Skip to content
Home » Apa yang Dilindungi & Tidak Dilindungi Dalam Insurans Perjalanan?

Apa yang Dilindungi & Tidak Dilindungi Dalam Insurans Perjalanan?

    perlindungan dalam insurans perjalanan

    Kejadian malang boleh berlaku dengan sangat tiba-tiba termasuklah ketika sedang melancong. Bagasi hilang, sakit menyerang secara mengejut, penerbangan ditunda dan sebagainya, boleh berlaku dalam sekelip mata. Disebabkan itu, sesiapa sahaja yang ingin pergi melancong digalakkan untuk membeli insurans perjalanan. 

    Namun, ramai lagi yang belum menyedari mengenai kepentingan insurans perjalanan ini kerana menganggap tidak ada apa-apa yang akan berlaku kepada mereka. Akhirnya menyesal apabila kejadian sedemikian berlaku pada diri sendiri. 

    Perlu anda tahu, terlalu banyak manfaat jika anda membeli insurans perjalanan sebelum ingin pergi bercuti. Anda bukan sahaja berasa lebih selamat, bahkan juga tidak perlu begitu terbeban khususnya dari segi kewangan jika berlaku sesuatu.

    Apa yang dilindungi oleh insurans perjalanan?

    Perkara yang dilindungi dalam insurans perjalanan

    Persatuan Insurans Am Malaysia ada kongsikan bentuk-bentuk perlindungan yang lazimnya diberikan dalam insurans perjalanan.

    Kematian dan hilang upaya kekal

    Pemegang polisi biasanya dilindungi untuk kematian dan hilang upaya kekal dalam tempoh 365 hari selepas berlakunya kemalangan. Pampasan akan dibayar mengikut skala manfaat dan mungkin berbeza antara satu syarikat insurans dengan syarikat insurans yang lain.

    Kehilangan bagasi

    Ini melindungi kehilangan atau kerosakan bagasi yang tidak disengajakan, pakaian, barangan peribadi, atau bahkan wang yang ada dalam bagasi.

    Kehilangan passport atau wang

    Anda akan dibayar balik untuk caj hotel tambahan, perjalanan dan perbelanjaan lain yang dikeluarkan di negara yang anda lawati, sambil mendapatkan penggantian pasport yang hilang. Kehilangan tersebut mesti dilaporkan kepada polis dalam tempoh 24 jam.

    Perbelanjaan perubatan dan kemasukan ke hospital

    Perlindungan untuk kemasukan ke hospital, perbelanjaan rawatan atau pembedahan, perbelanjaan perubatan pesakit luar, serta elaun harian sehingga bilangan hari maksimum, sekiranya anda dimasukkan ke hospital selama lebih daripada 24 jam.

    Penghantaran pulang jenazah

    Sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan terhadap individu yang dinsuranskan, syarikat insurans akan membayar balik kepada waris sah untuk kos pemulangan jenazah ke rumah.

    Pemendekan perjalanan

    Anda akan dibayar balik untuk perbelanjaan yang ditanggung akibat kehilangan perjalanan atau perbelanjaan penginapan yang dibayar kerana pembatalan atau sekatan perjalanan.

    Rampasan (hijacking)

    Penanggung insurans boleh membayar anda sehingga jumlah hari maksimum yang ditetapkan jika perjalanan anda terganggu selama lebih daripada 12 jam disebabkan oleh rampasan.

    Apa yang tidak dilindungi dalam insurans perjalanan?

    Kerugian yang disebabkan oleh peristiwa/ kejadian tertentu dikecualikan daripada perlindungan oleh pihak insurans. Beberapa pengecualian biasa termasuklah:

    • Risiko perang
    • Bunuh diri dan gila
    • Pembunuhan atau serangan
    • Bersalin atau keguguran
    • Sukan berbahaya
    • Kelewatan dan kehilangan bagasi serta barang peribadi akibat rampasan atau pemusnahan di bawah kuarantin atau peraturan tersuai

    Bagaimana nak pilih insurans perjalanan terbaik?

    1. Bandingkan polisi/ pelan insurans dengan beberapa buah syarikat untuk mendapatkan manfaat pada harga terbaik
    2. Pilih syarikat insurans yang ada rangkaian kerjasama asing luar yang baik supaya bantuan mudah diberikan jika berlaku sesuatu
    3. Baca polisi dengan teliti untuk tahu dan kenalpasti perkara yang boleh dituntut
    4. Dapatkan pelan insurans yang dapat memberikan bantuan khidmat pelanggan 24 jam

    Cara claim insurans 

    Ikut sahaja langkah ini jika anda perlu membuat tuntutan insurans di bawah polisi insurans perjalanan anda:

    Hubungi talian bantuan perubatan dan kecemasan

    Sesetengah insurans perjalanan menawarkan manfaat perkhidmatan talian kecemasan 24 jam yang akan membantu memudahkan pemegang polisi mendapatkan akses kepada bantuan seperti nasihat perubatan, rujukan, pemindahan perubatan dan perkara berkaitan perjalanan seperti kehilangan passport dan bagasi.

    Maklumkan pihak berkuasa

    Jika barang-barang anda yang diinsuranskan hilang atau rosak, anda mesti mengambil semua langkah yang munasabah untuk melindungi, menyimpan dan memulihkannya, dan juga mesti memaklumkan dengan segera kepada polis tempatan, hotel, syarikat pengangkutan atau pihak berkuasa terminal pengangkutan, yang mana berkenaan.

    Beritahu syarikat insurans anda secepat mungkin

    Anda harus menyerahkan borang tuntutan berserta dengan semua dokumen sokongan seperti salinan asal polisi insurans anda, laporan perubatan, laporan polis dan sebarang dokumen yang berkaitan bagi menyokong tuntutan secepat mungkin kepada syarikat insurans anda. Sila semak tempoh masa untuk pemberitahuan tuntutan insurans seperti yang ditetapkan dalam polisi anda.

    Semoga perkongsian ini bermanfaat! Ingat, dapatkan insurans perjalanan sebelum mulakan percutian ke luar negara agar anda boleh dilindungi sekiranya berlaku sesuatu. 

    Kini, anda juga boleh dapatkannya di Bjak. Ada 15 pilihan jenama insurans yang anda boleh bandingkan sekaligus. Pastinya lebih mudah dan pantas!


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan beli insurans anda ikut keperluan dan bajet.

    Baca juga: