Skip to content
Home » Nak Claim Insurans? Ketahui Dulu Jenis-Jenis Tuntutan Insurans & Caranya

Nak Claim Insurans? Ketahui Dulu Jenis-Jenis Tuntutan Insurans & Caranya

    Car insurance claims in Malaysia

    Berdasarkan statistik pada tahun 2010 sehingga 2019 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), secara purata lebih daripada 500 ribu kes kemalangan jalan raya dilaporkan melibatkan hampir 7 ribu kematian setiap tahun.

    Ini menunjukkan bahawa kemalangan boleh menimpa sesiapa sahaja yang memandu dan menggunakan jalan raya.

    Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan, perkara pertama yang akan dibimbangkan sudah tentulah kos untuk membaiki kereta. Namun, anda tidak perlu risau sekiranya memiliki perlindungan insurans yang sah kerana ia boleh ditanggung di bawah polisi insurans anda sekiranya menepati syarat.

    Justeru, di sini, kami akan jelaskan kepada anda mengenai jenis-jenis tuntutan insurans kereta yang boleh dibuat bersama proses yang perlu dilalui.

    Jenis Tuntutan Insurans Kereta

    Tuntutan Kerosakan Sendiri (Own Damage)

    Ia merujuk kepada tuntutan kerugian atau kerosakan pada kereta anda terhadap insurans anda sendiri.

    Tuntutan ini hanya boleh dibuat oleh pemegang polisi komprehensif sahaja yang mana ia menawarkan perlindungan menyeluruh iaitu kepada pihak pertama (anda) dan juga pihak ketiga.

    Bagaimanapun, anda akan kehilangan diskaun NCD apabila anda membuat tuntutan ini kecuali untuk dua situasi di bawah:

    1. Kerosakan bukan dilakukan sendiri (No Fault Damage) –  merujuk kepada situasi di mana anda terlibat dalam kemalangan jalan raya namun kemalangan tersebut disahkan oleh pihak berkuasa bahawa ia tidak berpunca daripada kecuaian anda.
    2. Mempunyai perlindungan cermin kereta – Jika anda ada membeli perlindungan tambahan cermin kereta, NCD anda tidak akan terjejas apabila anda membuat tuntutan insurans untuk cermin kereta. 

    Tuntutan Knock For Knock

    Jika anda terlibat dalam kemalangan dengan pihak lain, dan ia disahkan bukan kesalahan anda, maka anda sebenarnya boleh membuat dulu tuntutan daripada insurans anda sendiri dan pihak insurans anda menuntut semula daripada syarikat insurans pihak ketiga. Inilah yang dipanggil sebagai tuntutan knock for knock.

    Bagaimanapun, tuntutan ini hanya boleh dibuat sekiranya ada mempunyai perlindungan komprehensif.

    Kos kemalangan anda akan ditanggung oleh insurans anda dahulu tanpa penolakan NCD. Manakala tuntutan insurans daripada pihak yang bersalah akan dituntut di lain hari kerana kebiasaannya akan memakan masa yang lama.

    Manfaat tuntutan knock for knock:

    • tuntutan insurans lebih cepat
    • anda tidak hilang kelayakan NCD
    • anda boleh menuntut excess dan loss of use daripada syarikat insurans pihak lain.

    Tuntutan Pihak Ketiga

    Ia merujuk kepada proses tuntutan terhadap syarikat insurans pihak lain (pihak ketiga) sekiranya kemalangan itu bukan berpunca daripada anda.

    Anda juga layak membuat tuntutan ‘pampasan untuk masa pembaikan sebenar’ (CART) dan pampasan lebihan dari syarikat insurans pihak ketiga. Tempoh CART ini akan dicadangkan berdasarkan cadangan pelaras mengenai jumlah hari yang diperlukan untuk perbaiki kenderaan anda. Syarikat insurans boleh membenarkan tambahan sebanyak 7 hari bekerja untuk kelewatan yang tidak dijangka atau tidak dapat dielakkan.

    Skala pembayaran harian CART

    Anda juga boleh membuat tuntutan kos untuk menyewa kenderaan (jenis dan kapasiti yang setara) untuk bilangan hari pembaikan yang dicadangkan seperti yang dibuktikan dengan resit dari syarikat penyewaan kereta berlesen.

    Langkah Membuat Tuntutan Insurans Kereta

    Fahami langkah-langkah untuk membuat tuntutan insurans dengan betul

    Ikuti langkah-langkah di bawah sekiranya anda ingin membuat tuntutaan kerosakan kereta akibat kemalangan:

    1. Lakukan penilaian segera ke atas kerosakan kenderaan anda. Segera hubungi syarikat insurans anda sekiranya kereta anda mengalami kerosakan yang teruk sehingga memerlukan perkhidmatan trak tunda.
    2. Ambil gambar kenderaan termasuk kenderaan lain yang terlibat dan catat maklumat lengkap (nombor plat dan roadtax kenderaan).
    3. Dapatkan maklumat peribadi pemandu lain yang terlibat (nama penuh, no MyKad, nombor telefon)
    4. Bawa kereta anda ke balai polis yang berhampiran dan buat laporan dalam tempoh 24 jam.
    5. Bawa kereta ke bengkel panel anda.
    6. Sedia dan serahkan dokumen untuk proses tuntutan. Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah:
      1. salinan asal laporan polis
      2. polisi insurans
      3. salinan kad pengenalan
      4. salinan lesen pemandu
    7. Setelah semuanya selesai, pekerja bengkel akan mengambil alih proses tuntutan insurans anda (pembaikan kereta).

    Bolehkah anda tuntut insurans kereta akibat kemalangan kecil?

    Ya, anda masih boleh membuat tuntutan insurans sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya kecil mahupun besar.

    Sekiranya kemalangan berskala kecil seperti calar, kerosakan lampu belakang atau cermin tepi, kebiasaannya kos kerosakan berada dalam lingkungan yang boleh diselesaikan sendiri. Namun sekiranya anda tetap ingin teruskan dengan tuntutan, anda boleh membuat tuntutan berdasarkan jenis-jenis tuntutan seperti yang diterangkan di atas, bergantung kepada apa yang berlaku pada kenderaan anda.

    Apa perlu dilakukan jika dilanggar oleh kereta yang tiada insurans?

    Jangan risau, walaupun individu yang melanggar kereta anda tiada insurans, anda boleh menuntut kerugian daripada mereka.

    Anda boleh menyaman mereka atas kapasiti persendirian memandangkan mereka tidak mempunyai perlindungan insurans. Kebiasaannya tuntutan akan dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.

    Untuk tuntutan ke atas kecuaian individu tanpa insurans ini, anda perlu dapatkan butiran maklumat pemandu untuk meneruskan saman. Tanpa maklumat yang lengkap, tuntutan mungkin tidak dapat dikemukakan.

    Apa yang anda perlukan?

    1. Ambil gambar kereta pemandu yang melanggar dan keadaan gambar kereta kita.
    2. Catatkan nombor plat kenderaan pemandu yang melanggar untuk memudahkan pihak JPJ membuat carian dalam sistem.
    3. Dapatkan nombor telefon dan nama penuh pemandu yang melanggar.
    4. Pastikan anda membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam.
    5. Hubungi syarikat insurans anda.
    6. Urusan tindakan akan dimulakan di mahkamah.

    Fahami proses tuntutan untuk kebaikan anda

    Bermanfaat bukan jika anda menyediakan perlindungan untuk kereta anda. Anda dapat membuat tuntutan insurans kereta sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini di kelak hari. Ketahui dan fahamkan jenis tuntutan serta proses yang betul agar tuntutan anda berjalan dengan lancar.

    Ini kerana terdapat juga beberapa sebab atau faktor yang boleh menyebabkan tuntutan anda ditolak. Jadi fahami sebaiknya polisi insurans anda untuk kesenangan terutamanya pada waktu kecemasan.

    Dalam pada itu, jika anda ingin memperbaharui perlindungan insurans kereta, anda juga boleh lakukan secara online di Bjak. Jom semak harga insurans secara percuma dan aktifkan semula insurans dalam hanya 5 minit!