanan tidak begitu penting sebelum ingin pergi bercuti khususnya ke luar negara. Ada yang merasakan ia hanyalah satu bentuk pembaziran, tidak diperlukan kerana beranggapan tiada apa-apa yang buruk akan berlaku atau bahkan mungkin ada juga yang tidak mengetahui langsung kewujudan pelan insurans perjalanan ini.

    Jangan begitu. Insurans ini sebenarnya sangat penting bagi memastikan anda dapat dilindungi sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini ketika sedang hangat bercuti. Ingat, kos rawatan sekiranya dimasukkan di hospital luar negara sangat tinggi ya. Itu baru satu kemungkinan. Tidak campur lagi jika bagasi atau dokumen lain hilang ketika bercuti. Siapa akan tanggung kerugian anda itu? 

    Di sinilah pentingnya insurans perjalanan. Namun untuk membeli perlindungan ini, anda tetap perlu memastikan pelan insurans perjalanan yang dipilih adalah yang terbaik. Anda tidak boleh mengambil sikap sambil lewa bagi mengelakkan kerugian.

    Jadi sebelum ingin mendapatkan sesuatu pelan insurans perjalanan, ada beberapa perkara yang perlu anda titiberatkan terlebih dahulu demi kebaikan dan kesesuaian anda. 

    Berapa lama tempoh perjalanan

    Biasanya, insurans perjalanan dibeli mengikut kepada berapa lama tempoh perjalanan anda. Bergantung kepada individu, jika dalam tempoh setahun anda memang kerap pergi bercuti, maka anda bolehlah pilih pelan insurans perjalanan tahunan. Namun, jika dalam tempoh setahun anda hanya pergi bercuti sekali dua sahaja, jadi bolehlah anda membeli insurans perjalanan tunggal

    Bagi insurans perjalanan tunggal, kebanyakan syarikat insurans akan mengenakan bayaran berdasarkan kepada blok tempoh, contohnya 1 hingga 5 hari, 6 hingga 10 hari atau 30 hari terus.

    Dimanakah anda ingin bercuti

    Tentukan dahulu destinasi sebelum dapatkan insurans perjalanan

    Perlu anda tahu, setiap harga bagi insurans perjalanan adalah berbeza-beza, bukan sahaja mengikut syarikat bahkan juga kepada destinasi yang anda pilih sama ada di dalam atau luar negara. Jika dalam negara sahaja, sudah tentulah harganya lebih murah berbanding insurans perjalanan jika anda ingin bercuti ke luar negara. 

    Mengapa ia berlaku? Ini mengambil kira faktor risiko ya. Jika berlaku apa-apa kepada anda apabila berada di luar negara, kos yang perlu ditanggung semestinya lebih tinggi contohnya kos perubatan, kos penghantaran pulang jenazah dan lain-lain. 

    Apa bentuk perlindungan yang ditawarkan

    Nak beli pelan insurans perjalanan terbaik? Maka, anda boleh nilai apakah manfaat yang anda harapkan dan adakah syarikat insurans tersebut ada mewarkannya untuk anda. Ingat, murah tidak semestinya menguntungkan dan mahal juga tidak semestinya bagus.

    Sebelum memilih sebarang pelan insurans, pastikan anda buat penilaian terlebih dahulu. Setiap syarikat insurans menawarkan skop perlindungan yang berbeza meskipun mungkin nampak sedikit sama. 

    Sila buat perbandingan terlebih dahulu dan nilaikan setiap perlindungan yang diberi serta pengecualian (perkara yang tidak akan dilindungi) dalam terma dan syarat polisi. 

    Antara beberapa manfaat yang lazimnya diberi di dalam insurans perjalanan adalah:

    • Perlindungan untuk kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan
    • Kehilangan/ kelewatan penerimaan bagasi
    • Penerbangan ditunda/ batal (atas sebab yang sah)
    • Faedah perubatan termasuk bayaran balik perbelanjaan perubatan, pemindahan kecemasan dan lain-lain (sila rujuk polisi))
    • Kehilangan dokumen penting termasuk passport, kad kredit dan lain-lain
    • Penghantaran pulang jenazah
    • Kehilangan barang berharga bukan atas sebab kecuaian sendiri

    Manakala, beberapa pengecualian atau perkara yang tidak dilindungi dalam insurans perjalanan pula termasuklah:

    • Alami penyakit HIV atau AIDS
    • Kerosakan akibat perang, serangan nuklear, rusuhan atau lain-lain
    • Kematian akibat bunuh diri
    • Gugur atau bersalin
    • Penyakit sedia ada

    Siapa yang diinsuranskan

    Untuk makluman anda, apabila ingin membeli insurans biasanya pihak syarikat akan memberi pilihan untuk memilih pelan insurans individu atau berkumpulan. Seperti namanya, pakej insurans individu akan melindungi satu individu yang diinsuranskan itu sahaja, manakala jika kumpulan, ia akan melindungi orang yang diinsuranskan dalam pelan itu termasuklah pasangan atau anak-anak.

    Dari segi harga pula, sudah tentulah pakej insurans berkumpulan lebih mahal berbanding untuk individu. Namun jika anda pergi bersama keluarga, maka lebih jimat jika anda ambil pakej insurans berkumpulan terus ya.

    Bagaimana status kesihatan anda

    Jangan menipu ketika ingin membeli mana-mana insurans termasuklah insurans perjalanan ya. Sila pastikan anda mengisytihar status kesihatan anda serta setiap penyakit sedia ada bagi memastikan tiada sebarang masalah pada masa akan datang. 

    Untuk penyakit sedia ada, biasanya anda tidak boleh membuat tuntutan kepada syarikat insurans jika anda diserang penyakit tersebut ketika sedang bercuti. Sila rujuk dengan syarikat insurans pilihan anda untuk pengesahan.

    Moga berguna!

    Semoga artikel ini membantu anda untuk berjaya mendapatkan pelan insurans perjalanan terbaik. Ingat, jangan anggap insurans ini satu perkara yang remeh. Lebih baik sediakan payung sebelum hujan berbanding anda sendiri terpaksa menanggung kerugian nanti.

    Dalam pada itu, anda juga boleh mendapatkan pelan insurans perjalanan menerusi Bjak hari ini. Ada 15 jenama insurans untuk dibandingkan dan yang pastinya semua adalah diiktiraf dan terbaik di Malaysia. 


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan beli insurans anda ikut keperluan dan bajet.

    Baca juga: