Skip to content
Home » Pengecualian: Perkara yang Tidak Dilindungi Insurans Nyawa

Pengecualian: Perkara yang Tidak Dilindungi Insurans Nyawa

    Bayangkan hanya anda seorang sahaja dalam keluarga yang bekerja dan menyara keluarga anda. Bagaimana anda boleh membayar keperluan perubatan sekiranya secara tiba-tiba terlibat dengan kemalangan sehingga menyebabkan diri anda tidak lagi berdaya untuk bekerja? Dan jika ia berlarutan, bagaimanakah keluarga anda boleh bertahan apabila anda tidak lagi mampu mencari sumber pendapatan buat mereka?

    Ini pastinya akan menjadi detik paling menyukarkan, di mana di sinilah anda memerlukan insurans nyawa.

    Bagaimana insurans nyawa membantu anda atau tanggungan anda?

    Insurans nyawa akan memberikan pembayaran pampasan secara sekali gus kepada anda atau waris sekiranya: 1) anda hilang upaya kekal sehingga menyebabkan diri tidak lagi boleh bekerja 2) anda meninggal dunia.

    Pembayaran itu seterusnya boleh digunakan untuk sebarang tujuan dan juga boleh membantu anda untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan bagi mengekalkan kehidupan anda. Sekiranya anda meninggal dunia, bayaran pampasan sekali gus itu akan diberikan kepada tanggungan (atau sesiapa yang anda letakkan sebagai pewaris), bagi membantu melegakan beban kewangan sementara mereka cuba mengatasi keperitan pemergian anda dan mencari cara untuk mendapatkan pendapatan lain.

    Namun, sila ambil perhatian mengenai beberapa perkara atau kes di mana tidak akan dilindungi oleh insurans nyawa. Ia disebut sebagai pengecualian.

    Fahami dulu apakah itu pengecualian sebelum menandatangai polisi insurans nyawa anda.

    Apakah maksud pengecualian?

    Pengecualian adalah kes-kes di mana syarikat insurans tidak memberikan perlindungan. Pengecualian adalah sebahagian daripada polisi insurans nyawa dan kesihatan yang dipraktikkan dalam semua industri insurans.

    Satu contoh pengecualian adalah bunuh diri atau cubaan membunuh diri. Ini adalah gambaran situasi. Individu A hilang kemampuan untuk menggunakan kedua-dua tangannya selepas percubaan untuk membunuh diri. Malang untuk dirinya, disebabkan oleh cubaan untuk membunuh diri adalah sebahagian daripada pengecualian insurans nyawanya, dia tidak layak untuk menerima bayaran sekali gus dari insuransnya. Lebih tragis, jika individu A mati disebabkan tindakan membunuh diri, warisnya juga tidak akan mendapat sebarang manfaat daripada insuransnya.

    Ini adalah pengecualian biasa lain dalam insurans nyawa yang anda perlu tahu

    1. Keadaan pra wujud

    Keadaan pra wujud adalah keadaan kesihatan di mana ia telah wujud sebelum anda memohon insurans nyawa. Keadaan pra wujud ini boleh dikira dari keadaan ringan seperti alergi sehingga ke penyakit kritikal seperti penyakit jantung, diabetes atau kanser.

    Apabila memohon insurans nyawa, anda perlu membuat deklarasi bertulis mengenai beberapa maklumat peribadi termasuk nama penuh, tarikh lahir, dan kondisi kesihatan anda. Maklumat-maklumat ini perlu diberikan kepada syarikat insurans ketika memohon untuk membeli insurans atau sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan selepas pengeluaran polisi. Apa yang akan berlaku jika anda gagal untuk menyatakan dengan betul kondisi kesihatan anda? Jom lihat senario di bawah:

    Contoh senario:

    Adam didiagnosis menghidap epilepsi sebelum permohonan insuransnya. Dia gagal menyatakan keadaan sebenarnya kepada penyedia insurans semasa permohonan insurans dan dalam tempoh 12 bulan selepas tarikh pengeluaran polisi. Suatu hari ketika memandu, Adam secara tiba-tiba mengalami sawan yang teruk sehingga menyebabkan dia hilang kawalan. Kemalangan itu telah mengakibatkan dia kehilangan upaya kekal. Namun, malang buat Adam kerana tidak dapat menerima manfaat hilang upaya kekal kerana kecacatan itu secara tidak langsung adalah disebabkan oleh keadaan/ penyakit yang sudah wujud iaitu epilepsi.

    Ambil pengajaran daripada situasi yang berlaku oleh Adam. Pastikan anda memaklumkan kepada syarikat insurans mengenai kondisi kesihatan sebenar anda. Sangat penting untuk anda berlaku jujur dengan memberikan segala maklumat yang diperlukan oleh syarikat insurans. Kegagalan untuk mendedahkan sebarang maklumat yang diperlukan boleh menidakkan anda untuk menikmati manfaat daripada insurans nyawa anda.

    2. Penglibatan dalam sukan profesional yang ekstrem atau aktiviti merbahaya

    Sesetengah syarikat insurans tidak akan memberi pampasan untuk sebarang kejadian hilang upaya kekal, sekiranya kecacatan itu secara langsung atau secara tidak langsung disebabkan oleh penglibatan dalam:

    1. Sukan ekstrem profesional seperti:
    • Selam skuba
    • Lumba
    • Penerbangan udara (selain sebagai: anggota kru, atau penumpang dalam pesawat komersial berlesen)

    2. Aktiviti merbahaya seperti:

    • Terjun lelabah (bungee jumping)
    • Payung terjun
    • Sky-diving

    Contoh senario:

    Setelah pulang ke kampung halaman untuk beberapa bulan, Elly pergi melakukan aktiviti sky-diving untuk percutian hujung minggunya. Namun, percutiannya berubah menjadi tragedi kerana dia gagal mendarat dengan selamat sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya lumpuh. Lebih malang, Elly juga tidak dapat memperoleh manfaat hilang upaya kekal melalui insuran nyawanya akibat daripada kemalangan itu.

    Apa yang berlaku kepada Elly boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sebelum anda berhasrat untuk terlibat dalam sukan ekstrem profesional atau melakukan sebarang aktiviti merbahaya yang boleh membahayakan diri anda, sila baca dengan teliti fine print polisi insurans memandangkan ia boleh menjadi salah satu pengecualian di bawah polisi anda.

    3. Penglibatan dalam aktiviti haram

    Pemegang polisi juga tidak akan mendapat sebarang manfaat daripada hilang upaya kekal sekiranya kecacatan itu disebabkan oleh penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti haram termasuklah:

    1. Pencerobohan
    2. Perang saudara
    3. Pemberontakan
    4. Revolusi
    5. Rusuhan

    Contoh senario:

    Linda terlibat dalam rusuhan. Dia mengalami kecederaan parah akibat serangan fizikal semasa rusuhan. Kecederaannya bertambah teruk sehingga melumpuhkan kedua-dua tangan buat selama-lamanya. Linda tidak memperoleh sebarang manfaat hilang upaya kekal dari insuransnya kerana kecacatan itu adalah disebabkan penglibatannya dalam rusuhan, yang merupakan sebahagian daripada pengecualian dalam insurans hayatnya.

    Fikir dengan sedalamnya mengenai risiko menyertai sebarang aktiviti. Anda pasti tidak mahu kehilangan sebarang manfaat daripada insurans anda, terutamanya setelah menghabiskan banyak wang untuk premium insurans anda selama ini.


    Di atas hanyalah sebahagian daripada pengecualian biasa yang terkandung di dalam insurans nyawa. Sebelum membeli insurans nyawa, sila tanya ejen insurans dan teliti setiap perkara yang terkandung di dalam polisi. Baca dan lihat juga fine print di dalam polisi dan dapatkan penjelasan dengan ejen insurans anda sekiranya terdapat persoalan atau sebarang perkara yang tidak difahami sebelum menandatangani kontrak. Anda juga boleh mendapatkan komsultasi dengan ejen tanpa komisen Bjak yang pastinya tidak akan memberikan sebarang cadangan berat sebelah.

    Rujukan:

    Sumber 1

    Sumber 2