Skip to content
Home » Cara Dapat Premium Insurans Perubatan Pada Harga Rendah

Cara Dapat Premium Insurans Perubatan Pada Harga Rendah

    Adakah anda sedang mencari polisi insurans perubatan yang bersesuaian dengan keperluan dan bajet anda?

    Kami akan bantu untuk dapatkannya!

    Ini 4 cara untuk dapatkan insurans perubatan pada harga lebih rendah

    1. Dapatkan insurans seawal yang boleh

    Adakah anda sedar bahawa soalan pertama yang akan ditanya apabila anda ingin meminta sebut harga bagi insurans perubatan adalah tarikh kelahiran anda?

    Ada sebabnya ia diminta! Sebenarnya, umur merupakan faktor utama yang akan menentukan premium anda. Oleh kerana orang muda dianggap kurang berisiko untuk menghidap penyakit dan dimasukkan ke hospital, maka premium mereka akan jauh lebih rendah berbanding mereka yang lebih berusia.

    Berapa yang saya boleh jimat sekiranya mendapatkan insurans sekarang?

    Untuk menjawab persoalan itu, anggap Effa, seorang gadis berusia 24 tahun dan bekerja sebagai seorang pegawai pentadbiran. Untuk polisi yang dipilih olehnya, premium bulanan bagi umur semasanya adalah sebanyak RM160. Namun katakan dia ingin mengambil insurans hanya pada 10 tahun akan datang, premium bulanan untuk polisi yang sama akan meningkat kepada RM220. Ia merupakan peningkatan sebanyak RM60 atau 37.5% berbanding jika dia mengambilnya ketika umur 24 tahun. Kalikan pula jumlah itu dengan 12 bulan, maka Effa sudah membazirkan RM720 setahun!

    Jadi, apakah pengajarannya di sini?

    Dapatkan perlindungan insurans seawal yang boleh untuk menjimatkan wang anda!

    2. Mulakan dengan perlindungan lebih rendah

    Sebelum memulakan sebarang komitmen bulanan baru, pastikan anda meneliti serta melihat semula keseluruhan kewangan anda agar ia tidak membebankan.

    Mendapatkan perlindungan insurans perubatan merupakan satu komitmen kewangan jadi anda perlu memastikan bahawa anda mempunyai wang yang cukup untuk membayar premium bulanan bagi insurans anda.

    Katakan anda hanya mampu untuk membayar sebanyak RM200 untuk insurans, maka carilah polisi yang bersesuaian dengan bajet anda itu.

    ‘Tetapi kalau bayar sedikit untuk insurans bukankah bermakna saya tidak akan mendapat perlindungan yang mencukupi?

    Tidak semestinya.

    Sebagai contoh, Effa yang berusia 24 tahun mungkin tidak memerlukan sehingga RM1,000,000 bagi perlindungan tahunan untuk rawatan pesakit kerana dia masih muda dan mempunyai tahap kesihatan yang baik. Dia boleh mendapatkan premium yang lebih rendah dengan mengurangkan jumlah perlindungan bagi rawatan pesakit, sebagai contoh ke RM500,000.

    ‘Namun bagaimana sekiranya saya ingin menambah jumlah perlindungan nanti?’

    Soalan yang baik! Semakin anda berusia dan pendapatan anda bertambah, anda boleh menambah atau meningkatkan jumlah perlindungan mengikut keperluan anda pada waktu itu.

    Pada dasarnya, anda perlu seimbangkan keperluan perubatan anda dengan amaun yang anda mampu bayar setiap bulan. Bukan menjadi satu masalah untuk anda mulakan dengan perlindungan yang lebih rendah. Mungkin suatu hari nanti, apabila anda sudah betul-betul berkemampuan, anda boleh menambah perlindungan insurans perubatan anda.

    3. Pilih deduktibel yang lebih tinggi

    Kelebihan memilih deduktibel yang tinggi adalah kerana anda akan boleh membayar premium yang lebih rendah.

    Apakah deduktibel? Saya tak faham’

    Okay macam ni.

    Deduktibel merupakan amaun atau jumlah yang pemegang polisi (iaitu anda) perlu bayar terlebih dahulu sebelum polisi insurans anda mula menanggung lebihan amaun bagi bil perubatan anda. Namun, ada sesetengah polisi insurans perubatan yang menawarkan ‘sifar deduktibel‘ yang bermakna anda tidak perlu membayar sebarang kos untuk bil perubatan anda dan 100% akan ditanggung oleh pihak insurans anda.

    Untuk lebih memudahkan pemahaman anda, sila baca contoh senario di bawah:

    Senario A (Jumlah deduktibel: RM500)

    Effa dimasukkan ke hospital bagi pembedahan kecil untuk lututnya. Seperti yang dinyatakan dalam polisi insuransnya dan dia bersetuju bahawa deduktibel adalah RM500, jadi dia harus membayar RM500 daripada keseluruhan bil perubatannya yang berjumlah RM5,000. Baki RM4,500 lagi akan ditanggung oleh pihak insurans Effa.

    Apabila jumlah deduktibel Effa adalah RM500, premium bulanan bagi insuransnya adalah berjumlah RM250.

    Senario B (Jumlah deduktibel: RM1,000)

    Effa dimasukkan ke hospital bagi pembedahan kecil untuk lututnya. Apabila dia meminta untuk mengenakan deduktibel berjumlah RM1,000 dan dipersetujui oleh syarikat insuransnya, maka dia perlu membayar RM1,000 daripada keseluruhan bil perubatannya yang berjumlah RM5,000. Baki RM4,000 lagi akan ditanggung oleh pihak insurans Effa.

    Memandangkan jumlah deduktibel Effa adalah RM1,000, jadi premium bulanannya boleh berkurang sehingga RM150. Ini bermakna Effa jimat sebanyak RM100. Dalam setahun, dia sudah boleh menjimatkan sebanyak RM1,200!

    Namun ingat, hanya pilih deduktibel yang tinggi sekiranya anda pasti anda mampu untuk membayar wang bayaran pendahuluan deduktibel itu.

    4. Buat perbandingan antara polisi insurans

    Ketika anda ingin membeli barangan rumah, anda pasti akan membelinya di pasar raya yang lebih murah harganya dan seterusnya membantu untuk anda berjimat.

    Sama juga sekiranya anda ingin mendapatkan perlindungan insurans perubatan. Lihat, teliti dan bandingkan dulu polisi insurans yang bersesuaian dengan bajet dan keperluan anda,

    Selepas mengambil kira jumlah yang anda mampu bayar untuk insurans, ia adalah lebih baik sekiranya anda menyenaraikan pula perlindungan yang anda cari seperti sifar deduktibel untuk perbelanjaan perubatan atau bayaran sekaligus apabila anda didiagnosis menghidap penyakit kritikal.

    Apabila anda membandingkan polisi insurans yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat insurans, anda pasti akan menjumpai tawaran terbaik dan diskaun yang pastinya akan menjimatkan wang anda!

    Bandingkan polisi insurans lebih mudah dengan Bjak

    Pasti lebih menarik apabila anda boleh mengubah suai pelan perlindungan untuk insurans perubatan mengikut bajet dan keperluan anda. Untuk dapatkan sebut harga percuma, layari sahaja Bjak.

    Rujukan:

    Sumber 1

    Sumber 2