Skip to content
Home » 7 Fakta Mengenai Penyakit Kanser di Malaysia

7 Fakta Mengenai Penyakit Kanser di Malaysia

    Maaf, awak telah disahkan menghidap penyakit kanser XX tahap tiga.

    Robeknya hati apabila secara tiba-tiba diri sendiri mahupun insan terdekat disahkan menghidap penyakit kanser.

    Penyakit ini boleh dikatakan sebagai penyakit yang paling ditakuti oleh kebanyakan individu kerana pada lazimnya ia hanya berjaya dikesan apabila berada di tahap-tahap terakhir yang seterusnya mampu mengakibatkan kematian.

    Ianya diibaratkan sebagai mimpi ngeri dan sesiapa pun sebolehnya tidak ingin menderita akibat penyakit ini.

    Namun, terdapat beberapa perkara mengenai penyakit ini yang penting untuk kita ketahui. Jadi, ayuh kita lihat beberapa fakta mengenai penyakit kanser yang boleh dijadikan sebagai iktibar serta rujukan.

    1. Penyakit kanser tidak hanya melibatkan warga emas

    Antara salah faham yang sering berlaku adalah apabila ada yang beranggapan bahawa penyakit ini hanya akan ‘menyerang’ mereka yang sudah berumur sahaja. Sebaliknya, penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja termasuk bayi yang masih kecil.

    2. 60% penyakit kanser hanya dikesan pada tahap akhir

    Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 mendedahkan bahawa 60% kanser di Malaysia dikesan pada peringkat terlalu lewat (tahap 3 dan 4).

    3. Masalah obesiti antara punca 13 jenis kanser

    Menurut Pakar Perunding Onkologi Perubatan Hospital Beacon, Dr Azura Rozila Ahmad seperti yang dipetik laporan, masalah obesiti adalah sangat kritikal di mana ia menjadi punca kepada 13 jenis kanser.

    “Masalah obesiti antara punca 13 jenis kanser. Paling membimbangkan, negara ini paling ramai gemuk di rantau Asia.

    “Berat badan dengan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 40 atau obes lebih cenderung menghidap kanser, berbanding mereka dengan berat badan normal,” katanya.

    4. 1:10 lelaki Malaysia berdepan risiko kanser

    Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 menganggarkan bahawa risiko seumur hidup penyakit kanser yang dihadapi golongan lelaki Malaysia adalah 1/10.

    5. Kanser antara penyumbang kematian terbanyak

    Menurut  Fakta-Fakta Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) 2019, kanser menyumbang kepada 11.82% kematian di semua hospital kerajaan berbanding 9.08% pada 1999.

    6. Tidak semua pesakit kanser berakhir dengan kematian

    Dengan kemajuan teknologi dan kajian terhadap kanser, terdapat beberapa jenis kanser yang boleh dirawat iaitu kanser limfoma, leukemia dan kanser tiroid.

    7. 30 hingga 50% daripada kanser boleh dicegah

    Tahukah anda bahawa 30 hingga 50% kanser boleh dicegah sekiranya anda mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjaga berat badan, mengamalkan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran, tidak merokok, sering melakukan senaman dan menghentikan pengambilan alkohol.

    Antara selebriti Malaysia yang berjuang melawan kanser 

    Penyakit kanser boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tanpa mengira umur, pangkat dan jantina. Berikut kami senaraikan beberapa orang selebriti yang sedang berjuang dan pernah menderita akibat penyakit kanser:

    1.Elyana Emrizal

    Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Diriku tapak sulaiman’ ini menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 11 tahun lalu.

    Elyana mengejutkan peminat apabila berkongsikan berita mengenai penyakitnya itu ketika menyertai Program Gegar Vaganza musim ke 4 pada 2017.

    2. Datuk Lee Chong Wei

    Bekas jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal pada tahun 2018. 

    3. Mak Jah

    Pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah pernah bergelut dengan kanser rahim selepas ia dikesan pada 2016. 

    Sebelum ini, Mak Jah pernah viral di media sosial apabila dia terpaksa menggadai barang kemas untuk menampung kos rawatan bagi penyakit kanser yang dihidapinya itu. 

    Namun, kesihatan Mak Jah kini dikhabarkan bertambah baik apabila dia tidak perlu lagi mengambil ubat dalam kuantiti yang banyak seperti dahulu.

    4. Maya Matahari

    Siapa sangka, penyanyi, Maya Matahari sebenarnya menghidap penyakit kanser sarcoma tahap empat sejak beberapa tahun, sebelum meninggal dunia akibat penyakit yang dideritai pada 18 Mac 2020.

    Rujukan:

    Sumber 1