Cara Baca Kod Tayar Kereta

Cara Baca Kod Tayar Kereta

Nabil FarhanNabil Farhan· · Bacaan 4 minit
Terakhir disemak

Tayar merupakan antara komponen paling penting pada kereta kerana ia satu-satunya bahagian yang sentiasa bersentuhan dengan permukaan jalan.

Namun, ramai pemilik kereta lebih fokus kepada keadaan enjin dan kurang memberi perhatian kepada tayar.

Setiap tayar mempunyai kod seperti 175/65R15 84H pada bahagian tepi tayar. Kod ini bukan sekadar nombor dan huruf. Ia menunjukkan saiz tayar, jenis binaan, had muatan dan kelajuan maksimum tayar.

Jadi, sebelum membeli tayar baharu, penting untuk tahu cara membaca kod tayar kereta.

Apa maksud kod tayar kereta?

Sebagai contoh, kita gunakan kod:

175/65R15 84H

Setiap nombor dan huruf mempunyai maksud yang berbeza.

KodMaksud
175Lebar tayar dalam milimeter (mm)
65Nisbah ketinggian dinding tayar kepada lebar tayar (%)
RRadial, iaitu jenis binaan tayar
15Diameter rim dalam inci
84Indeks muatan tayar
HIndeks kelajuan tayar

Maklumat seperti saiz, indeks muatan dan indeks kelajuan membantu anda memilih tayar yang sesuai dengan spesifikasi kereta.

1. Nombor 175

Nombor pertama menunjukkan kelebaran tayar.

Dalam contoh 175/65R15, nombor 175 bermaksud lebar tayar ialah 175 mm.

2. Nombor 65

Nombor kedua menunjukkan nisbah aspek tayar.

65 bermaksud ketinggian dinding tayar ialah 65% daripada lebar tayar.

Jadi, ia bukan bermaksud ketinggian dinding tayar ialah 65 mm.

3. Huruf R

Huruf R bermaksud Radial.

Kebanyakan tayar kereta moden menggunakan binaan radial.

4. Nombor 15

Nombor 15 menunjukkan saiz diameter rim yang sesuai dengan tayar tersebut.

Dalam contoh ini, tayar tersebut sesuai dengan rim 15 inci.

5. Nombor 84

Nombor 84 ialah indeks muatan (load index).

Ia menunjukkan jumlah beban maksimum yang boleh ditampung oleh satu tayar berdasarkan spesifikasi tayar tersebut.

Sebagai contoh, indeks 84 bersamaan dengan 500 kg.

Berikut ialah beberapa contoh indeks muatan:

Indeks MuatanHad Muatan (kg)
70335
75387
80450
81462
82475
83487
84500
85515
86530
87545
88560
89580
90600
91615
92630
93650
94670
95690
96710
97730
98750
99775
100800

Nota: Jangan pilih tayar hanya berdasarkan angka indeks muatan. Ikut spesifikasi yang disyorkan oleh pengeluar kereta.

6. Huruf H

Huruf terakhir pula ialah indeks kelajuan (speed rating).

Ia menunjukkan kelajuan maksimum yang direka untuk tayar tersebut berdasarkan syarat ujian yang ditetapkan.

Antara indeks kelajuan yang biasa ditemui ialah:

Indeks KelajuanKelajuan Maksimum
S180 km/j
T190 km/j
U200 km/j
H210 km/j
V240 km/j
W270 km/j
Y300 km/j
ZLebih 240 km/j, bergantung pada spesifikasi tayar

Contohnya, kod H mempunyai penarafan kelajuan sehingga 210 km/j.

Namun, ini bukan bermaksud anda patut memandu pada kelajuan tersebut. Had kelajuan jalan raya dan keadaan pemanduan tetap perlu dipatuhi.

Contoh cara baca kod tayar 175/65R15 84H

Mari kita pecahkan kod 175/65R15 84H:

KodMaksud
175Lebar tayar ialah 175 mm
65Nisbah aspek ialah 65%
RBinaan radial
15Diameter rim ialah 15 inci
84Indeks muatan ialah 500 kg
HIndeks kelajuan ialah 210 km/j

Dengan membaca kod ini, anda boleh memahami spesifikasi asas tayar sebelum membuat pembelian.

Cara semak tarikh pembuatan tayar

Selain kod saiz, tayar juga mempunyai kod tarikh pembuatan.

Biasanya, kod ini terdiri daripada empat digit. Dua digit pertama menunjukkan minggu pembuatan, manakala dua digit terakhir menunjukkan tahun.

Contohnya:

2519

Maksudnya:

  • 25 = minggu ke-25
  • 19 = tahun 2019

Jadi, tayar tersebut dibuat pada minggu ke-25 tahun 2019.

Piawaian Malaysia MS 149:2018 turut menetapkan penandaan tarikh pembuatan dalam bentuk empat digit bagi tayar kereta penumpang yang berkaitan.

Adakah tayar tamat tempoh selepas 5 tahun?

Tidak semestinya.

Tarikh pembuatan boleh digunakan untuk mengetahui usia tayar, tetapi ia bukan bermaksud tayar automatik tidak boleh digunakan selepas genap 5 tahun.

Keadaan tayar juga bergantung kepada faktor seperti:

  • corak bunga tayar
  • rekahan pada getah
  • kerosakan pada dinding tayar
  • cara tayar digunakan
  • tekanan angin
  • pendedahan kepada panas dan cahaya matahari
  • jarak dan keadaan pemanduan

Sebagai panduan, Michelin menyarankan tayar diperiksa oleh profesional sekurang-kurangnya sekali setahun selepas lima tahun digunakan.

Jadi, jika anda membeli tayar baharu, semak tarikh pembuatannya dan periksa keadaan fizikal tayar. Jangan bergantung kepada umur sahaja untuk menentukan sama ada tayar masih selamat.

Periksa kod tayar sebelum membeli

Memahami kod tayar boleh membantu anda mengelakkan kesilapan ketika membeli tayar baharu.

Sebagai contoh, jika kereta anda memerlukan tayar dengan spesifikasi tertentu, jangan terus pilih tayar berdasarkan harga atau jenama sahaja.

Semak sekurang-kurangnya:

  • saiz tayar
  • indeks muatan
  • indeks kelajuan
  • tarikh pembuatan
  • keadaan fizikal tayar

Untuk tekanan angin pula, jangan gunakan angka maksimum yang tertera pada dinding tayar sebagai tekanan harian. Ikut tekanan angin yang disyorkan oleh pengeluar kereta, biasanya terdapat pada pelekat di bahagian pintu pemandu atau dalam manual pemilik.

Anda juga boleh baca lebih lanjut tentang tips penjagaan tayar kereta supaya tayar sentiasa berada dalam keadaan baik.

Pastikan insurans kereta juga masih aktif

Selain menjaga tayar, jangan lupa pastikan insurans kereta anda masih sah.

Jika insurans hampir tamat tempoh, anda boleh renew insurans kereta dan road tax secara online melalui BJAK.

Sebelum renew, anda juga boleh bandingkan pilihan insurans kereta untuk melihat perlindungan yang tersedia.

Kesimpulan

Kod pada tayar sebenarnya mudah dibaca jika anda tahu maksud setiap nombor dan huruf.

Sebagai contoh, 175/65R15 84H menunjukkan saiz tayar, binaan radial, saiz rim, had muatan dan indeks kelajuan.

Sebelum membeli tayar, jangan lupa semak saiz, indeks muatan, indeks kelajuan dan tarikh pembuatan. Paling penting, pastikan spesifikasi tayar sesuai dengan cadangan pengeluar kereta anda.

Artikel berkaitan

Pemilikan & penjagaan kereta

‘Nervous Drivers!’ – Jom Atasi Kebimbangan untuk Memandu dengan Tips Ini!

Nabil Farhan· 12/08/26 · Bacaan 4 minit
Pemilikan & penjagaan kereta

Minuman untuk Memandu: 3 Pilihan Agar Kekal Segar

Nabil Farhan· 04/08/26 · Bacaan 2 minit
Pemilikan & penjagaan kereta

Hilangkan Calar Pada Kereta: 4 Tips Mudah

Nabil Farhan· 02/04/26 · Bacaan 3 minit
Pemilikan & penjagaan kereta

Prosedur Tarik Kereta: Hak & Langkah Yang Perlu Tahu

Nabil Farhan· 31/01/26 · Bacaan 6 minit