Skip to content
Home » Tips Pilih, Jaga Wiper Kereta Agar Tahan Lama

Tips Pilih, Jaga Wiper Kereta Agar Tahan Lama

    Pernah tak ketika memandu, hujan turun terlalu lebat sehingga mengaburi pemandangan pemanduan anda namun getah pengelap cermin kereta atau wiper kereta pula tidak begitu membantu malah gagal berfungsi dengan baik?

    Jika ya, maka anda sebenarnya dalam keadaan yang agak merbahaya. Kegagalan wiper untuk berfungsi dengan baik boleh menyebabkan kemalangan di atas jalan raya.

    Apakah fungsi wiper?

    Wiper kereta adalah antara komponen yang penting untuk memastikan cermin kereta sentiasa berada dalam keadaan yang bersih bagi pemanduan yang selamat. Ia berfungsi untuk menghilangkan sisa air hujan, kotoran-kotoran lain seperti debu dan habuk serta bendasing lain.

    Jadi, penting untuk anda memastikan keadaan wiper kereta anda sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Penyelenggaraan dan penggantian boleh dilakukan di rumah dengan mudah tanpa perlu dibawa ke mana-mana pusat servis.

    Justeru di sini, kami kongsikan jenis-jenis wiper yang ada di pasaran untuk anda pilih dan juga cara memanjangkan hayat wiper kereta anda.

    Kenali komponen wiper kereta

    Berikut merupakan senarai komponen wiper kereta untuk membantu anda memahami semua komponen pengelap cermin hadapan dan kenalpasti masalah yang mungkin dihadapinya.

    Lengan wiper (Wiper arm)

    Komponen ini berfungsi menggerakkan bilah wiper

    Penyambung (Connector)

    Komponen ini merupakan perantaraan bilah wiper dengan lengan wiper. Anda disarankan untuk menggunakan jenis penyambung yang sesuai untuk memastikan pergerakan getah pengelap yang senyap dan cekap

    Fleksor spring (Spring flexors)

    Ia berfungsi memastikan bilah getah mengekalkan tekanan dan sapuan yang sekata

    Elemen getah

    Komponen ini berfungsi untuk memastikan kelenturan maksimum. Elemen getah yang bersentuhan dengan cermin biasanya disaluti dengan lapisan khas dan serbuk grafit untuk mengurangkan geseran dan melancarkan pergerakan.

    Getahnya boleh menjadi haus walaupun tidak digunakan disebabkan oleh faktor cuaca dan terdedah kepada cahaya matahari.

    Spoiler

    Fungsi komponen ini adalah untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik dan mengurangkan wind lift ketika memandu pada kelajuan tinggi.

    Jenis-jenis wiper

    Terdapat beberapa jenis wiper cermin yang dijual dalam pasaran iaitu konvensional, flat dan hibrid.

    Wiper konvensional

    Wiper konvensional dikatakan mempunyai jangka hayat yang lama dan lebih berkualiti

    Wiper cermin konvensional telah lama berada di dalam pasaran dan sering dipasang pada kereta-kereta baharu sebelu kewujudan wiper cermin flat. Wiper konvensional ini dikatakan mempunyai jangka hayat yang lama dan lebih berkualiti.

    Wiper flat

    Kebanyakan kereta keluaran baharu kini dipasang dengan wiper cermin flat

    Selepas wiper konvensional, kebanyakan kereta keluaran baharu kini dipasang dengan wiper cermin flat. Ia mempunyai fleksor logam yang menyokong elemen getah dengan spoiler bersepadu penuh.

    Ia menggunakan tekanan yang dihasilkan oleh aliran udara sekali gus menghasilkan bentuk aerodinamik yang lebih rata yang dapat mengurangkan bunyi angin.

    Wiper hibrid

    Ia merupakan kombinasi wiper konvensional dan flat menggabungkan ciri aerodinamik pengelap cermin konvensional dan flat

    Wiper cermin kereta hibrid adalah kombinasi wiper konvensional dan flat menggabungkan ciri aerodinamik pengelap cermin konvensional dan flat. Wiper hibrid ini mengekalkan kedudukan bilah getah pada cermin untuk sekali gus menjadikan pergerakan lebih lancar dan senyap terutamanya semasa pada kelajuan tinggi.

    Tips penjagaan wiper

    Anda sebenarnya tidak memerlukan berbelanja lebih untuk membeli wiper cermin yang terlalu mahal. Anda hanya perlu ketahui cara penjagaan wiper cermin kereta sahaja. Sekiranya wiper kereta dijaga dengan baik, ia mampu memanjangkan hayatnya dan secara tidak langsung tidak perlulah anda kerap menukarnya. Dapat juga anda berjimat.

    Jangan gunakan waktu kering

    Wiper seharusnya digunakan di atas permukaan yang basah sahaja. Apabila digunakan pada permukaan cermin yang kering, wiper akan menjadi haus dengan lebih cepat. 

    Sebaiknya anda basahkan dahulu permukaan cermin menggunakan fungsi pancuran air sebelum membersihkan habuk atau yang ada atas cermin kereta.

    Bersihkan bilah wiper

    Wiper anda berfungsi membersihkan segala kotoran yang terdapat atas cermin kereta seperti debu dan pasir. Jadi, pastikan anda sentiasa bersihkan bilah wiper untuk mengelakkan pengumpulan kotoran di bawah bilah anda dengan mengelapnya dengan kain lembap.

    Ini amat pentingnya bagi mengelakkan cermin kereta anda daripada diseret dengan bendasing yang terkumpul pada bilah dan menyebabkan kesan calar.

    Anda juga perlu pastikan cermin hadapan sentiasa berada dalam keadaan bersih daripada sisa bendasing yang terlekat supaya getah pengelap cermin tidak rosak.

    Angkat wiper cermin

    Amalan mengangkat pengelap cermin kereta ketika cuaca panas dapat mengelakkan getah pengelap cermin daripada rosak akibat suhu dan kepanasan melampau.

    Jika boleh, letak kereta anda di kawasan yang teduh untuk mengelakkan cahaya matahari daripada merosakkan dan menyebabkan getah pengelap cermin kering.

    Periksa getah wiper

    Secara amnya, anda digalakkan untuk menggantikan getah wiper cermin kereta anda setiap 6 bulan hingga setahun bergantung pada kekerapan penggunaan anda. Tetapi tidak semestinya harus menunggu sehingga mencecah tempoh 6 bulan. Ada juga wiper yang rosak dengan cepat kerana kualiti dan penjagaan yang minima.

    Berikut adalah tanda-tanda anda harus menukar wiper cermin kereta anda:

    • Wiper berbunyi

    Kadang-kadang, wiper akan mengeluarkan bunyi semasa mengelap cermin kereta kita. Bunyi tersebut menunjukkan bahawa wiper anda sudah tidak berada dalam keadaan yang baik dan tidak tidak lagi efektif untuk digunakan.

    • Terdapat sisa air pada cermin kereta

    Sekiranya masih terdapat kesan air bergaris pada permukaan cermin anda meskipun sudah dilap oleh wiper, ketahuilah bahawa ia menunjukkan wiper anda sudah tidak berfungsi baik. Ini kerana, getah pengelap cermin telah rosak, pecah atau kering sekali gus menyebabkannya tidak dapat mengelap air dengan baik.

    Bahaya jika tidak ditukar ya kerana penglihatan anda semasa memandu akan terhalang lebih-lebih lagi ketika hujan lebat dan juga ada waktu malam.

    • Wiper bergetar ketika digunakan

    Sekiranya wiper cermin kereta bergetar semasa mengelap cermin kereta, ia bermakna getah wiper tersebut sudah semakin haus ataupun terdapat kerosakan pada bahagian bingkai wiper.

    Lakukan pemeriksaan berkala untuk tujuan keselamatan

    Wiper kereta yang berada dalam keadaan baik bukan sahaja memberi keselesaaan semasa pemanduan, malah turut memastikan keselamatan anda dan mengelakkan daripada berlakunya kemalangan yang tidak diduga. Oleh itu, pastikan pengelap cermin atau wiper kereta anda sentiasa berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan situasi-situasi yang tidak diingini daripada berlaku terutamanya apabila memandu ketika cuaca hujan.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.