Skip to content
Home » 4 Sebab Kereta Anda Perlu Ada Dashcam

4 Sebab Kereta Anda Perlu Ada Dashcam

    Sebab kena ada dashcam

    Dashboard Camera atau lebih sinonim dengan perkataan dashcam kini boleh dikatakan sebagai salah satu peralatan ‘wajib’ dimiliki oleh setiap pemilik kereta.

    Majoriti pemilik kenderaan dilihat memasang peranti ini kerana mengetahui akan kepentingannya pada masa akan datang. Namun tidak kurang, ada juga mereka yang masih belum memperolehnya atas beberapa faktor.

    Justeru untuk artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda terutama bagi mereka yang belum memilikinya beberapa sebab anda digalakkan untuk memasang dashcam di dalam kereta sebagai panduan.

    Kenapa perlu pasang dashcam dalam kereta?

    Berikut kami senaraikan empat sebab kereta anda perlu dipasang dengan dashboard camera.

    Berfungsi sebagai saksi dan bukti penting

    Dashcam yang dipasang boleh dijadikan sebagai bukti apabila diperlukan

    Salah satu faktor atau alasan utama anda perlu memasang dashcam adalah kerana fungsinya yang boleh dijadikan sebagai saksi atau bukti penting seandainya berlaku sesuatu terhadap kenderaan sendiri atau orang lain ketika di atas jalan raya.

    Jika dilihat pada hari ini, di ruangan media sosial, banyak klip-klip video yang memaparkan kelakuan tidak bertanggungjawab dilakukan oleh segelintir pemandu/ pengguna jalan raya atau penjenayah berjaya dirakam dan seterusnya membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang.

    Contohnya kejadian yang berlaku pada awal bulan ini. Rakaman dashcam kejadian seorang penyampai berita diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap keretanya dimuat naik pelakon, Janna Nick telah membantu pihak berkuasa mengesan suspek.

    Susulan itu, dua adik-beradik dipercayai suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

    Elak pemanduan secara melulu

    Menyedari hakikat bahawa ramai pemilik kenderaan sudah memasang dashcam di dalam kereta mereka, maka ia secara tidak langsung akan membuatkan setiap daripada kita lebih berhati-hati ketika di atas jalan raya, termasuklah mengekalkan sikap pemanduan berhemah dengan tidak memandu secara melulu bagi mengelak daripada diviral dan menjadi tontonan masyarakat umum.

    Jika difikirkan secara logik, keadaan ini juga seterusnya boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya apabila semakin ramai pemandu mengamalkan sikap pemanduan yang lebih bertanggungjawab.

    Menjaga keselamatan anda dan kenderaan

    Dashcam yang dipasang pada cermin depan atau belakang kereta boleh merakam semua aktiviti yang berlaku disekitarnya sama ada ketika kenderaan sedang bergerak, berhenti mahupun diparkirkan di mana-mana kawasan.

    Dengan kata mudah, ia umpama CCTV yang boleh menjaga keselamatan anda, kenderaan anda dan juga orang lain.

    Contohnya, jika kereta anda secara tiba-tiba mengalami calar yang teruk atau dilanggar lari, maka anda bolehlah melihat semula rakaman dashcam kereta anda untuk mencari pelakunya. Contoh lain, anda secara tiba-tiba dihubungi pihak berkuasa dan didakwa telah melanggar lari seseorang, jadi rakaman pada dashcam anda itu boleh dijadikan bukti anda tidak bersalah dan seterusnya mengelakkan anda dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa. 

    Perjalanan jarak jauh lebih selamat

    Perjalanan lebih diyakini kerana mengetahui setiap pergerakan dirakam

    Anda sering membuat perjalanan jarak jauh? Maka anda sangat digalakkan memasang peranti ini. Bukan apa, pelbagai perkara tidak diingini boleh berlaku sepanjang perjalanan. 

    Ingat, malang tidak berbau dan ada kalanya perjalanan yang dirancang berakhir dengan tragedi sama ada terhadap kita atau orang lain.

    Jika ia berlaku, pesalah ini mungkin boleh dikenalpasti melalui rakaman video pada dashcam kereta anda. Dengan memasang dashcam, perjalanan jarak jauh anda akan lebih diyakini dan selamat tanpa ada sedari.

    Mahal ke pasang dashcam?

    Sama ada mahal atau tidak, ia bergantung kepada ciri dan model yang anda pilih. Namun pada dasarnya, anda boleh memiliki sebiji dashcam pada harga RM100 ke atas. Beli ikut keperluan dan bajet anda di laman beli-belah atas talian seperti di Shopee atau Lazada.

    Pada perkongsian sebelum ini, Bjak juga ada kongsikan kepada anda mengenai ciri-ciri penting yang anda perlu pertimbangkan sebelum membeli dashcam berserta beberapa model dashcam popular yang boleh anda miliki. Rujuk artikel kami: Dashcam Kereta – Fungsi, Ciri & Model Terbaik Anda Boleh Pilih untuk tahu dengan lebih lanjut. 

    Pertimbangkan pemasangan dashcam di dalam kereta anda

    Ya, dashcam bukanlah satu aksesori atau peranti yang diwajibkan oleh kerajaan untuk anda miliki di dalam kenderaan. Namun, tidak salah untuk anda menyediakan payung sebelum hujan bagi membantu anda serta orang lain apabila keadaan mendesak kelak.

    Jangan risau, harga dashcam tidaklah semahal yang anda sangka, jika ingin dibandingkan dengan risiko yang anda boleh alami ketika memandu. Cari dan dapatkan sahaja ikut bajet anda, pasti ada! Pertimbangkanlah untuk memasang dashcam di dalam kenderaan anda bagi kesenangan pada masa akan datang.


    Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.

    Baca juga: