Skip to content
Home » 6 Tips Elak Kereta Dicuri

6 Tips Elak Kereta Dicuri

    Tips keselamatan elak kereta dicuri

    Kecurian kenderaan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa kita sedar. Malah berdasarkan data yang diumumkan oleh Lembaga Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia (VTREC), secara purata sebanyak 20 buah kenderaan dicuri dalam sehari pada tahun 2020. 

    Justeru sebagai seorang pemilik kenderaan, anda dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga bagi memastikan kenderaan anda kekal berada dalam keadaan selamat dan mengelak daripada dicuri penjenayah di luar sana. 

    Untuk artikel kali ini, Bjak akan kongsikan kepada anda beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan kenderaan anda daripada dicuri.

    Tips elak kereta dicuri

    Letak kenderaan di tempat yang strategik

    Elak meletakkan kenderaan di tempat yang sunyi

    Pada kebiasaannya, penjenayah gemar untuk melakukan jenayahnya di kawasan atau tempat yang sunyi dan jauh daripada perhatian orang ramai.

    Ini bermakna, amat penting untuk anda meletakkan kenderaan anda di tempat yang terang, tidak tersorok dan mudah dilihat oleh ramai orang. Jangan risikokan diri dan kenderaan anda dengan meletakkan kenderaan di tempat yang sunyi dan gelap terutama jika untuk masa panjang. 

    Jangan tinggalkan barang berharga

    Anda dilarang sama sekali meletakkan barang-barang bernilai di dalam kereta dan mudah dilihat

    Perkara ini mungkin sudah diketahui oleh anda, namun Bjak tetap ingin ingatkan kerana masih ada ramai lagi diluar sana yang mengambil mudah akan perkara ini. 

    Mana tidaknya, ada lagi yang masih belum sedar apabila meletakkan dokumen atau barang-barang berharga di dalam kereta sehingga menjadi tumpuan penjenayah. Ingat, walaupun hanya untuk jangka masa yang singkat, kereta anda boleh dijadikan sasaran oleh pencuri untuk memecahkan kereta anda.

    Jika terdesak juga, sorokkan barang berharga tersebut di bawah tempat duduk, karpet atau di dalam bonet kereta. Jangan biarkan ia mudah dilihat oleh orang di luar untuk keselamatan kereta anda. 

    Namun tetap perlu diingatkan, ketika ingin sorokkan barang tersebut, janganlah pula sampai ia dilihat oleh orang lain. Berhati-hati dan jadi bijak untuk keselamatan anda. 

    Pastikan kereta sentiasa berkunci

    Jangan leka. Pastikan kenderaan anda sentiasa dikuci setiap masa

    Sebelum meninggalkan kereta, pastikan kenderaan anda itu dikunci dengan sebaiknya. Cek beberapa kali untuk memastikan kenderaan anda benar-benar telah selamat dan dikunci sebelum beredar tidak kiralah sama anda untuk tempoh waktu yang singkat atau lama.

    Ingat, kecurian boleh berlaku dalam sekelip mata tanpa anda sedar.

    Arahkan tayar kereta pada bendul atau dinding tempat parking

    Tahukah anda?

    Dengan menghalakan tayar kereta anda ke arah bendul atau dinding tempat parkir, ia akan menyukarkan penjenayah untuk mencuri kereta anda dengan menggunakan kereta trak tunda.

    Peka dengan keadaan sekeliling

    Sebelum meletakkan kenderaan di sesuatu tempat, pastikan anda peka dengan keadaan sekeliling kawasan itu dan pastikan ia selamat.

    Jika anda mendapati kawasan itu agak berisiko dan terdedah dengan sebarang aktiviti jenayah, segera pandu ke tempat lain untuk ubah parkir anda. Jangan hanya kerana ingin mudah dan cepat sampai, anda merisikokan diri dan kenderaan anda.

    Sorokkan telefon bimbit yang tidak digunakan dalam kereta

    Satu tips akhir yang anda boleh pertimbangkan adalah dengan menyorokkan sebiji telefon yang sudah tidak digunakan lagi di dalam kereta. Namun, anda perlu pastikan bateri telefon masih penuh dan mempunyai data internet. 

    Synchronize dan log masuk ke akaun Google anda. Ini kerana jika berlaku sesuatu seperti kecurian kereta, anda boleh mengesan kereta anda dengan menggunakan fungsi ‘Find My Phone’.

    Bolehkah tuntut insurans jika kereta dicuri?

    Tuntutan insurans untuk kecurian kereta boleh dibuat asalkan anda memenuhi dua kriteria di bawah ini:

    i) Kereta anda dilindungi dengan polisi insurans jenis komprehensif atau insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian

    ii) Insurans anda masih berkuat kuasa (belum tamat tempoh) ketika kejadian curi berlaku

    Bagaimanakah cara untuk membuat tuntutan insurans akibat kecurian?

    Langkah untuk membuat tuntutan insurans akibat kecurian adalah seperti di bawah:

    1. Buat laporan di balai polis berhubung kejadian dengan segera
    2. Berikan butiran dan maklumat lengkap mengenai kereta anda
    3. Hubungi syarikat insurans untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut
    4. Isi borang tuntutan dengan lengkap bersama dokumen penting. Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah; i) borang tuntutan yang telah diisi dengan lengkap ii) salinan laporan polis iii) salinan kad pengenalan iv) salinan lesen memandu v) salinan geran kereta
    5. Serah dokumen tersebut kepada syarikat insurans dalam masa 7 hari.

    Nota: Anda diingatkan untuk sentiasa berhubung dengan syarikat insurans semasa siasatan polis berjalan. Tempoh pampasan diberi tuntutan insurans mungkin akan mengambil masa 6 bulan atau sehingga siasatan tamat. Kebiasaanya siasatan pihak polis dan syarikat insurans akan mengambil masa yang agak lama.

    Sentiasa waspada dan ambil langkah berjaga-jaga

    Kecurian kereta mungkin boleh dielakkan sekiranya anda mengikuti tips-tips yang dikongsikan di atas. Jangan mengambil sikap sambil lewa dan menganggap bahawa kejadian seperti itu tidak akan berlaku pada diri anda.

    Dalam pada itu, anda juga diingatkan untuk sentiasa memastikan kenderaan memiliki perlindungan insurans komprehensif atau pihak ketiga, kecurian dan kebakaran (TPFT) bagi memastikan tuntutan insurans boleh dibuat jika kenderaan anda dicuri.

    Jika insurans anda sudah hampir tamat, renew segera hari ini di Bjak untuk dapatkan pelan insurans yang terbaik. Minta sebut harga percuma dalam hanya 3 minit sekarang dan bandingkan dengan 15 pilihan syarikat insurans yang ada.