Tahukah anda?
Sebanyak kira-kira 162 kenderaan termasuk motosikal dilaporkan dicuri setiap hari di negara ini.
Perkara itu didedahkan sendiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti memetik laporan yang dikeluarkan Utusan pada Oktober 2020.
Purata tersebut dianggarkan daripada 641,981 kes kecurian yang direkodkan PDRM di seluruh negara dalam tempoh 11 tahun sejak 2009 sehingga 2020.
Motosikal paling banyak dicuri
Berdasarkan statistik di atas, kes kecurian membabitkan motosikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 464,446 kes diikuti kereta (137,327) dan van, lori serta jentera berat (40,208).
Justeru untuk artikel ini, Bjak akan kongsikan kepada anda tips bagi mengelakkan motosikal daripada dicuri yang mungkin berguna untuk pemilik motosikal di luar sana.
Tips elak motosikal dicuri
Parkir di tempat selamat
Sebagai pemilik motosikal, adalah sangat penting untuk anda memastikan motosikal anda sentiasa diletakkan atau diparkir di tempat yang selamat walaupun hanya untuk tempoh waktu yang singkat.
Letakkanlah motosikal anda di kawasan terbuka dan dalam laluan atau pandangan yang mudah dilihat oleh orang sekeliling. Contohnya, parkirkan di depan restoran, atau kedai yang sibuk dan sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Elak daripada meletakkan motosikal anda di sebalik tembok, pokok atau sebagainya yang tidak memudahkan orang ramai untuk ‘perasan’ keberadaan motosikal anda. Jika tempat tersebut dijadikan pilihan anda untuk meletakkan motosikal, maka anda telah membuka ruang kepada penjenayah untuk mencuri motosikal anda dengan lebih mudah.
Kunci motosikal
Apabila sudah mematikan enjin motosikal, sila pastikan motosikal anda terus dikunci walaupun anda ingin meninggalkannya untuk tempoh waktu yang singkat. Sekurang-kurangnya kunci hendal motosikal anda jika ingin pergi ke kedai, isi minyak dan tempat lain yang hanya memakan tempoh masa yang singkat. Ingat, kecurian motosikal boleh berlaku dalam masa yang sangat pantas, jadi anda tidak boleh mengenakan alasan ‘nak parking kejap je’ dan sewenang-wenangnya memarkirkan motosikal anda tanpa menguncinya dengan selamat.
Jika anda meninggalkan motosikal untuk tempoh waktu yang agak lama pula, pastikan anda menguncinya dengan sempurna dan selamat dan bukan hanya pada handle lock sahaja. Sila pastikan anda kunci juga tempat-tempat lain seperti disc brake yang boleh dikunci sama ada dengan mangga atau kunci keselamatan yang lain.
Guna rantai atau kabel
Perlu anda tahu! Walaupun motosikal dikunci dengan menggunakan kunci brek hadapan, ia sebenarnya masih lagi boleh dicuri oleh penjenayah. Andai kata pencuri yang ada pada ketika itu adalah seramai 3 atau 4 orang, maka mereka boleh mengangkat motosikal anda ke dalam lori dan sebagainya tanpa sebarang masalah.
Jadi untuk mengelakkan ia daripada berlaku dan memberi peluang kepada pencuri untuk mengambil motosikal anda, pastikan anda merantai motosikal anda menggunakan rantai atau kabel bersama-sama objek keras yang ada di sekeliling pada waktu itu seperti pada tiang, palang besi atau lain-lain.
Pasang sistem penggera
Bukan hanya boleh dipasang pada kereta, sistem penggera juga sebenarnya boleh dipasang pada motosikal ya. Tips ini merupakan salah satu cara yang paling efektif bagi mendapatkan perhatian orang ramai sekiranya motosikal seseorang itu dicuri.
Untuk pengetahuan anda, terdapat juga sistem penggera yang dilengkapi dengan pengesan pergerakan bagi memastikan tidak ada sesiapa mengganggu motosikal anda.
Pasang GPS tracker
Pemasangan GPS tracker pada motosikal merupakan antara cara paling moden dan selamat yang pemilik motosikal boleh guna untuk mengurangkan risiko motosikal dicuri.
Dengan memasang GPS tracker, ia akan membolehkan anda untuk mengesan pergerakan motosikal anda secara live menerusi telefon bimbit anda.
Mudah sahaja. Alat ini boleh diaktifkan dengan hanya memasukkan kad sim yang sah dan fungsi GPS itu akan menghantar pesanan sms bagi memaklumkan kedudukan sebenar motosikal anda selepas menyedari kehilangannya.
Bolehkah anda buat tuntutan insurans jika motosikal dicuri?
Malang tidak berbau. Walaupun langkah pencegahan seperti di atas mungkin sudah diambil oleh anda bagi mengelakkan motosikal daripada dicuri, namun ia tetap boleh berlaku pada diri anda.
Jika anda mendapati motosikal anda telah dicuri, jangan risau kerana anda masih boleh membuat tuntutan insurans asalkan syarat-syarat berikut ditepati:
i) Mempunyai lesen motosikal yang sah
ii) Motosikal anda dilindungi dengan perlindungan insurans komprehensif atau;
ii) Motosikal anda dilindungi dengan polisi insurans pihak ketiga, kecurian dan kebakaran
Bagaimanakah cara claim insurans akibat kecurian motosikal?
Di bawah ini merupakan langkah-langkah untuk anda claim insurans jika motosikal anda dicuri penjenayah:
- Segera buat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas menyedari motosikal dicuri. Anda juga dikehendaki untuk mengemukakan kad pengenalan dan lesen motosikal yang sah ketika laporan dibuat. Tanpa lesen yang sah, maka permohonan untuk tuntutan insurans mungkin akan ditolak oleh syarikat insurans.
- Seterusnya, dapatkan salinan geran serta salinan polisi insurans motosikal anda.
- Laporkan kepada pihak insurans. Dapatkan borang tuntutan (claim form) daripada syarikat insurans untuk membuat tuntutan. Isi borang tersebut dan hantar kepada pegawai yang bertugas.
- Tunggu syarikat insurans hubungi anda untuk sesi temuduga bagi testimoni lisan dan bertulis. Syarikat insurans akan menyediakan surat tawaran jika tuntutan anda lulus. Jika berjaya, anda kemudiannya perlu menyediakan beberapa dokumen-dokumen termasuklah:
- Surat persetujuan tawaran (dilampirkan bersama surat tawaran)
- Borang JPJ TM-AB (salinan kad pengenalan yang dicop sumpah dan disahkan oleh pegawai JPJ)
- Borang JPJ K3 (2 keping) dan Borang JPJ K8 (1 keping)
- Kunci pelepasan oleh syarikat sewa beli jika pinjaman sudah tamat
- Kunci kenderaan (surat pemberitahuan jika kunci hilang)
- Kad Pendaftaran Kenderaan Asal (Geran)
Nota: Proses claim anda dianggap selesai sebaik sahaja anda menerima bayaran/ pampasan oleh syarikat insurans.
Moga bermanfaat!
Diharapkan semoga perkongsian pada kali ini dapat membantu anda lebih berhati-hati dalam memastikan motosikal anda tidak terdedah untuk dicuri.
Dalam pada itu, pastikan juga motosikal anda sentiasa dilindungi dengan perlindungan insurans terbaik seperti pelan insurans komprehensif atau pelan insurans pihak ketiga, kecurian dan kebakaran bagi memastikan tuntutan boleh dibuat jika motosikal anda dicuri.
Untuk mendapatkan pelan terbaik tidak susah. Kini, anda juga boleh lakukan secara online di Bjak. Lebih 10 jenama insurans disediakan untuk anda pilih. Minta sebut harga percuma dan perbaharui insurans dengan perlindungan terbaik untuk motosikal anda sekarang.