Skip to content
Home » Penerangan Jelas Mengenai Hibah Takaful

Penerangan Jelas Mengenai Hibah Takaful

    Hibah Takaful sememangnya sangat sinonim dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

    Namun, mungkin ada yang masih belum memahami apakah itu hibah, mengapakah ia diwujudkan dan mengapa ia penting untuk diambil.

    Fahami dulu perbezaan antara hibah dan takaful

    Sebelum kita pergi lebih dalam mengenai hibah takaful, penting untuk anda tahu mengenai maksud hibah dan juga maksud takaful untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

    Maksud Takaful

    Takaful merupakan satu bentuk perlindungan insurans yang mengenakan konsep di mana semua pencarum akan mencarum pada setiap bulan ke dalam tabung.

    Berbeza dengan perlindungan insurans konvensional, dana dalam tabung takaful ini hanya akan dilaburkan ke dalam pasaran saham yang mengikut syariah Islam sahaja. Malah, berbanding insurans konvensional, perlindungan takaful bebas daripada tiga unsur yang dilarang oleh Islam iaitu bebas dari unsur riba’, gharar (ragu-ragu) dan juga masyir judi.

    Disebabkan ketiadaan unsur-unsur tersebut di dalam takaful, maka umat Islam yang ingin mendapatkan perlindungan insurans disarankan untuk memilih Takaful berbanding insurans konvensional yang secara dasarnya masih mempunyai tiga unsur yang dinyatakan.

    Baca artikel kami sebelum ini mengenai perbezaan jelas antara insurans konvensional dan takaful yang mungkin anda perlu tahu.

    Maksud Hibah

    Berbeza dengan takaful, hibah bukanlah satu produk, namun ia adalah satu kaedah bagaimana harta itu diagihkan.

    Untuk memudahkan pemahaman anda, hibah bermaksud pemberian sesuatu yang dilakukan oleh si pemberi kepada penerima secara sukarela.

    Pemberian hibah ini boleh dalam apa jua bentuk sekali pun sama ada rumah, wang atau lain-lain asalkan ia memenuhi syarat dan memenuhi nilai di sisi syarak. Dalam kata mudah, hibah juga boleh membawa maksud sebagai ‘hadiah’ oleh pemberi kepada penerima ketika hayatnya.

    Maksud Hibah Takaful

    Hibah Takaful mula diperkenalkan di dalam industri Takaful selepas kewujudan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

    Melalui hibah Takaful, waris tidak lagi perlu melalui proses faraid dan kesemua wang pampasan tersebut menjadi milik sesiapa yang dikehendaki secara terus tanpa mengharapkan sebarang balasan semasa hidup.

    Bagaimanapun, manfaat hibah hanya akan diperoleh oleh penerima setelah pemberinya meninggal dunia.

    Pandangan Perundangan Syariah mengenai hibah takaful

    Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada 2007 telah mengeluarkan sebuah resolusi, di mana resolusi tersebut membenarkan manfaat Takaful dihibahkan kepada penama sebagai benefisiari tunggal.

    Seterusnya, resolusi Bank Negara Malaysia tersebut diperkemaskan lagi dengan oleh Akta Kewangan Islam 2013.

    Dalam perenggan 3(2), Jadual 10 dalam IFSA 2013, ia berkata bahawa manfaat takaful yang diterima tersebut akan menjadi milik penerima hibah secara mutlak.

    Kesannya adalah pemberian (hibah) ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana ahli waris si mati (peserta takaful) kerana manfaat tersebut telah dipindah milik kepada penama dan proses penamaan telah berlaku ketika hayat peserta takaful. 

    Aplikasi hibah takaful di Malaysia

    Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat kali ke-34 yang diadakan pada 21 April 2003 memutuskan bahawa:

    1. Pampasan wang takaful boleh dihibahkan kepada penerima memandangkan ia adalah hak mutlak pencarum
    2. Pampasan wang takaful tidak dikira sebagai harta pusaka dan tidak perlu difaraidkan
    3. Pemberi mempunyai hak untuk menukar atau membatalkan nama penerima dalam tempoh takaful masih berkuatkuasa
    4. Borang penamaan takaful perlu diseralaraskan dan dinyatakan dengan jelas status penerima wasi atau penerima hibah.

    Kelebihan hibah takaful

    Hibah takaful memberikan banyak kelebihan antaranya:

    • Penama menjadi penama mutlak
    • Wang pampasan takaful tidak perlu lagi melalui prosedur faraid yang pada kebiasaannya lebih rumit dan memakan masa yang lama
    • Melalui hibah takaful, pertelingkahan antara ahli keluarga (akibat perebutan wang pampasan) dapat dielakkan kerana hibah tidak boleh dipertikai dan penama akan mendapat hak mutlak
    • Pemberi boleh menamakan sesiapa sahaja sebagai penerima hibah

    Kepentingan hibah takaful

    Terdapat beberapa kepentingan mengenai hibah takaful yang seeloknya anda ketahui antaranya:

    #1 Hibah takaful mampu berfungsi sebagai penggantian pendapatan

    Selepas kematian seseorang, terutamanya ketua keluarga, orang yang akan begitu terkesan adalah warisnya yang masih hidup kerana seolah-olah punca pendapatan mereka hilang dalam sekelip mata.

    Justeru melalui hibah, wang pampasan yang diterima sekurang-kurangnya dapat berfungsi sebagai penggantian pendapatan untuk tempoh yang agak panjang sementara cuba memulihkan kehidupan.

    #2 Hibah takaful selesaikan hutang

    Secara logiknya, setiap daripada kita pasti mempunyai hutang ketika hayat sama ada hutang kereta, rumah, pendidikan dan lain-lain. Kadang-kala ada sebahagian hutang ini kita tidak dapat langsaikan sebelum ajal menjemput.

    Melalui hibah, wang pampasan yang diterima sedikit sebanyak boleh membantu untuk melangsaikan hutang si mati ketika hayatnya. Waris tidak lagi perlu meminjam wang daripada ahli keluarga atau saudara-mara semata-mata untuk membayar segala pinjaman/ hutang si mati. Hanya gunakan sahaja sebahagian wang pampasan yang diterima dan mereka boleh meneruskan kehidupan yang baik selepas itu.

    #3 Hibah takaful mengenakan proses yang mudah

    Seperti yang diperkatakan tadi, melalui hibah, penerima tidak lagi perlu melalui proses faraid dan akan jadi penerima mutlak. Ini sudah semestinya dapat mengelakkan persengketaan atau perebutan harta dalam kalangan ahli keluarga si mati.

    Berbanding wasiat, proses tuntutan bagi hibah juga adalah sangat mudah dan pantas tanpa melibatkan sebarang kos tambahan.

    #4 Tidak perlu lantik peguam

    Tanpa perlu melantik sebarang peguam mahupun wakil untuk proses tuntutan hibah, waris hanya perlu pergi ke mana-mana cawangan Takaful yang diambil oleh si mati ketika hayatnya dan membawa dokumen yang diperlukan.

    Namun diingatkan, hanya penama yang dinamakan di dalam polisi sahaja yang boleh membuat tuntutan.

    #5 Hibah takaful boleh digunakan sebagai dana pendidikan untuk anak

    Melalui hibah Takaful, anda sekurang-kurangnya akan dapat menyediakan dana yang cukup bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik. Jangan nanti apabila anda sudah tiada, pendidikan anak-anak anda terabai, dan mereka gagal teruskan kehidupan yang baik.

    Adakah hibah takaful boleh dicabar?

    Perebutan harta sememangnya sering berlaku dalam menentukan siapa yang layak untuk mendapat harta yang ditinggalkan oleh si mati.

    Dengan kewujudan hibah takaful, mengikut Perenggan 3(2) jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, seperti yang dinyatakan pada ayat di atas tadi, ia menjadikan bahawa hibah takaful tidak boleh dicabar, dipertikai mahupun dituntut oleh sesiapa pun malah tidak juga boleh dibawa untuk bantahan.

    Pilih hibah takaful terbaik

    Terdapat beberapa tips untuk menentukan supaya anda memilih hibah takaful yang terbaik. Lihat tips-tips di bawah ini:

    #1 Tentukan jumlah pampasan yang diperlukan

    Keperluan setiap keluarga adalah berbeza dan jumlah pendapatan yang diterima juga adalah lain bagi semua individu.

    Oleh itu, ketika memilih jumlah pampasan kematian dan hilang upaya kekal ketika menandatangani polisi takaful, pastikan anda tahu jumlah perbelanjaan bulanan anda serta komitmen lain yang perlu dibayar setiap bulan.

    Anda digalakkan untuk memilih jumlah perlindungan 10 kali ganda daripada jumlah pendapatan tahunan yang diterima.

    Katakan gaji tahunan anda adalah RM40,000, maka wang perlindungan / pampasan yang patut diambil adalah sebanyak RM400,000.

    Ia bagi memastikan agar waris anda dapat meneruskan kehidupan yang baik dalam jangka masa yang panjang selepas ketiadaan anda.

    #2 Tentukan jumlah bayaran bulanan yang anda mampu tanggung

    Elakkan membeli perlindungan Takaful sehingga mampu membebankan anda. Ukur baju di badan sendiri. Jika tidak mampu memilih perlindungan yang banyak, pilih sahaja mengikut kemampuan anda.

    Jadi, buatlah perancangan dari sekarang. Dapatkanlah perlindungan Takaful dan hibahkanlah kepada yang tersayang. Anda juga boleh melihat pelan Takaful terbaik secara online di Bjak. Terima pelan lengkap semua dalam satu pada harga yang terbaik dan mampu milik.

    Rujukan:

    Sumber 1

    Sumber 2