Sejak kebelakangan ini, isu kenaikan harga barang terutama bahan basah telah menjadi tumpuan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia sememangnya mendatangkan kegusaran khususnya bagi kumpulan berpendapatan rendah kerana harga bagi beberapa barangan basah dilihat naik secara mendadak, iaitu sehingga lebih 50%.
Harga barang naik
Bermula dengan kenaikan harga telur ayam yang mengalami peningkatan sehingga lebih RM3 sepapan baru-baru ini, kini pengguna lebih terbeban apabila harga sayur turut meningkat melebihi dua kali ganda.
Bahkan, roti Gardenia yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia turut diumumkan oleh syarikat itu akan mengalami peningkatan bermula Disember ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Gardenia Bakeries KL beberapa hari lalu, kenaikan harga tersebut dilakukan ekoran daripada peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan mereka, seterusnya meletakkan syarikat itu dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga.
Bahan-bahan tersebut termasuklah tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan.
Menurut senarai semakan harga yang dilaporkan dihantar kepada peruncit, sebanyak 38 produk Gardenia yang tersenarai dan akan mula dijual pada harga terbaru antaranya:
- Classic Original Gardenia – RM2.80 (naik 30 sen)
- Roti Jumbo – RM4 (naik RM 45 sen)
- Roti bajet Bonanza Big Value – RM3.10 (naik 35 sen)
- Roti Butterscotch dan Choco Raisin – RM4 (naik 30 sen)
- Roti krim Quick Bites – RM1 (naik 10 sen), dan banyak lagi.
KPDNHEP pantau
Susulan daripada situasi peningkatan harga barang ketika ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa memantau harga barangan terutama keperluan asas.
Namun kata Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun merupakan antara punca yang menyumbang kepada kenaikan harga produk seperti sayur-sayuran dan ayam di pasaran.
“Dari segi sayur, ada sayur keluaran tempatan yang harganya naik kerana kita pada masa ini sudah sampai ke penghujung tahun iaitu musim tengkujuh yang sememangnya harga sayur akan meningkat. Selain itu, harga baja dan racun sebagai input untuk pengeluaran hasil buah-buahan dan sayur-sayuran ini juga sudah naik mendadak,” katanya memetik laporan.
Harga alat ganti kenderaan juga dijangka naik?
Tidak cukup dengan kenaikan harga pada barang basah, rakyat Malaysia juga mungkin bakal berdepan dengan peningkatan harga sehingga 60% pada alat ganti kenderaan untuk semua kelas.
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pengusaha Bengkel Automotif Bumiputera Perak, Hadiman Ariffin baru-baru ini kepada Utusan Malaysia.
Katanya, kenaikan tersebut bukan sahaja melibatkan alat ganti baharu namun juga alat ganti terpakai susulan daripada kenaikan mendadak cukai import dan caj penghantaran.
Menurutnya, peningkatan paling ketara adalah melibatkan gas pendingin hawa yang sebelum ini berharga RM300 satu tong, dijangka meningkat kepada lebih RM400. Selain itu tambahnya juga, harga tayar pula melibatkan kenaikan antara 30 hingga 60% manakala harga minyak enjin juga dijangka meningkat sehingga lebih 15%.
“Sebagai langkah yang lebih baik, kami sedaya upaya cuba membantu pelanggan termasuk memaklumkan kepada mereka lebih awal harga baharu alat ganti dan mendapatkan persetujuan mereka sebelum meneruskan kerja penyelenggaraan,” katanya.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari menafikan perkara itu dan berkata bahawa walaupun perubahan harga berpandukan isu semasa mungkin boleh terjadi, namun pasaran alat ganti di Malaysia telah lama diliberalisasikan dan tertakluk kepada persaingan oleh pelbagai pembekal alat ganti.
Apa anda perlu lakukan?
Berjimat cermat
Kenaikan harga barang yang sedang berlaku pada ketika ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah ia juga sedang berlaku di seluruh dunia. Sebagai pengguna, anda dinasihatkan untuk mula hidup berjimat cermat dan lakukan perancangan kewangan yang baik dan teratur demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.
Laporkan kepada KPDNHEP
Sebagai pengguna juga, anda boleh melaporkan sebarang kenaikan pada harga barang kepada pihak berwajib jika mendapati harga tersebut tidak munasabah daripada yang sepatutnya. Jangan hanya berdiam diri dan suarakan sahaja ketidakpuasan hati anda mengikut saluran yang betul supaya siasatan boleh dibuat oleh pihak berwajib.
Bjak merupakan platform perbandingan insurans kereta terbesar di Malaysia yang menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.