Skip to content
Home » Perkara yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kad Perubatan

Perkara yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kad Perubatan

    A medical card covers your hospitalization and medical bills.

    Mempunyai perancangan untuk mendapatkan kad perubatan? Penting untuk anda tahu beberapa perkara dahulu supaya anda boleh mendapatkan kad perubatan yang terbaik. Dalam artikel ini, kita akan lihat beberapa perkara penting yang anda perlu fahami mengenai kad perubatan.

    Apakah kad perubatan?

    Kad perubatan membantu untuk membayar perbelanjaan perubatan anda seperti yang dinyatakan di dalam pelan perubatan. Namun terdapat perbezaan di antara kad perubatan standalone dengan kad perubatan rider.

    Kad perubatan standalone berfungsi sebagai insurans bertempoh. Anda akan dilindungi selagi anda membayar premium.

    Kad perubatan rider merupakan perlindungan tambahan yang diambil di dalam insurans nyawa berkaitan pelaburan ataupun komprehensif.

    Apakah perbezaan di antara kad perubatan standalone dan kad perubatan rider?

    Di bawah ini adalah perbezaan utama antara kad perubatan standalone dengan kad perubatan rider:

    1.Premium

    Premium adalah jumlah yang dibayar secara berkala oleh pemegang polisi kepada syarikat insurans untuk menikmati perlindungan insurans.

    Untuk kad perubatan standalone, premiumnya lebih rendah tetapi meningkat berdasarkan usia pemegang polisi dan kadar inflasi perubatan di Malaysia. Kos perubatan yang lebih tinggi boleh menyebabkan peningkatan pada premium.

    Bagi kad perubatan rider, premiumnya lebih tinggi terutama pada beberapa tahun pertama. Kelebihannya adalah premium untuk polisi ini tidak meningkat setiap tahun kerana tidak dipengaruhi oleh faktor usia. Jumlah premium tambahan yang dibayar selama beberapa tahun pertama akan menanggung kos perubatan yang lebih tinggi pada masa akan datang. Untuk rider yang disertakan di dalam polisi berkaitan pelaburan, sekurang-kurangnya 46% daripada premium yang ditinggalkan selepas ditolak caj insurans akan dimasukkan ke dalam dana syarikat insurans untuk pelaburan.

    Sebagai contoh, pada usia 50 tahun, premium tahunan untuk kad perubatan anda (rider) adalah RM3,000. Daripada membayar RM3,000, anda hanya perlu membayar RM2,500 kerana RM500 premium telah dilindungi oleh premium tambahan yang telah anda bayar dalam beberapa tahun pertama.

    2. Perlindungan

    Perlindungan insurans adalah jumlah risiko atau liabiliti yang dilindungi untuk individu oleh penyedia insurans.

    Untuk kad perubatan standalone, insurans anda akan berhenti melindungi anda setelah anda berhenti membayar premium.

    Untuk polisi berkaitan pelaburan, rider seperti kad perubatan, insurans nyawa dan insurans penyakit kritikal biasanya digabungkan. Tidak seperti kad perubatan standalone, polisi yang komprehensif dan berkaitan pelaburan dapat memperoleh nilai tunai dari masa ke semasa. Disebabkan oleh nilai tunai, polisi komprehensif dan berkaitan pelaburan tidak akan dapat ditamatkan dengan mudah. Kad perubatan akan terus menginsuranskan pemegang polisi kerana premium tambahan yang dibayar masih menanggung kos insurans perubatan.

    Perkara lain yang anda perlu tahu mengenai kad perubatan

    Berdasarkan daripada perbezaan ketara di antara kad perubatan standalone dan kad perubatan rider, anda boleh lihat bahawa kad perubatan rider adalah ‘terikat’ dengan polisi komprehensif yang memberikan perlindungan lebih baik. Namun anda perlu tahu bahawa setiap syarikat insurans menyediakan pelan yang pelbagai. Ini adalah sebahagian perkara penting mengenai kad perubatan yang anda perlu tahu sebelum mendapatkannya.

    Had tahunan dan seumur hidup

    Had tahunan adalah jumlah maksimum yang boleh anda tuntut daripada syarikat insurans anda dalam setahun. Sementara itu, had seumur hidup adalah jumlah maksimum yang boleh anda tuntut dari syarikat insurans anda seumur hidup dengan syarat premium anda dibayar dan polisi masih berkuatkuasa. Penting untuk anda ketahui perkara ini kerana mereka (syarikat insurans) menentukan jumlah perlindungan yang anda layak. Contohnya, tiada had tahunan dan had seumur hidup.

    Had umur

    Had umur adalah umur maksimum di mana syarikat insurans tidak akan menerima permohonan insurans atau tidak akan memperbaharui polisi. Sebagai contoh, beberapa syarikat insurans mungkin menginsuranskan anda sehingga 70 atau 80 tahun. Oleh kerana had umur berbeza mengikut syarikat insurans, anda perlu memeriksa had umur yang akan dilindungi oleh syarikat insurans yang anda pilih.

    Hospital panel

    Hospital panel adalah hospital yang mempunyai perjanjian untuk menerima kad perubatan yang diberikan oleh syarikat insurans tertentu. Ini adalah hospital yang bekerjasama dengan syarikat insurans anda yang bakal memberikan persetujuan dan menyerahkan tuntutan insurans anda kepada syarikat insurans. Penting bagi anda untuk mencari syarikat insurans dengan hospital panel yang luas agar anda mempunyai pilihan yang lebih banyak dan lebih baik dalam mendapatkan rawatan.

    Pilihan perlindungan untuk keluarga

    Anda juga boleh mempertimbangkan untuk melindungi pasangan dan anak-anak anda dalam satu polisi. Sesetengah polisi melindungi anak yang dilahirkan selepas polisi dibeli (maksimum 5 orang anak). Periksa dengan syarikat insurans anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelan perubatan yang memberi perlindungan kepada keluarga.

    Tempoh menunggu

    Tempoh menunggu adalah tempoh yang harus anda tunggu sebelum anda boleh menuntut sebahagian atau semua perlindungan di dalam polisi anda. Sebilangan besar polisi mempunyai tempoh menunggu antara 30 hingga 90 hari. Terdapat juga syarikat insurans yang menawarkan tiada-tempoh menunggu untuk perlindungan tertentu. Ambil perhatian mengenai perkara ini supaya anda mengetahui bila anda boleh mula menggunakan insurans untuk perbelanjaan perubatan anda.

    Premium

    Premium adalah jumlah yang harus anda bayar kepada syarikat insurans anda sama ada bulanan, suku tahunan, setengah tahun atau tahunan kepada syarikat insurans anda, untuk menikmati perlindungan dalam polisi anda. Pastikan bahawa anda mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membayar premium anda secara konsisten kerana sekiranya anda gagal, ia boleh menyebabkan polisi anda luput. Apabila perkara itu berlaku, anda mungkin kehilangan manfaat insurans anda.

    Pengecualian

    Pengecualian adalah kes yang tidak dilindungi oleh insurans anda. Sebagai contoh, beberapa syarikat insurans tidak melindungi keadaan pra-wujud atau kondisi kesihatan yang sudah ada sebelum anda memohon insurans. Katakan anda menghidap barah sebelum memohon kad perubatan, kad perubatan anda tidak akan melindungi rawatan barah anda kerana ia adalah sebahagian daripada pengecualian insurans anda.

    Had bilik dan penginapan hospital

    Had bilik dan penginapan hospital merujuk kepada kos penginapan anda di hospital. Perlindungan berdasarkan jenis bilik dan jumlah hari anda tinggal di hospital. Anda boleh menyesuaikan jumlah perlindungan, katakan sekiranya anda ingin tinggal di bilik yang lebih selesa atau bahkan di bilik perseorangan.

    Deduktibel

    Deduktibel adalah jumlah pendahuluan yang anda bayar sebelum pelan insurans anda mulai melindungi baki bil perubatan anda. Sebagai contoh, jika tuntutan insurans perubatan anda adalah RM5,000 dan deduktibel anda adalah RM1,000, anda perlu terlebih dahulu membayar RM1,000 sebelum insurans anda membayar baki RM4,000.

    Anda boleh memilih kad perubatan yang memberikan sifar-deduktibel atau kad perubatan dengan deduktibel. Untuk kad perubatan dengan sifar-deduktibel, anda perlu membayar premium yang lebih tinggi kerana insurans anda akan menanggung keseluruhan kos perbelanjaan perubatan anda. Sekiranya anda memilih kad perubatan dengan deduktibel, anda boleh membayar premium yang lebih rendah. Contohnya, jika anda memilih kad perubatan dengan deduktibel sebanyak RM1,000, anda hanya perlu membayar premium bulanan RM200. Sebaliknya, jika anda memilih kad perubatan dengan sifar-deduktibel, anda perlu membayar premium bulanan yang lebih tinggi, katakan RM400. Kelebihan memilih kad perubatan dengan deduktibel adalah anda dapat menikmati premium yang lebih rendah. Tetapi pilihlah pelan ini hanya sekiranya anda mampu menyediakan sejumlah wang oleh anda setiap kali memerlukan rawatan perubatan.

    Pembaharuan yang dijamin

    Syarikat insurans anda akan menjamin pembaharuan polisi anda selagi anda terus membayar premium tepat pada waktunya. Namun, anda perlu tahu bahawa pembaharuan polisi yang dijamin tertakluk kepada had tahunan seumur hidup anda dan umur maksimum yang anda layak untuk perlindungan.

    Kesimpulan

    Dengan kenaikan kos perubatan, penting untuk anda bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini. Anda mungkin berada dalam keadaan sihat sekarang tetapi tidak ada jaminan anda akan kekal sihat pada masa akan datang.

    Kad perubatan akan membantu melindungi kesihatan dan kewangan anda. Dengan perkongsian yang telah dibuat di atas, pastikan anda pertimbangkan semua perkara-perkara penting tersebut sebelum membeli sebarang kad perubatan. Untuk maklumat lebih lanjut, anda juga boleh berjumpa dengan pakar insurans tanpa komisen kami di Bjak untuk mendapatkan nasihat profesional dan tidak berat sebelah.

    Rujukan:

    Sumber 1