Skip to content
Home » Tenanglah Kamu di Sana Siti Sarah – Kehamilan dan Covid-19, Ini yang Anda Perlu Tahu

Tenanglah Kamu di Sana Siti Sarah – Kehamilan dan Covid-19, Ini yang Anda Perlu Tahu

    “Covid-19 itu benar”, sekurang-kurangnya empat kali ayat itu diulang oleh Shahmira Muhamad, 36, atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu dalam video siaran langsung di Instagramnya. Ia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengingatkan pengikutnya supaya tidak mengambil ringan akan wabak itu.

    Perkara itu ditekankan Shuib selepas arwah istertinya, Siti Sarah Raisuddin, 33, yang juga penyanyi lagu popular berjudul Kesetiaan, meninggal dunia pada 9 Ogos lalu, tiga hari selepas melahirkan anak keempat mereka ketika bertarung dengan Covid-19.

    Sudah terlalu ramai keluarga, termasuk Shuib menjadi mangsa dengan kehilangan insan tersayang akibat wabak ini. Bapa hilang anak, anak hilang emak, datuk mengebumikan jenazah cucu, dan banyak lagi keadaan menyedihkan dapat dilihat setiap hari. Inilah realiti perit dan memilukan yang terpaksa diterima sementara negara dapat mencapai status vaksinasi lengkap.

    Ayuh kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah Siti Sarah dan mendoakan agar Shuib dan anak-anaknya diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.

    Dengan meningkatnya kadar kes setiap hari, kali ini kami cuba untuk memberi kesedaran kepada pembaca tentang bagaimana Covid-19 ini memberi kesan terutama buat ibu hamil dan juga mereka yang merancang untuk mempunyai anak pada masa akan datang.

    #1 Wanita hamil terutamanya pada trimester kedua dan ketiga lebih cenderung untuk terdedah kepada jangkitan Covid-19 yang teruk berbanding wanita tidak hamil

    Berbanding wanita tidak hamil , wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 mempunyai risiko lebih besar untuk dimasukkan ke wad ICU dan menerima bantuan pernafasan (invasive ventilation), lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam garis panduannya.

    Satu kajian di Mexico yang melibatkan 5183 wanita hamil dan 5183 wanita tidak hamil menunjukkan bahawa wanita hamil dengan Covid-19 mempunyai kemungkinan lebih besar dengan kematian, radang paru-paru dan kemasukan ke wad ICU berbanding wanita tidak hamil, lapor MOH.

    #2 Wanita hamil patut mengambil suntikan vaksin

    Soalan lazim : Adakah selamat untuk wanita hamil mengambil vaksin Covid-19?

    Jawapan : YA

    Vaksin Covid-19 yang mana paling selamat untuk wanita hamil?

    Terdapat banyak pandangan serta pertikaian mengenai vaksin apakah yang selamat untuk diambil oleh wanita hamil. Namun menurut laporan KKM, semua vaksin yang disyorkan dalam Malaysia (Pfizer-BioNTech, Sinovac & AstraZaneca) adalah selamat untuk ibu-ibu hamil.

    Realitinya wanita hamil yang divaksin mempunyai risiko yang lebih rendah daripada wanita hamil yang tidak divaksin.

    #3 Wanita yang menyusukan bayi dan telah menerima vaksin Covid-19 mempunyai antibodi dalam susu ibu yang boleh membantu melindungi bayi

    Vaksin memberi kebaikan kepada ibu dan bayi!

    Menyusukan bayi mempunyai banyak manfaat dan manfaat yang terbesar adalah apabila bayi boleh mendapatkan antibodi melalui anda.

    Laporan daripada Jawantankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV) menyebut, kajian telah menunjukkan bahawa wanita yang menyusukan bayi mereka dan telah menerima vaksin Covid-19 mempunyai antibodi dalam susunya yang boleh membantu melindungi bayi mereka.

    #4. Dos pertama vaksin Covid-19 akan diberikan antara 14-33 minggu kehamilan

    KKM mengesyorkan pemberian dos pertama vaksin Covid-19 antara 14-33 minggu kehamilan bagi memberi perlindungan sebelum akhir trimester kedua dan ketiga, dan kos kedua selepas usia kandungan 33 minggu bergantung kepada jadual vaksin tertentu.

    Namun menurut KKM juga, vaksinasi bagi kandungan yang berusia melebihi 33 minggu bukanlah suatu kontraindikasi mutlak dan boleh dipertimbangkan mengikut sesuatu kes berdasarkan penilaian risiko dan manfaat yang dijalankan ke atas setiap individu.

    Bagi mereka yang hamil dan usia kandungan masih di bawah 14 minggu, daftar dan atur vaksinasi anda lebih awal agar diri boleh berasa lebih tenang.

    #5 Wanita yang telah melengkapkan vaksin mereka boleh merancang kehamilan dengan segera

    Terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa vaksin Covid-19 boleh menyebabkan keguguran atau kemandulan.

    Namun lapor KKM, hasil kajian yang ada menunjukkan kesemua jenis vaksin Covid-19 tidak mempengaruhi kesuburan atau kesihatan pembiakan pada masa hadapan.

    Bahkan wanita yang telah melengkapkan vaksin mereka boleh hamil dengan selamat tanpa sebarang penangguhan.

    Mempunyai bayi pada masa yang tidak menentu seperti ketika ini pasti memberikan perasaan yang bercampur-baur. Namun, mendapatkan vaksin Covid-19 bukan lagi pilihan peribadi kerana ia tidak hanya memberi kesan kepada anda, malah orang sekeliling termasuklah anak yang sedang anda kandung. Berfikirlah sebaik mungkin kerana ia keputusan antara hidup dan mati.

    Dapatkan nasihat hanya dari pakar perubatan bagi melindungi diri anda dan bayi. Jangan percaya kepada mana-mana hantaran di media sosial sekiranya ia tidak disahkan oleh seseorang yang berkelayakan. Ingat, terdapat perbezaan yang besar antara Doktor Perubatan berbanding seseorang dengan gelaran Dr. dari program PhD.

    Sumber:

    Sumber 1

    Sumber 2

    Sumber 3