Skip to content
Home » Jari Budak Lelaki Tersangkut Pada Lubang Rim Kereta, 2 Jam Tahan Kesakitan

Jari Budak Lelaki Tersangkut Pada Lubang Rim Kereta, 2 Jam Tahan Kesakitan

    Jari tersepit pada rim kereta

    Baru sahaja beberapa hari lepas, berlaku kejadian di mana seorang remaja berusia 16 tahun berdepan dengan azab memeritkan apabila cincin baharu yang dipakai pada jari hantunya tersekat lebih 2 jam sebelum diselamatkan bomba.

    Kejadian sebegitu mungkin sudah agak biasa didengar oleh kita, bukan?

    Namun, kali ini lain pula kisahnya apabila jari seorang kanak-kanak lelaki tersekat pada lubang rim kereta!

    Terpaksa tahan sakit 2 jam

    Kejadian tersebut berlaku pada petang semalam, 8 Mac 2022 di Kota Marudu, Sabah.

    Menurut laporan Berita Harian, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu terpaksa menahan azab yang memeritkan selama lebih 2 jam apabila jari miliknya tersangkut pada lubang rim kereta.

    Kejadian yang berlaku di rumah mangsa itu menyebabkan mangsa terpaksa dibawa ke Hospital Kota Marudu bersama rim yang terlekat pada jarinya bagi mendapatkan bantuan. 

    Perlu bantuan bomba

    Bagaimanapun, jari yang tersekat itu hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya telah menerima panggilan daripada hospital pada jam 6:35 petang.

    Pihak bomba kemudiannya terpaksa mengambil masa lebih 2 jam sebelum jari kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan daripada rim tersebut. 

    Dalam operasi itu, anggota bomba menggunakan alat pemotong besi bagi mengeluarkan jari mangsa yang terlekat dan ia dijalankan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan lebih besar pada tangan kanak-kanak itu.

    Kata jurucakap bomba, operasi menyelamat itu dijalankan tiga anggota dan pegawai di bahagian Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu.

    Antara kejadian berkaitan yang pernah berlaku di Malaysia 

    Kadang-kala, mungkin segelintir daripada kita menganggap bahawa kejadian jari atau mana-mana anggota yang tersekat ini agak aneh dan luar biasa. 

    Namun, malang tidak berbau bukan? Kalau ingin berlaku, ia akan berlaku juga. 

    Apa kata Bjak recap kembali beberapa kejadian seumpama ini yang pernah berlaku untuk pengajaran dan peringatan bersama.

    3 Mac 2022 – Di Sabak Bernam, Selangor, remaja 16 tahun berdepan detik cemas dan menyakitkan apabila cincin yang dipakai pada jari hantunya tersangkut lebih 2 jam sebelum diselamatkan bomba. Mangsa baru sahaja memakai cincin baharu itu selama tiga jam sebelum tersangkut kerana terlalu kecil.

    5 Feb 2022 – Di Kota Marudu, Sabah. Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun terpaksa menahan sakit apabila sesendal skru yang disarung di jari manis tersekat. Anggota bomba mengambil masa 40 minit untuk memotong dan menanggalkan objek tersebut.

    24 Jan 2022 – Di Bintulu, Sarawak. Budak lelaki berusia 8 tahun berdepan detik menyakitkan apabilajari telunjuk kanannya tersepit pada tombol pintu di rumahnya. 

    14 Dis 2021 – Di Lawas, Sarawak. Seorang lelaki berusia 43 tahun bukan sahaja terpaksa menahan kesakitan, malahan rasa malu juga apabila soket paip pvc terlekat pada kemaluannya. Bomba terpaksa menggunakan alat pemotong khas bagi memotong soket paip berkenaan yang tidak dapat ditanggalkan daripada kemaluan mangsa. 

    1 Jan 2021 – Di Alor Setar, Kedah. Seorang lelaki menahan sakit hampir dua jam selepas bertindak menyarung cincin pada kemaluannya sehingga menyebabkan ia tersangkut dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan bomba.

    Jangan lakukan perkara yang boleh menyusahkan diri

    Memang benar ada pepatah mengatakan bahawa malang tidak berbau. Namun, tidak salah jika kita mengamalkan langkah berjaga-jaga sebelum perkara yang buruk berlaku. Mencegah lebih baik daripada mengubati bukan? 

    Jika anda merasakan perkara itu tidak membawa manfaat, seeloknya tidak perlulah cuba melakukannya demi keselamatan anda. Ingat, anda bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan nanti, bahkan malu juga.


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!