Keputusan anda untuk mendapatkan insurans perjalanan sebelum pergi melancong sememangnya satu langkah yang baik dan tepat. Namun anda perlu ingat, untuk beli dan pilih insurans perjalanan, anda juga perlu memastikan ia bertepatan dengan keperluan anda ya.
Sebenarnya untuk membeli insurans perjalanan ini tidaklah begitu sukar. Anda boleh sahaja mendapatkannya secara online di mana-mana platform insurans yang ada. Tetapi, apa yang menjadi sedikit sukar adalah untuk memastikan anda mendapat pelan terbaik sahaja.
Jadi pada artikel kali ini, jom kami kongsikan perkara yang anda perlu tanya dan kenalpasti terlebih dahulu sebelum memilih travel insurance buat diri anda.
“Apa yang dilindungi dalam polisi atau kad kredit sedia ada saya?”
Anda sudah miliki insurans peribadi atau kad kredit perjalanan? Jika ya, sila semak dulu sama ada ia telah menawarkan sejumlah perlindungan untuk insurans perjalanan atau tidak. Sesetengah polisi insurans peribadi mungkin ada menawarkan perlindungan untuk perjalanan, contohnya kemasukan ke hospital atau juga tuntutan untuk kos rawatan perubatan. Anda boleh hubungi syarikat insurans atau tanya terus kepada ejen insurans peribadi anda untuk mendapatkan kepastian.
Dalam pada itu, sesetengah kad kredit juga ada menawarkan perlindungan insurans apabila anda membeli tiket kapal terbang menggunakan kad kredit tersebut. Contohnya ada kad kredit yang berikan perlindungan sehingga jumlah tertentu termasuklah kehilangan bagasi, penerbangan dilewatkan, elaun kemasukan ke hospital ke luar negara dan lain-lain. Jadi, sila semak dahulu ya supaya anda tidak rugi.
“Perlindungan bagaimanakah saya perlukan?”
Sebelum mulakan percutian, pastikan anda sudah membuat perancangan yang paling rapi. Ia bagi memastikan percutian anda menyeronokkan dan selamat sepanjang masa. Tentukan juga jika ada sebarang aktiviti ekstrem yang anda ingin lakukan apabila bercuti nanti.
Jika ada, maka anda mungkin memerlukan perlindungan tambahan bagi aktiviti tersebut. Biasanya, polisi insurans asas tidak menawarkan perlindungan untuk aktiviti lasak yang dilakukan oleh pemegang polisi.
Selain itu, tentukan juga di mana anda ingin pergi dan tinggal. Jika ia adalah di kawasan yang memiliki kadar jenayah yang tinggi, maka anda mungkin memerlukan perlindungan tambahan dari segi kecurian barangan peribadi, dokumen penting dan lain-lain. Tanya dahulu ejen atau khidmat pelanggan syarikat insurans anda tentang perlindungan tambahan yang disediakan.
“Pergi seorang atau bersama pasangan. Keluarga?”
Ketika ingin membeli insurans, anda boleh memilih sama ada untuk membeli insurans perjalanan individu atau berkelompok. Sekiranya anda membuat pengembaraan solo, maka anda bolehlah ambil insurans perjalanan individu sahaja yang mana harganya lebih murah.
Sebaliknya jika anda bercadang untuk pergi bercuti bersama pasangan atau ahli keluarga, maka sebaiknya anda pilihlah insurans perjalanan berkelompok kerana perlindungan tersebut boleh dikongsi dan menawarkan premium yang lebih berbaloi dan rendah berbanding membeli ‘setiap orang, satu insurans’.
“Adakah ini percutian terakhir saya untuk tahun ini?”
Jika anda ada bercadang untuk pergi bercuti ke luar negara lagi dalam masa terdekat, maka sebaiknya anda dapatkan sahaja insurans perjalanan tahunan.
Insurans perjalanan tahunan ini akan melindungi pelbagai perjalanan selama setahun dari tarikh polisi tersebut bermula. Pelan ini melindungi mana-mana perjalanan sepanjang tahun itu, sama ada atas urusan perniagaan atau peribadi, sehingga tempoh maksimum tertentu untuk setiap perjalanan.
Namun begitu jika anda jarang bercuti, dan ini mungkin percutian pertama dan terakhir anda untuk tempoh setahun, jadi anda bolehlah pilih sahaja insurans perjalanan tunggal. Polisinya akan melindungi anda untuk percutian sekali sahaja dan tempoh perlindungan akan tamat sebaik sahaja anda sampai ke rumah.
Harganya juga lebih murah berbanding insurans perjalanan tahunan. Anda hanya membayar untuk bilangan hari anda bercuti sahaja.
Walau bagaimanapun, kos boleh bertambah jika anda pergi bercuti beberapa kali dalam tempoh setahun dan setiap daripadanya anda mengambil polisi jenis ini. Satu polisi insurans perjalanan tunggal akan menjadi lebih mahal berbanding polisi tahunan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan boleh membantu anda memilih insurans perjalanan dengan lebih mudah, lancar dan baik!
Bjak merupakan platform perbandingan insurans terbesar di Malaysia dan telah dipercayai lebih 3 juta pengguna. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan beli insurans anda ikut keperluan dan bajet.
Baca juga: