Skip to content
Home » Prosedur Sebenar Tarik Kereta 

Prosedur Sebenar Tarik Kereta 

    Prosedur sebenar tarik kereta

    Situasi kereta ditarik merupakan satu detik yang agak menakutkan, dan tidak mustahil ia boleh berlaku kepada anda. 

    Jadi sebelum ia berlaku, adalah penting untuk anda mengetahui hak anda serta hak penarik kereta supaya situasi tersebut dapat dihadapi dengan lebih tenang dan diselesaikan dengan cara baik.

    Fakta berkenaan tarik kereta

    Berikut Bjak kongsikan beberapa fakta mengenai tarik kereta yang anda kena tahu:

    1. Kenderaan yang dibeli secara ‘sewa beli’ menjadikan pembeli sebagai ‘penyewa’. Manakala, institusi kewangan adalah ‘pemunya’

    2. Mengikut Akta Sewa Beli, institusi kewangan berhak untuk mengambil semula atau dalam kata mudah menarik balik mana-mana kenderaan jika penyewa didapati gagal membayar jumlah ansuran yang telah dijanjikan dalam syarat perjanjian dengan institusi kewangan

    3. Ejen penarik kenderaan perlu membuat permohonan dan pendaftaran dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) untuk memperolehi kad kuasa ejen penarikan kenderaan

    4. Kebanyakan laporan polis yang dibuat oleh ejen penarik kenderaan yang dilantik oleh pihak institusi kewangan adalah hanya selepas proses tarik kenderaan dilakukan

    5. Laporan polis yang dibuat oleh ejen penarik kereta adalah bagi memaklumkan kesahihan tindakan yang diambil oleh ejen yang dilantik institusi kewangan mengikut prosedur perundangan

    6. Pihak polis tidak terlibat mahupun melindungi aktiviti penarikan kenderaan yang dijalankan oleh ejen penarik kenderaan mewakili institusi kewangan

    Hak penyewa yang perlu ejen penarik kenderaan patuhi

    Pihak polis tidak terlibat mahupun melindungi aktiviti penarikan kenderaan yang dijalankan oleh ejen penarik kenderaan mewakili institusi kewangan

    Di bawah pula dikongsikan hak penyewa yang ejen penarik kenderaan perlu patuhi sebelum membuat penarikan pada mana-mana kenderaan:

    1. Ejen penarik kenderaan tidak dibenarkan menarik kenderaan yang berada di kawasan kediaman berpagar

    2. Ejen penarik kenderaan tidak boleh menarik kenderaan pada hari cuti umum

    3. Masa untuk melakukan urusan tarik kenderaan adalah pada 9 pagi sehingga 9 malam sahaja

    4. Ejen penarik kenderaan perlu mengemukakan kepada penyewa surat arahan tarik dari institusi kewangan dan perintah Mahkamah sekiranya kenderaan yang hendak ditarik telah membuat bayaran melebihi 75% daripada pinjaman kenderaan

    5. Ejen penarik kenderaan perlu mempunyai Kad Autoriti Ejen Perolehan Semula (EPS) daripada KPDNKK

    6. Ejen penarik kenderaan perlu bersikap professional, memakai pakaian yang kemas dan bersesuaian ketika urusan tarik kenderaan dilakukan

    7. Ejen penarik kenderaan dilarang sama sekali menggunakan kekerasan ketika proses menarik kenderaan dilakukan

    8. Penyewa perlu diberikan masa yang secukupnya untuk mengeluarkan segala barang berharga dari dalam kereta sebelum kenderaan ditarik

    9. Ejen penarik kenderaan perlu segera membuat laporan polis bagi memaklumkan kesahihan menjalankan penarikan kenderaan

    10. Jika berlaku sebarang masalah ketika proses penarikan kenderaan seperti berlaku jenayah, kekerasan, peras ugut duit mahupun pencerobohan premis tanpa izin, pihak penyewa beli berhak untuk melaporkannya kepada pihak polis agar tindakan undang-undang terhadap ejen penarik kenderaan/ institusi kewangan. Begitu juga sebaliknya.

    Proses sebelum berlakunya penarikan kenderaan

    Di bawah ini merupakan proses sebelum penarikan kenderaan yang perlu anda fahami:

    1. Sebelum menarik kenderaan anda, institusi kewangan perlu menghantar Notis Jadual Keempat yang merupakan notis bertulis yang menyatakan hasrat institusi tersebut untuk menarik kenderaan anda.

    2. Notis ini akan luput dalam masa 21 hari. Notis kedua akan dikeluarkan 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat, untuk memberitahu anda bahawa institusi kewangan berhasrat untuk menarik kenderaan anda selepas luput notis Jadual Keempat.

    3.  Anda boleh mengelak penarikan kenderaan anda dengan membayar jumlah tertunggak seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keempat sebelum tempoh 21 hari atau memulangkan kenderaan tersebut kepada institusi perbankan sebelum tarikh luput.

    4. Anda perlu menjelaskan baki hutang selepas ditolak nilai kenderaan tersebut.

    Apa pula yang perlu penyewa beli (anda) lakukan semasa proses penarikan kenderaan?

    Ketika ejen penarik kenderaan menarik kereta, anda sebagai penyewa beli perlu catitkan beberapa perkara berikut:

    1. Nama ejen

    2. Nombor permit

    3. Nama dan alamat bank

    4. Tempat menyimpan kenderaan yang ditarik

    Apa yang perlu penyewa beli (anda) lakukan selepas kenderaan ditarik?

    Selepas kenderaan ditarik oleh ejen penarik kenderaan, ini adalah tindakan yang perlu anda lakukan: 

    1. Dalam masa 21 hari selepas penarikan, institusi kewangan akan memberi anda dan setiap penjamin notis Jadual Kelima yang membenarkan anda membayar balik jumlah hutang kepada institusi kewangan (bank). Anda boleh meminta institusi kewangan untuk memulangkan kenderaan bermotor anda dengan:

    • Menjelaskan semua jumlah yang tertunggak dan belanja tunai langsung (termasuk kos penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan, kos penarikan dan penghantaran balik) yang ditanggung oleh institusi kewangan; atau
    • Membayar balik jumlah baki hutang sepenuhnya dan menyelesaikan semua belanja tunai langsung (termasuk kos penarikan, penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan)

    2. Sekiranya anda atau penjamin tidak berjaya menyelesaikan jumlah belum jelas seperti yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari selepas notis Jadual Kelima dihantar kepada anda, institusi kewangan berhak menjual kenderaan tersebut melalui lelongan awam atau menawarkan kepada anda untuk membeli kenderaan tersebut pada harga yang lebih rendah daripada harga anggaran yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima.

    Tahu hak anda!

    Seperti yang dinyatakan di atas tadi, situasi ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja termasuk anda. Jadi, penting untuk anda memahami segala perkara yang dikongsikan di atas supaya anda tahu apa perlu dilakukan jika ia berlaku. Dalam pada itu, ia juga penting supaya anda dapat mengelak daripada ditipu oleh ejen penarik kereta yang tidak sah.


    Bjak menyediakan 15 syarikat insurans untuk pengguna lakukan perbandingan sebelum memperbaharui insurans. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak hari ini dan renew insurans kereta atau motosikal anda dengan mudah dan pantas.