Sebagai pemilik kenderaan, pastinya lebih seronok jika kereta kita itu sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, cantik, selain komponen dalamannya juga turut terjaga.
Kalau hutang tak habis lagi, tapi kereta dah nampak buruk, mesti tak best dan rugi! Mana tidaknya, kalau nak jual nanti pun harga pasaran boleh susut sebab kondisi kereta dah tak cantik.
Jadi untuk mengekalkan kereta pada kondisi yang terbaik, kereta haruslah sentiasa dijaga seperti mencucinya sekali setiap minggu.
Walaupun begitu, untuk anda yang sering mencuci kereta sendiri, sebaiknya anda praktikkan tips-tips yang bakal dikongsikan Bjak kali ini supaya kereta anda kekal berkilat, cantik dan bersih seperti baru.
Tips cuci kereta
Secara mudahnya, terdapat beberapa perkara penting yang anda perlu titikberatkan ketika ingin mencuci kereta sendiri. Meskipun mungkin nampak remeh, tapi ia penting ya supaya kereta anda benar-benar cantik dan bersih.
Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahuinya.
Bersihkan bahagian luar
- Penting! Sebelum mula, pastikan semua pintu dan cermin kereta anda ditutup dengan rapat.
- Kemudian, pancutkan dahulu air daripada hos selama lebih kurang 15 saat untuk mengeluarkan segala sisa klorin dan bahan kimia agar tidak merosakkan cat.
- Selepas itu, barulah anda boleh mula pancutkan air pada bahagian kereta bagi membuang habuk dan pasir yang melekat pada bahagian kereta.
- Untuk pencuci, pastikan anda hanya menggunakan pencuci khas untuk kereta dan bukannya bahan pencuci yang murah kerana risau ia akan merosakkan cat anda. Anda juga boleh menggunakan wax bagi mengilatkan lagi kereta anda.
- Dalam pada itu, pastikan juga span yang digunakan adalah bersih dan mula mencuci daripada bahagian bumbung.
- Jangan biarkan sabun pada cat sehingga kering kerana ia mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan cat.
- Seterusnya, segera lap menggunakan kain tidak berbulu seperti kain mikrofiber supaya kereta anda tidak calar.
Bersihkan bahagian enjin
Jangan hanya nampak cantik di luar, tetapi mengabaikan bahagian lain yang penting seperti di bahagian enjin. Walaupun bertutup, debu dan habuk boleh masuk ke bahagian enjin menerusi celahan kecil bonet atau dari ruang bawah enjin yang terbuka. Jika debu memenuhi ruang enjin, maka ia boleh menyebabkan enjin tidak boleh berfungsi pada tahap yang optimum. Jadi, penting untuk anda turut membersihkan bahagian enjin kereta ya.
Untuk mencuci enjin, ikut sahaja tips ini:
- Anda perlu berhati-hati apabila basuh bahagian enjin kereta kerana ia agak sensitif.
- Periksa dulu bahagian elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas jika terkena air. Balutkan bahagian itu dengan menggunakan plastik supaya air tidak boleh masuk.
- Sembur enjin menggunakan air pada tekanan yang rendah untuk menghilangkan debu yang melekat. Jangan curi mengggunakan air pada tekanan yang tinggi kerana bahagian palam pencucuk yang dimasuki air boleh menyebabkan kereta anda tersenggut-senggut atau gagal dihidupkan.
- Letakkan cecair khas nyah gris bagi menghilangkan kotoran degil.
- Untuk cuci bahagian celahan kecil, anda boleh gunakan berus gigi atau berus kecil.
- Bilas enjin dengan air bersih untuk hilangkan sisa kotoran, termasuk membilas sisa sabun yang masih melekat pada sekitar enjin
- Untuk elak kesan tompok air, biarkan dulu bonet terbuka 2-3 jam untuk memastikan bahagian enjin kering dengan sempurna
- Buka kembali balutan kabel yang anda tutup tadi
Bersihkan bahagian dalam
Kotoran pada bahagian dalam kereta pada kebiasaannya adalah disebabkan kesan sisa makanan, kesan tapak kasut dan lain-lain.
Antara bahagian dalaman yang penting untuk anda cuci dan bersihkan adalah:
- Stereng kereta – untuk makluman anda, stereng kereta merupakan tempat yang paling banyak kuman dan kotor di dalam kereta. Sebagai pemandu, penting ya untuk anda bersihkan bahagian ini sebaiknya.
- Tempat duduk – Vacuum semua tempat duduk dalam kereta anda bagi membuang sisa kotoran yang ada.
- Karpet – Jangan lupa untuk angkat karpet dan mengibasnya di luar bagi membuang semua kotoran yang ada. Kemudian, vacuum kan ia supaya lagi bersih.
- Dashboard – Sila pastikan dashboard kereta anda turut dilap menggunakan kain yang sesuai. Anda juga boleh menggunakan bahan pengilat untuk mengilatkan dashboard kereta anda.
Bersihkan bahagian tayar
Sebagai bahagian yang terdedah dengan segala kotoran di luar, anda tidak boleh lupa untuk mencucinya juga ya.
- Gunakan sabun yang sesuai untuk mencuci rim tayar kereta anda. Rim yang bercat perlu menggunakan sabun yang sesuai untuk cat, manakala rim dengan kemasan logam boleh menggunakan sabun biasa
- Gunakan berus sabut untuk menyental kotoran degil
Bersihkan cermin kereta dan wiper
Jangan lupa untuk pastikan cermin kereta dan wiper kereta anda turut dibersihkan ya. Ia bagi memastikan pandangan anda ketika memandu lebih selesa dan selamat.
- Gunakan cecair pencuci cermin khusus untuk membuang kotoran dan gris. Jika cermin kereta tidak dijaga, ia secara tidak langsung boleh merosakkan wiper anda di kemudian hari.
- Untuk wiper pula, cecair pembersih wiper pada kebiasaannya ada dijual yang mana anda hanya perlu melurutkan cecair tersebut pada bahagian getah menggunakan air bersih sehingga kesan kotoran hilang.
Moga bermanfaat
Mencuci kereta sendiri di rumah sememangnya lebih menjimatkan dan boleh membuatkan anda berasa lebih berpuas hati. Sila gunakan tips-tips yang dikongsikan di atas supaya kereta anda lebih terjaga dan cantik selepas bersusah-payah membersihkannya. Jangan ambil ringan, dan rajin-rajinkanlah untuk mencuci kereta kesayangan anda sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Semoga perkongsian yang dibuat pada kali ini bermanfaat untuk anda!
Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.