Skip to content
Home » Nak Beli Kereta Second Hand? Ini 10 Tips yang Anda Kena Tahu

Nak Beli Kereta Second Hand? Ini 10 Tips yang Anda Kena Tahu

    Tips for buying a secondhand car

    Pada hari ini, memiliki kereta bukan lagi dianggap sebagai satu kemahuan, namun lebih kepada keperluan bagi memudahkan pergerakan ke mana sahaja. 

    Bagaimanapun dengan kadar harga kereta yang begitu tinggi dan mahal, ada individu yang memilih untuk mendapatkan kereta terpakai sebagai pilihan asalkan sebiji kereta boleh dimiliki untuk digunakan dalam pergerakan seharian.

    Namun begitu, untuk membeli kereta terpakai adalah tidak sama seperti jika anda membeli kereta baru. Terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

    Justeru pada artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda beberapa tips yang boleh diikuti untuk membeli kereta terpakai. Moga bermanfaat!

    Tentukan bajet

    Bajet penting untuk menentukan model kereta yang anda boleh miliki

    Keputusan anda untuk membeli kereta terpakai mungkin bermakna anda mempunyai bajet yang agak terhad dalam mendapatkan sebiji kereta. Justeru, tips paling utama di sini adalah anda perlu menetapkan bajet yang bersesuaian mengikut keperluan, tahap kewangan, dan kemampuan anda. 

    Menerusi bajet yang ditetapkan oleh anda itu, maka anda barulah boleh mengetahui jenis kereta atau model yang bersesuaian boleh anda miliki.

    Bagaimanapun sebelum membeli kereta terpakai, pastikan harga kereta tersebut tidak melebihi jumlah gaji tahunan anda bagi mengelakkan daripada rasa terbeban untuk jangka masa yang panjang. Dan tetapkan juga ansuran bulanan untuk membayar kereta itu nanti tidak melebihi 15% daripada gaji bulanan anda. 

    Untuk memudahkan anda menganggarkan bayaran bulanan ikut bajet, anda juga boleh menggunakan laman web percuma kalkulator pinjaman yang disediakan. 

    Buat survey

    Ini juga langkah penting yang anda perlu lakukan. Jangan bertindak terburu-buru dengan hanya memfokuskan kepada satu-satu platform atau laman web sahaja. Anda kena rajinkan diri membuat survey supaya perbandingan boleh dilakukan bagi mendapatkan kereta terbaik pada harga yang menguntungkan untuk diri anda. 

    Kini, pelbagai platform penjualan kereta terpakai disediakan untuk anda buat perbandingan seperti Mudah.my, Carlist, Mytukar dan Carsome

    Dalam pada itu, anda juga tidak digalakkan untuk terus mengunjungi pusat penjualan kereta terpakai tanpa membuat survey secara online terlebih dahulu kerana anda mungkin akan ‘mudah terpujuk’ oleh pihak penjual kereta yang sekali gus menyebabkan anda ‘terbeli’ kereta di luar kemampuan anda. 

    Hadkan tahun pengeluaran

    Meskipun anda ingin membeli kereta terpakai, kami sarankan anda untuk membeli kereta mengikut tahun pengeluaran setakat 5 tahun sahaja. Ini bagi mengurangkan risiko untuk kereta yang bakal dimiliki oleh anda mudah meragam dan cepat rosak. 

    Ingat apabila kereta rosak dan meragam, anda mungkin terpaksa mengeluarkan kos yang lebih banyak untuk pembaikan sehingga menyebabkan anda ‘menyesal’ membeli kereta yang sudah terlalu lama. 

    Semak mileage

    Elak dari membeli kereta yang sudah mencapai mileage terlalu tinggi

    Secara amnya, semakin tinggi nilai mileage pada kereta tersebut, semakin rendah nilai jualan sesebuah kereta terpakai. Jika anda ingin membeli kereta terpakai, pastikan nilai mileage pada kereta tersebut tidak terlalu tinggi dan berada di tahap yang sederhana sahaja.

    Kereta murah tidak semestinya bagus

    Jangan terlalu teruja jika anda ditawarkan kereta terpakai dengan harga yang terlalu murah. Ingat, tawaran harga yang terlalu murah ini mungkin disebabkan oleh beberapa perkara tertentu seperti:

    • Pernah terlibat dengan kemalangan yang teruk
    • Nilai mileage tinggi
    • Sering bertukar pemilik (3-4 orang)

    Jika anda masih membelinya juga, anda mungkin terpaksa berdepan dengan risiko untuk kereta cepat rosak dan sering meragam pada masa akan datang. 

    Ketahui jadual servis pemilik terdahulu

    Penting untuk anda memastikan bahawa kereta terpakai yang anda ingin miliki itu diservis dengan konsisten mengikut jadual yang ditetapkan oleh pemilik sebelumnya. Lebih bagus jika anda boleh cari kereta yang sering diservis di pusat servis jenama kereta tersebut kerana pusat servis merekodkan sejarah servis menggunakan buku atau sistem sendiri. Maklumat penyelenggaraan adalah penting bagi mengetahui mengenai jenis alat ganti yang pernah ditukar serta rekod kerosakan yang besar seperti enjin.

    Periksa bahagian luar dan dalam kereta 

    Periksa dengan teliti setiap 'inci' kereta tersebut bagi memastikan ia masih dalam keadaan yang baik

    Meskipun harga untuk kereta terpakai lebih murah berbanding jika anda membeli kereta baru, namun anda janganlah mengambil remeh dan menganggap ia sebagai perkara yang mudah. 

    Sebaiknya sebelum membeli kereta terpakai, anda lihat, periksa dan teliti dahulu kedua-dua bahagian luaran dan dalaman kereta. Lihat jika anda sebarang kerosakan atau kecacatan di bahagian luaran atau dalaman kereta itu. Jika ada, cuba berunding dengan penjual kereta untuk mendapatkan diskaun, bersesuaian dengan tahap kerosakan tersebut.

    Ingat, nak cat penuh seluruh badan kereta balik memerlukan kos sehingga RM2,000, manakala kalau ingin upah untuk mengetuk badan kereta pula kosnya bermula dari serendah RM150 ke atas. 

    Periksa kelengkapan dan peralatan asas

    Sebelum membeli mana-mana kereta terpakai, anda perlu memastikan semua kelengkapan dan peralatan asas kereta seperti wiper, signal, lampu (depan, belakang, lampu tinggi, spotlight, brek), hon, aircond, radio, tali pinggang keledar, tayar simpanan serta tools box, laci dashboard dan lain-lain semuanya masih berfungsi dengan baik. 

    Jika anda mendapati mana-mana peralatan asas itu tidak elok dan tidak berpuas hati, cubalah ambil lagi masa anda dan dapatkan kereta terpakai yang terbaik untuk diri anda. Ingat, harga untuk beli kereta ni bukan RM1 atau RM2 sahaja. Ribuan ringgit juga anda perlu keluarkan untuknya. Jadi, sabar dan pilih sehingga anda berpuas hati. 

    Periksa enjin

    Setelah berpuas hati memeriksa semua perkara di atas, tiba masa untuk anda pastikan bahagian enjin kereta itu masih berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Jika anda kurang arif, mintalah bantuan daripada yang pakar seperti mekanik kereta bagi mengelakkan anda dari ditipu. 

    Pandu uji

    Pandu uji kereta tersebut sebelum memutuskan untuk membelinya

    Sebagai pembeli, anda mempunyai hak untuk memandu uji dulu kenderaan yang ingin dibeli. Ini bagi memberi keyakinan kepada anda sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta tersebut. Ketika memandu uji, pastikan perkara-perkara ini diberikan perhatian:

    • Cuba membrek secara perlahan dan kecemasan dan dengar jika ada sebarang bunyi aneh yang keluar
    • Cari selekoh dan belok bagi melihat jika ada bunyi yang dikeluarkan ketika memusing stereng
    • Cari kawasan yang tidak rata dan pandu uji kereta itu bagi mengenal pasti  sebarang bunyi seperti pada bahagian kompartmen
    • Pandu dalam pelbagai had laju dan dengar jika ada bunyi angin, gegaran enjin atau stereng, dan sistem suspensi
    • Uji gear kereta tersebut untuk lihat sama ada gear bergerak dengan lancar atau tersekat-sekat.

    Manfaatkan tips yang diberikan

    Kereta baru atau kereta terpakai, anda sebagai pembeli perlu bijak untuk memastikan kereta yang bakal dimiliki adalah yang terbaik dan bersesuaian dengan keperluan serta bajet anda. 

    Selepas membeli kereta anda perlu ingat bahawa terdapat beberapa komitmen lain yang perlu ditanggung seperti bayaran bulanan, servis, dan renew insurans kereta secara roadtax setiap tahun. Ingat, miliki kereta adalah satu komitmen jangka masa panjang dan anda perlu berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya bagi mengelakkan penyesalan di kemudian hari.