Memilih kad perubatan terbaik adalah satu perkara yang penting kerana anda pastinya menginginkan perlindungan yang paling maksimum dan memuaskan hati. Apabila tiba saat ingin memilih kad perubatan, perasaan keliru pastinya timbul kerana begitu banyak pelan yang disediakan oleh penyedia-penyedia insurans. Bagi membantu anda membuat keputusan, kami akan berkongsi beberapa petua penting supaya anda boleh memilih kad perubatan terbaik.
Apakah kad perubatan?
Sebelum membeli kad perubatan, penting untuk anda ketahui apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kad perubatan itu.
Kad perubatan adalah pelan insurans yang membayar kos kemasukan ke hospital, pembedahan atau rawatan perubatan mengikut polisi anda. Untuk menikmati perlindungan, anda perlu membayar sejumlah wang (disebut sebagai premium) kepada penyedia insurans anda sama ada secara bulanan, suku tahunan, setengah tahun atau secara tahunan bergantung pada kaedah pembayaran anda.
Bergantung pada polisi yang anda pilih, ini adalah dua pelan yang akan memberi anda pampasan yang berbeza:
1.Pelan kemasukan ke hospital dan pembedahan. Insurans ini membayar bil kemasukan ke hospital, pembedahan dan rawatan perubatan anda.
2. Pelan pendapatan hospital. Berbanding membayar bayaran kemasukan ke hospital, pembedahan dan bil rawatan perubatan anda, insurans akan membayar anda dengan jumlah tetap setiap hari anda dirawat di hospital sehingga untuk beberapa hari.
Penting juga untuk diperhatikan bahawa kad perubatan boleh menjadi polisi standalone atau rider (tambahan atau manfaat tambahan) yang disertakan bersama polisi komprehensif atau pelaburan.
Baca artikel ini untuk memahami perbezaan antara kad perubatan standalone dan rider serta perkara penting lain yang perlu anda ketahui mengenai kad perubatan.
Tips untuk memilih kad perubatan terbaik
Seperti yang dinyatakan di atas, terdapat pelbagai jenis pelan untuk kad perubatan yang anda boleh pilih. Jadi bagaimana untuk memastikan bahawa kad perubatan anda itu adalah yang terbaik? Di sini kami kongsikan 8 tips berguna untuk memilih kad perubatan terbaik.
1.Cari had tahunan dan seumur hidup tertinggi
Had tahunan adalah jumlah maksimum yang boleh anda tuntut dari syarikat insurans anda dalam setahun. Sementara itu, had seumur hidup adalah jumlah maksimum yang boleh anda tuntut dari syarikat insurans anda seumur hidup dengan syarat premium anda dibayar dan polisi anda masih berkuatkuasa.
Penting untuk anda memahami had ini kerana mereka menentukan jumlah perlindungan yang anda boleh tuntut dalam satu tahun atau seumur hidup. Insurans anda tidak akan melindungi perbelanjaan perubatan anda lagi selepas anda mencapai had tahunan atau seumur hidup anda.
Sesetengah syarikat insurans menawarkan sehingga RM2.1 juta untuk perlindungan tahunan. Malah ada yang tidak meletakkan sebarang had untuk had tahunan atau seumur hidup. Walaupun bagus sekiranya anda memilih kad perubatan tanpa had tahunan dan seumur hidup, manfaat ini biasanya disertakan dengan premium yang lebih tinggi. Jadi jangan membebankan diri sendiri. Pilih kad perubatan yang paling sesuai dengan bajet anda.
2. Pilih kad perubatan yang turut melindungi konsultasi dan ujian sebelum kemasukan ke hospital
Perlu pendapat kedua atau ketiga sebelum memutuskan untuk mengikut saranan doktor? Manfaat ini membolehkan anda mendapatkan konsultasi dan ujian oleh beberapa orang doktor.
Kad perubatan anda akan melindungi pelbagai rundingan dan ujian dengan syarat ia berkaitan dengan penyakit yang sama untuk dirawat. Syarat lain ialah anda mesti mendapatkan konsultasi dan ujian dalam jangka masa yang ditentukan oleh insurans anda, misalnya, 60 atau 90 hari.
Katakan bahawa anda mengalami sakit belakang yang teruk. Anda kemudian berjumpa doktor yang, setelah memeriksa keadaan sakit belakang anda, mengesyorkan laminektomi, pembedahan yang bertujuan mewujudkan ruang di saluran tulang belakang dengan membuang lamina (bahagian belakang tulang belakang) yang menyelaputi saluran tulang belakang. Walaupun kad perubatan anda akan melindungi kos pembedahan, anda mungkin ingin mendapatkan pandangan kedua dari doktor lain. Jika begitu, insurans anda memberikan jangka masa tertentu untuk anda mendapatkan pendapat kedua atau ketiga mengenai pilihan lain bagi merawat sakit belakang anda. Kad perubatan anda akan melindungi semua rundingan dan ujian yang berbeza, dengan syarat anda dimasukkan ke hospital sebelum waktu rundingan anda tamat. Oleh itu, tanyakan dahulu sama ada syarikat insurans pilihan anda ada menawarkan manfaat ini.
3. Pilih kad perubatan yang melindungi rawatan selepas keluar dari hospital
Selepas rawatan perubatan atau pembedahan, anda mungkin perlu kembali ke hospital untuk rawatan susulan atau rawatan selanjutnya. Perkara baik adalah sebilangan kad perubatan juga melindungi rawatan selepas keluar dari hospital. Anda boleh membuat tuntutan perbelanjaan dengan syarat rawatan selepas keluar dari hospital adalah berkaitan dengan keadaan perubatan yang memerlukan anda dimasukkan ke hospital sejak awal.
Berapa lama kad perubatan anda akan melindungi rawatan selepas keluar dari hospital?
Bergantung pada penyedia insurans, ada yang melindungi hingga 180 hari rawatan selepas keluar dari hospital. Perlu diingat bahawa had tahunan atau seumur hidup anda akan digunakan untuk ini.
4. Pertimbangkan kad perubatan yang beri perlindungan untuk penjagaan jururawat di rumah
Terdapat juga kad perubatan yang memberi perlindungan untuk penjagaan oleh jururawat di rumah. Katakan bahawa suatu hari anda mengalami kecacatan atau keadaan kesihatan yang memerlukan anda untuk mendapatkan penjagaan 24/7, anda mungkin memerlukan penjagaan oleh jururawat di rumah.
Syarikat insurans akan menanggung kos untuk penjagaan oleh jururawat di rumah sehingga beberapa hari dan mengikut jumlah perlindungan. Sesetengah syarikat insurans menanggung kos sehingga enam bulan atau 180 hari.
Tujuan utama manfaat penjagaan jururawat di rumah ini adalah untuk memberi anda atau keluarga anda masa bagi mengatur pilihan untuk jangka panjang seperti mempunyai penjaga untuk menjaga anda sehingga anda kembali bangkit.
5. Pertimbangkan kos bilik hospital dan penginapan
Secara amnya, bilik dan penginapan merujuk kepada kos menginap di bilik hospital yang merangkumi bilik (wad), barang keperluan dan makanan yang disediakan. Semasa mencari kad perubatan, ini adalah salah satu kriteria yang harus anda pertimbangkan. Perhatikan dua perkara berikut:
- Jumlah perlindungan untuk bilik dan penginapan hospital
- Jumlah hari yang dilindungi oleh penanggung insurans untuk bilik dan penginapan hospital
Berapa perbezaan kos untuk bilik dan penginapan yang berlainan?
Sama seperti tinggal di hotel, anda boleh memilih bilik standard, bilik deluxe perseorangan atau bahkan satu suite untuk penginapan di hospital. Kad perubatan yang ‘mampu milik’ menawarkan sama ada bilik empat katil atau dua katil. Sama ada bilik berkongsi atau peribadi, yang paling penting ialah pelan perubatan yang anda pilih sesuai dengan bajet anda. Untuk memberi anda gambaran tentang berapa kos setiap bilik, berikut adalah senarai harga untuk bilik di hospital swasta terpilih di Selangor (anda boleh merujuk sumber ini untuk mendapatkan senarai harga bilik yang lebih banyak mengikut negeri).
Jenis bilik | Perseorangan deluxe | Perseorangan suit | Perseorangan standard | Dua katil | Empat katil |
Caj bilik sehari (RM) | 280 | 850 | 230 | 160 | 95 |
Syarikat insurans menawarkan jumlah perlindungan yang berbeza untuk bilik dan penginapan hospital. Sesetengah syarikat insurans menawarkan caj RM250 sehari untuk sehingga 150 hari. Sesetengah yang lain boleh menawarkan jumlah perlindungan yang lebih tinggi. Oleh itu, bergantung pada bajet anda, pilihlah pelan yang dapat memberikan perlindungan tertinggi untuk diri anda.
6. Pertimbangkan kos bilik dan penginapan untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Unit Ketergantungan Tinggi (HDU)
Anda mungkin lebih biasa dengan istilah ICU berbanding HDU. Apakah perbezaan antara ICU dan HDU? Perbezaan utama antara keduanya adalah nisbah jururawat kepada pesakit.
Unit Rawatan Rapi (ICU). Nisbah jururawat dengan pesakit adalah 1: 1 atau lebih dalam kes yang kompleks.
Bagi pesakit dengan ventilator dan pesakit yang tidak memerlukan ventilator, nisbah jururawat dengan pesakit masing-masing adalah 1: 1 dan 1: 2.
Unit Ketergantungan Tinggi (HDU). Nisbah jururawat dengan pesakit adalah 1: 2-3 pesakit. HDU adalah untuk pesakit yang memerlukan pemerhatian, rawatan dan penjagaan yang lebih intensif daripada di wad biasa tetapi kurang sedikit daripada yang diberikan kepada pesakit di ICU.
Jika dibandingkan dengan ICU dan HDU, nisbah jururawat dengan pesakit di wad biasa adalah dua jurawat sehingga 30 pesakit.
Berapa kos bilik dan penginapan ICU dan HDU?
Harga adalah berbeza di hospital swasta. Berikut adalah harga untuk bilik dan penginapan bagi ICU dan HDU di hospital swasta terpilih di Selangor (anda boleh merujuk sumber ini untuk mendapatkan lebih banyak senarai harga bilik mengikut negeri.)
Jenis bilik | ICU | HDU |
Caj bilik untuk sehari (RM) | 450 | 280 |
Sebilangan penanggung insurans akan melindungi keseluruhan bilik dan penginapan ICU atau HDU anda sehingga lima bulan atau 150 hari dalam satu tahun polisi. Sesetengahnya pula akan menanggung kos sehingga enam bulan atau 180 hari. Oleh itu, bandingkan jumlah dan tempoh yang akan ditanggung oleh penanggung insurans untuk ICU atau HDU, sebelum membeli kad perubatan.
7. Pilih kad perubatan yang memberikan manfaat penjaga harian
Sekiranya anda dimasukkan ke hospital, anda mungkin mahu atau memerlukan ahli keluarga atau rakan untuk menemani anda di hospital. Sekiranya anda memilih kad perubatan yang memberikan manfaat penjaga harian, ahli keluarga atau rakan anda boleh mendapatkan bayaran balik untuk sejumlah wang yang dibelanjakan untuk makanan dan penginapan semasa menemani anda. Ini dapat meringankan beban kewangan mereka.
Sesetengah syarikat insurans menawarkan sehingga RM250 sehari sehingga lima bulan atau 150 hari dalam satu tahun polisi untuk manfaat penjaga harian. Oleh itu, dapatkan penjelasan serta kepastian daripada ejen insurans anda mengenai perlindungan untuk manfaat penjaga harian sebelum memilih mana-mana penyedia insurans.
8. Pilih kad perubatan yang paling sesuai dengan keperluan dan bajet anda
Setelah mengetahui ciri terbaik kad perubatan, anda perlu mengambil kira pula bajet anda. Ini supaya anda dapat memenuhi keperluan dan bajet buat diri anda.
Berapa banyak yang harus anda belanjakan untuk kad perubatan?
Ini adalah salah satu soalan paling kerap yang kami dapat. Ada yang mencadangkan membelanjakan antara 3-10% dari pendapatan bulanan untuk kad perubatan anda.
Sebenarnya, ia adalah bergantung pada kemampuan kewangan anda. Sekiranya anda mampu membayar RM200 sebulan untuk kad perubatan anda, maka itulah jumlah yang harus anda belanjakan.
Sebelum menentukan jumlah yang anda mampu keluarkan untuk kad perubatan anda, catatkan pendapatan bulanan dan tolakkan dengan perbelanjaan bulanan anda dari pendapatan tersebut. Bakinya adalah jumlah yang boleh anda gunakan untuk kad perubatan anda. Sekiranya anda mendapatkan kad perubatan yang disekalikan dengan insurans nyawa bertempoh contohnya, pertimbangkan juga bahawa premium anda mungkin meningkat bergantung kepada inflasi perubatan.
Kesimpulan
Memilih kad perubatan terbaik mungkin memerlukan anda untuk meluangkan lebih banyak masa bagi membuat carian dan rundingan dengan ejen insurans untuk lebih memahami pelbagai pelan perubatan yang ada. Anda boleh mengikuti tips penting di atas bagi mendapatkan kad perubatan terbaik. Kami mencadangkan anda mendapatkan insurans nyawa dan perubatan semua-dalam-satu untuk perlindungan komprehensif melalui satu pelan. Layari Bjak untuk mendapatkan insurans nyawa dan perubatan terbaik.
Rujukan: