Skip to content
Home » Tips Travel: Jangan Letak 7 Benda Ini Di Dalam Bagasi Anda

Tips Travel: Jangan Letak 7 Benda Ini Di Dalam Bagasi Anda

    tips travel

    Setelah sekian lama merancang, tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum percutian dimulakan. Perasaan seronok, teruja, semuanya ada! Kita pun mulalah mengemas bagasi untuk bawa segala barang yang diperlukan. Kalau boleh, semua baranglah dirasakan penting dan ingin dimuatkan di dalam bagasi itu.

    Namun, sila beri perhatian khususnya buat anda yang baru pertama kali ingin menggunakan pengangkutan udara, iaitu kapal terbang untuk bercuti ya. Pastikan beberapa benda/ perkara ini tidak diletakkan bersama di dalam bagasi anda itu.

    Wang tunai

    Jangan sesekali meletakkan wang tunai di dalam bagasi anda tidak kiralah jumlahnya kecil mahupun besar. Sila pastikan wang tunai sentiasa bersama dengan diri anda pada setiap masa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

    Ingat, ada risiko bagasi untuk hilang baik sebelum, semasa atau selepas menaiki pesawat. Anda mungkin tidak menjumpai semula bagasi anda di lapangan terbang, atau bagasi anda mungkin tertukar dengan individu lain. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

    Meskipun kebanyakan negara kini mengamalkan bayaran tanpa tunai, namun anda tetap memerlukan simpanan wang tunai untuk kecemasan. 

    Dokumen penting

    Sila pastikan segala dokumen penting seperti passport, kad pengenalan diri, kad kredit, surat menyurat yang mempunyai alamat serta nombor anda dan pelbagai lagi yang dirasakan ia adalah privasi peribadi tidak diletakkan di dalam bagasi anda. 

    Ini kerana jika bagasi anda hilang, dokumen-dokumen ini mungkin akan disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab. 

    Barang kemas atau jam mewah

    Sesetengah individu gemar untuk memakai barangan mewah ketika melancong. Jika anda salah seorang daripadanya, sila pastikan barang tersebut tidak disimpan di dalam bagasi anda ya. 

    Fikirkan kemungkinan jika bagasi anda hilang. Berapa jumlah kerugian yang anda akan alami?

    Jadi, sila berhati-hati ya.

    Laptop

    Begitu juga dengan barangan berharga seperti laptop atau telefon bimbit. Sila pastikan anda membawanya bersama ke dalam kabin dan tidak meletakkannya di dalam bagasi. Penjenayah sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menggodam maklumat anda jika peluang ada di depan mata. Jadi sila ambil langkah berjaga-jaga ya.

    Ubat-ubatan yang tidak diisytiharkan

    Jangan sesekali bawa ubat (walaupun yang biasa seperti Panadol) tanpa mengisytiharkannya. Sesetengah negara mempunyai undang-undang yang tegas dengan dasar kawalan dadah dan akan merampasnya. 

    Sekiranya ada menghidapi sebarang penyakit dan perlu membawa ubat tertentu, sila pastikan anda mengistiharkannya terlebih dahulu sebelum menaiki penerbangan bagi mengelakkan sebarang masalah ya. 

    Perhatian, ubat penting seperti pil hipertensi harus disimpan bersama anda. Anda mungkin tidak dapat mengambil ubat ini apabila memerlukan jika disimpan di dalam bagasi.

    Kunci, kad kunci

    Walaupun ketika melalui imigresen anda akan diminta untuk mengeluarkan segala apa yang ada di dalam poket anda, namun bawa sahaja bersama dan jangan tinggalkan apa-apa kunci atau kad kunci di dalam bagasi anda. 

    Andai kata bagasi anda hilang, ia pastinya akan menambah masalah kepada anda. Sudahlah bagasi pun tak dapat, kunci-kunci tu pula turut hilang. Pening kepala nanti kan?

    Barang orang lain

    Ini tips travel yang sangat penting ya! Jangan sesekali berkongsi bagasi dengan orang lain khususnya jika dia bukan ahli keluarga anda. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku nanti, jadi adalah lebih baik untuk anda berhati-hati.

    Banyak kejadian yang tidak disangka-sangka berlaku di lapangan terbang. Antaranya cubaan untuk seludup barangan merbahaya seperti dadah dan lain-lain. Jika ia berlaku, ia akan menjadi titik hitam buat diri anda meskipun anda sebenarnya tidak bersalah.

    Pastikan di dalam bagasi anda itu hanya diletakkan barang anda sahaja. Jangan jadi terlalu baik sehingga akhirnya ia memakan diri anda sendiri!

    Semoga tips travel kali ini bermanfaat! Bercutilah dengan selamat dan lindungi barangan peribadi anda dengan baik.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans terbesar di Malaysia dan telah dipercayai lebih 3 juta pengguna. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan beli insurans anda ikut keperluan dan bajet.

    Baca juga: