Skip to content
Home » Tips Beli Kereta Pertama

Tips Beli Kereta Pertama

    Tips sebelum membeli kereta pertama

    Memiliki kereta sememangnya bakal memudahkan pergerakan anda namun terdapat banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum memilikinya.

    Kereta boleh dianggap sebagai satu aset yang mahal dan berharga, justeru sebarang keputusan untuk membelinya tidak boleh dibuat secara somberono memandangkan ia adalah komitmen untuk jangka masa yang panjang. Sebaiknya, teliti dahulu beberapa perkara ini sebelum memutuskan untuk membeli kereta terbaik untuk anda.

    Beli kereta bersesuaian dengan gaji tahunan anda

    Jangan beli kereta di luar kemampuan anda

    Ukur baju di badan sendiri. Dengan kata lain, anda tidak perlu membeli kereta melebihi kemampuan anda. Seeloknya belilah kereta yang kosnya kurang daripada pendapatan tahunan anda.

    Katakan anda memperoleh gaji 3,500 sebulan dan pendapatan tahunan adalah RM42,000, maka carilah kereta baru yang harganya kurang daripada pendapatan tahunan anda tersebut.

    Sebelum membeli kereta, kenalpasti dulu berapakah jumlah bulanan yang anda mampu peruntukkan untuk membayar kereta. Terdapat pelbagai laman web yang ada bagi membantu anda untuk membuat kira-kira sebelum membeli kereta seperti laman web calculator.com.my ini. 

    Menerusi laman web tersebut juga, anda boleh tahu berapakah kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank bagi pinjaman kereta. 

    Ingat, jangan hanya ingin kelihatan gah di hadapan orang dan anda akhirnya membebankan diri sendiri.

    Penggunaan minyak

    Memiliki sebuah kereta dengan penggunaan minyak yang menjimatkan adalah bagus

    Ini adalah salah satu tips atau kriteria penting sebelum anda membeli kereta. Harga minyak sememangnya tidak menentu dan sering berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Justeru, memiliki sebuah kereta dengan penggunaan minyak yang menjimatkan adalah bagus dan sedikit-sebanyak bakal membantu anda dalam jangka masa yang panjang.

    Pada kebiasaannya, kereta yang menjimatkan minyak adalah jenis hibrid yang mana ia menggunakan kuasa gas dan motor elektrik. Kini, terdapat juga jenama tempatan yang telah mengeluarkan kereta jenis hibrid ini antaranya adalah Perodua Bezza. Dengan hanya 4.7 liter minyak sahaja, kereta Perodua Bezza boleh bergerak sehingga 100km. Ia secara tidak langsung meletakkan Perodua Bezza sebagai kereta yang paling menjimatkan minyak di Malaysia.

    Selain dapat menjimatkan minyak, kereta jenis hibrid juga berupaya untuk membantu mengurangkan pencemaran apabila kadar pelepasan karbon dioksidanya adalah rendah.

    Seterusnya, menurut laman web Celcom, Perodua Myvi 1.5 SE berada di tangga kedua untuk kereta yang paling menjimatkan minyak apabila ia mampu bergerak sehingga 100km dengan hanya 6.2 liter minyak meskipun dengan kapasiti enjin yang agak besar. Tempat ketiga pula adalah kereta jenama Kia Picanto 1.2L dimana dengan hanya 5.8 liter minyak sahaja, ia mampu bergerak sehingga 100km.

    Untuk senarai Top 10 kereta paling menjimatkan minyak, anda boleh membaca di laman web Celcom ini. 

    Kos penyelenggaraan dan pembaikan 

    Beli kereta yang memberikan kos penyelenggaraan tidak begitu tinggi dan mahal

    Sebagai pemilik kereta, anda semestinya perlu menjaga kenderaan dengan baik dan rapi. Justeru apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menghantar kenderaan ke pusat servis mengikut masa yang telah ditetapkan.

    Kami pasti anda tahu bahawa kos penyelenggaraan bagi setiap kereta adalah berbeza mengikut kepada penjagaan dan gaya pemanduan seseorang. Namun, tahukah anda bahawa sebenarnya beberapa jenama pengeluar kereta memberikan kos penyelenggaraan yang tidak begitu tinggi dan berbaloi? Contohnya adalah kereta tempatan jenama Perodua.

    Di Perodua, anda juga boleh mengetahui bahan atau komponen kereta yang perlu ditukar dan dilakukan penyelenggaraan menerusi jadual ‘Servis Penyelenggaraan Berkala’ yang disediakan. Melaluinya, senarai harga untuk setiap bahan atau komponen tersebut juga akan dipaparkan dan seterusnya memudahkan anda untuk membuat kira-kira dan bajet.

    Jadual Servis Penyelenggaraan Berkala Perodua

    Untuk membeli kereta pertama, fikirkan dahulu faktor ini kerana ia adalah penting bukan sahaja sekarang malah untuk jangka masa panjang. 

    Ingat ya. Anda bukan hanya perlu servis kereta dua atau tiga tahun sekali sahaja tau!

    Keluasan / ruang kereta

    Pertimbangkan keluasan kereta mengikut keperluan dan kapasiti penumpang anda nanti

    Ya! Ini juga antara faktor yang anda perlu titik-beratkan sebelum membeli kereta pertama. Jika anda adalah seseorang yang telah berkahwin dan merancang untuk memiliki cahaya mata yang ramai, seeloknya anda membeli kereta yang lebih besar dan selesa. Sebagai contoh adalah kenderaan jenis MPV. 

    Manakala jika anda adalah seorang wanita atau lelaki yang masih belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat, anda boleh memilih untuk membeli kereta biasa mengikut kepada tahap kemampuan anda.

    Faktor jalan

    Pilih kereta yang bersesuaian dengan tahap penggunaan anda

    Pasti anda tertanya-tanya mengapakah faktor ini juga perlu diambil kira? Sebenarnya mudah sahaja untuk difahami. Jika anda merupakan seorang pekerja pejabat, anda boleh sahaja membeli sebarang kereta yang diidamkan mengikut kemampuan. Ini kerana anda tidak perlu mengharungi sebarang jalan yang berlopak, berliku mahupun berhutan.

    Namun sebaliknya, jika anda adalah seorang jurutera yang sering memerlukan anda untuk pergi ke tapak pembinaan, pekebun yang perlu pergi ke dusun setiap hari dan sebagainya, maka pilihan terbaik untuk anda adalah dengan membeli kereta jenis 4×4 (four-by-four) sesuai dengan pekerjaan anda. 

    Agak sayang dan merugikan jika anda menggunakan kereta ke jalan atau tempat yang tidak sesuai kerana ia bakal memberi risiko kepada kenderaan anda untuk lebih cepat rosak.

    Beli ikut kemampuan

    Untuk pembeli kereta pertama khususnya bagi golongan muda, sila pastikan anda membeli kereta mengikut bajet dan keperluan anda sahaja. Ingat, elak daripada membeli kereta di luar kemampuan kerana ia boleh membebankan anda pada masa akan datang.

    Pertimbangkan tips-tips yang telah dikongsikan di atas sebelum membeli kereta anda. Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa terdapat komitmen lain yang perlu ditanggung selepas mempunyai kereta seperti kewajipan memperbaharui insurans dan roadtax pada setiap tahun. Jadi, sila fikirkan sedalam-dalamnya dan fikirkan apa yang terbaik untuk diri anda ok!