Skip to content
Home » Penjelasan Mengenai Insurans Nyawa Bertempoh

Penjelasan Mengenai Insurans Nyawa Bertempoh

    Artikel kali ini akan memberi penerangan jelas kepada anda mengenai salah satu polisi yang terdapat dalam insurans nyawa iaitu insurans nyawa bertempoh. Diharapkan ia dapat membantu bagi memastikan anda membuat keputusan yang tepat bagi melindungi masa depan anda dan keluarga.

    Apakah insurans nyawa bertempoh?

    Insurans nyawa bertempoh merupakan salah satu jenis insurans nyawa paling ‘biasa’ yang menawarkan pembayaran sekaligus sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal (TPD), yang mana hampir sama dengan insurans nyawa seumur hidup. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ramai individu lebih memilih untuk mendapatkan insurans nyawa bertempoh berbanding insurans nyawa seumur hidup.

    Mengapa saya perlu dapatkan insurans nyawa bertempoh?

    Terdapat beberapa sebab yang mendorong individu untuk mendapatkan insurans nyawa bertempoh:

    • Kos pendidikan untuk anak-anak
    • Ingin keluarga mereka tetap dijaga dari segi kewangan
    • Pinjaman dan gadai janji tertunggak
    • Tidak mahu memberi bebanan kewangan kepada keluarga yang bakal ditinggalkan
    • Sesetengah individu risau sekiranya mengalami kehilangan upaya kekal disebabkan pekerjaan yang berisiko tinggi, jadi mereka membeli insurans sebagai persiapan diri

    Apakah beza di antara insurans nyawa bertempoh dengan insurans nyawa seumur hidup?

    Insurans nyawa bertempoh melindungi anda untuk tempoh masa tertentu, sesingkat lima tahun sehingga selama beberapa dekad. Kebanyakan syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk 5 , 10, 15, 20, 25, atau 30 tahun mengikut pelan yang dipilih (Axa, FWD, Etiqa, Prudential) bermula daripada umur 16 tahun. Walaupun biasanya lebih murah daripada insurans nyawa seumur hidup, premium insurans bertempoh akan mengalami peningkatan seiring bertambahnya usia anda dan jika anda memilih untuk memperluaskan lagi perlindungan.

    Insurans nyawa seumur hidup ‘direka’ untuk memberi perlindungan untuk anda sepanjang hayat, dan premium tidak akan meningkat meskipun usia anda bertambah. Pada kebiasaannya, insurans nyawa seumur hidup lebih mahal memandangkan premiumnya akan membantu untuk memberi nilai tunai. Nilai tunai, atau turut dipanggil sebagai bayaran dijamin, boleh dikeluarkan semasa tempoh polisi anda, atau dibayar ketika tempoh polisi anda berakhir.

    Insurans nyawa bertempoh VS Insurans nyawa seumur hidup

    Di bawah merupakan beberapa perbezaan di antara dua polisi insurans ini yang anda perlu tahu:

    Insurans Nyawa BertempohInsurans Nyawa Seumur Hidup
    Memberi perlindungan untuk tempoh tertentu sama ada 10,15,20,25 atau 30 tahunDireka untuk memberi perlindungan sepanjang hayat – boleh dilanjutkan sehingga umur 100 tahun
    Tidak memberikan nilai tunaiNilai tunai meningkat sepanjang polisi berjalan
    Premium rendahPremium tinggi
    Premium mungkin meningkat bergantung kepada struktur/ lanjutan polisiPremium kekal sama sepanjang polisi berjalan
    Pembayaran dijaminPembayaran dijamin
    Tiada dividenLayak mendapat dividen

    Apakah kelebihan dan keburukan insurans nyawa bertempoh?

    Kelebihan:

    • Kemampuan

    Ia lebih murah berbanding insurans nyawa seumur hidup sekurang-kurangnya pada tahun pertama, memandangkan ia hanya sementara dan tidak mempunyai nilai tunai

    • Tempoh fleksibel

    Boleh memilih tempoh perlindungan

    • Boleh ditukar

    Anda boleh memperbaharui atau menukar polisi anda ke polisi insurans nyawa seumur hidup (pada premium lebih tinggi)

    • Tidak rumit

    Polisi boleh dibeli secara atas talian tanpa perlu pemeriksaan perubatan

    • Boleh diubah suai

    Terdapat pilihan untuk mengubah suai pelan bagi mendapatkan perlindungan yang lebih baik

    • Mudah dan ringkas

    Ia tidak mempunyai pelan berkaitan pelaburan atau polisi tambahan

    Kekurangan:

    • Tiada manfaat kematangan

    Jika anda hidup lebih daripada insurans bertempoh anda, premium yang dibayar kepada syarikat insurans akan kekal bersama mereka kerana ia (insurans) telah menjalankan tugasnya untuk memberi anda jaminan perlindungan sepanjang tempoh yang sepatutnya.

    • Peningkatan premium

    Tidak seperti insurans nyawa seumur hidup, anda tidak mempunyai pilihan untuk ‘mengunci’ premium yang anda bayar, yang bermaksud jika mereka menaikkan premium kerana faktor usia dan risiko yang dijangka semasa pembaharuan (polisi), anda perlu menghormati dan mengikuti harga baru tersebut atau menghentikan polisi.

    • Perlindungan terhad

    Sekiranya anda memerlukan perlindungan tambahan sepanjang polisi berlangsung, anda dikehendaki untuk membeli polisi insurans nyawa bertempoh yang baru dengan harga yang lebih tinggi ATAU membeli polisi insurans nyawa seumur hidup yang mana ia juga akan mahal disebabkan oleh faktor umur anda.

    • Tidak fleksibel

    Tidak seperti insurans nyawa seumur hidup, insurans nyawa bertempoh adalah lebih terhad dan ketat. Tidak akan ada sebarang kelonggaran untuk sebarang perubahan yang tidak dapat diramalkan seperti kehilangan pekerjaan atau tambahan tanggungan yang memerlukan anda untuk meningkatkan perlindungan.

    Bagaimana insurans nyawa bertempoh berfungsi?

    Konsepnya mudah sahaja. Tentukan jumlah yang anda mahu diiinsuranskan, jumlah tahun yang mahu dilindungi (minima 5 tahun), maka premium akan dikira untuk anda mula membayar.

    Contohnya, Hassan mempunyai polisi insurans nyawa bertempoh yang memberi perlindungan untuk kematian dan hilang upaya kekal (TPD) dengan jumlah perlindungan sebanyak RM500,000 bagi tempoh masa 15 tahun. Syarikat insurans akan memberikan jumlah premium yang dia akan bayar untuk tempoh 15 tahun akan datang. Menamakan isterinya sebagai penerima manfaat untuk polisinya, jika Hassan meninggal dunia dalam tempoh perlindungan, isterinya akan menerima jumlah yang dijamin. Sekiranya Hassan hilang upaya kekal dalam tempoh perlindungan, Hassan pula yang akan mendapat RM500,000 itu.

    Nota: Bagaimana premium dikira adalah berbeza mengikut syarikat insurans dan jenis insurans bertempoh itu sendiri. Jadi lebih baik berbincang dengan beberapa syarikat insurans sebelum membuat keputusan.

    Berapa jumlah perlindungan untuk insurans nyawa bertempoh saya perlu ambil?

    Pemahaman berapa banyak anda perlu diinsuranskan harus dinilai setelah meneliti keperluan kewangan anda sekarang dan masa hadapan. Ini hanya terpakai untuk insurans nyawa bertempoh sahaja. Jumlah yang anda putuskan adalah sangat penting kerana anda tidak boleh mengubah jumlah yang diinsuranskan setelah polisi berkuat kuasa.

    Kebiasaannya, untuk mengurangkan risiko ini, individu yang memberi insurans nyawa bertempoh akan membeli polisi rider (tambahan) untuk mendapatkan perlindungan tambahan bagi perkara yang tidak dilindungi oleh insurans nyawa bertempoh seperti penyakit kritikal.

    Dua perkara utama yang anda perlu kira adalah:

    • Jumlah perlindungan

    Ini adalah jumlah yang anda rasa anda perlukan (akan diberikan kepada anda atau keluarga anda) sekiranya berlaku hilang upaya kekal atau kematian.

    • Tempoh

    Tempoh ini bergantung kepada berapa lama anda mahu polisi ini melindungi anda sekiranya berlaku kematian pra matang. Penting untuk anda ketahui bahawa setelah polisi anda berakhir, premium akan meningkat dengan ketara jika anda ingin memperluaskan perlindungan atau membeli polisi insurans nyawa bertempoh yang baru.

    Ini merupakan perkara-perkara yang anda perlu pertimbangkan ketika mengira jumlah perlindungan (jumlah dijamin):

    • Komitmen bulanan/ kos sara hidup (perbelanjaan harian, pinjaman untuk keperluan seperti rumah dan kereta) untuk anda dan tanggungan (jika ada)
    • Berapa banyak tanggungan yang memerlukan penjagaan khas? (keadaan yang sudah wujud, ubat-ubatan untuk jangka masa panjang, kekerapan kunjungan ke hospital, dan lain-lain)
    • Kewajipan untuk masa depan seperti kos pendidikan tinggi
    • Pinjaman tertunggak (pinjaman peribadi, kad kredit, dan lain-lain)

    Di sini cara bagaimana untuk mengira jumlah perlindungan (jumlah dijamin) yang anda perlukan:

    1. Kira jumlah perbelanjaan tahunan anda

    Pertama, tentukan komitmen bulanan isi rumah anda. Ini adalah kos sara hidup untuk anda dan tanggungan anda (jika ada). Ia termasuk gadai janji, pinjaman kereta, bil berulang (seperti bil elektrik, dan bil air), perbelanjaan harian untuk barangan keperluan. Ambil jumlah itu dan kalikan dengan 12 bulan untuk mendapatkan kos jumlah perbelanjaan tahunan.

    2. Tentukan jumlah perlindungan (jumlah dijamin)

    Oleh itu, jumlah perlindungan yang anda cari haruslah berdasarkan jumlah perbelanjaan tahunan dikalikan dengan berapa lama yang anda jangka dana (wang pampasan) itu akan bertahan sehingga keluarga anda dapat betul-betul pulih setelah anda meninggal dunia atau hilang upaya kekal.

    3. Jumlah perlindungan

    Ambil jumlah perlindungan asas anda, dan tentukan sama ada anda mempunyai kos lain seperti penjagaan khas untuk diri sendiri atau tanggungan, pinjaman lain, atau kewajipan masa depan seperti pendidikan di peringkat tertinggi yang perlu disertakan.

    Jumlah akhir itu akan menjadi amaun minima yang anda perlu untuk diinsuranskan. Sesetengah individu mungkin menambah 20% – 30% untuk jumlah akhir ini dengan mengambil kira inflasi kerana insurans nyawa bertempoh tidak mempunyai pilihan bagi perlindungan inflasi rider (tambahan).

    Bagaimana cara untuk saya dapatkan insurans nyawa bertempoh?

    Anda boleh memohon insurans nyawa bertempoh secara atas talian ataupun melalui ejen. Namun anda perlu tahu bahawa terdapat beberapa perkara yang syarikat insurans akan lihat dan pertimbangkan sebelum melulus atau menolak permohonan anda.

    • Sejarah perubatan
    • Sejarah perubatan keluarga
    • Pekerjaan anda
    • Amalan gaya hidup

    Ini pula adalah perkara yang anda perlu elakkan ketika memohon insurans kerana mereka mungkin boleh gunakan untuk membatalkan keseluruhan polisi.

    • Salah guna
    • Penipuan
    • Menyembunyikan fakta (seperti rekod perubatan dan lain-lain)

    Ini adalah perlindungan tambahan yang anda boleh tambah di dalam insurans nyawa bertempoh untuk memanfaatkan sepenuhnya polisi anda:

    • Perlindungan tambahan penyakit kritikal – bayaran sekali gus akan diberikan apabila didiagnos dengan penyakit kritikal
    • Pengecualian premium TPD – bayaran premium tamat apabila pemegang polisi lumpuh ketika tempoh polisinya
    • Manfaat kematian yang dipercepat – di mana pemegang polisi menerima wang pendahuluan berbanding manfaat kematian apabila dia didiagnosis dengan penyakit terminal semasa polisi berjalan.
    • Kematian akibat kemalangan – memberikan pembayaran tambahan untuk jumlah perlindungan rider dalam situasi kematian akibat kemalangan.

    Pembayaran insurans nyawa bertempoh

    Pada dasarnya, kebanyakan pembayaran untuk insurans nyawa bertempoh akan dibuat secara sekali gus (lump sum) sekiranya anda telah memilih insurans ‘level term‘ yang merupakan sejenis insurans nyawa bertempoh paling biasa di Malaysia. Namun, terdapat dua jenis lain yang kurang dikenali dan mempunyai struktur pembayaran yang berbeza.

    Nota: ‘Level Term’ merupakan polisi yang mempunyai level manfaat kematian sepanjang anda memiliki polisi. Pewaris anda akan mendapat wang pampasan dalam jumlah yang sama tidak kira sama ada anda meninggal dunia pada tahun ketiga atau 10 tahun usia polisi anda.

    Insurans nyawa bertempoh gadai janji berkurangan

    Ini adalah sejenis insurans dalam insurans nyawa bertempoh yang boleh dibeli khusus untuk melindungi gadai janji sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal yang diinsuranskan. Ini adalah salah satu bentuk insurans nyawa bertempoh yang paling murah kerana pembayaran (pampasan) menurun mengikut gadai janji/ pinjaman anda yang tertunggak.

    Manfaat pendapatan keluarga

    Ia di mana pembayaran dibuat secara bulanan untuk jumlah tahun yang ditetapkan sekiranya berlaku hilang upaya kekal atau kematian orang yang diinsuranskan. Ia bukan sejenis insurans nyawa bertempoh yang biasa ditawarkan di Malaysia. Walau bagaimanapun, pilihan untuk menambahnya sebagai perlindungan tambahan (rider) untuk polisi sedia ada adalah tersedia.

    Baca ‘fine print’

    Sesetengah syarikat insurans mungkin mempunyai klausa atau fine print yang mereka mungkin tidak perjelaskan sepenuhnya. Sesetengah syarikat insurans mempunyai klausa di mana pembayaran akibat kematian semula jadi akan mengikut ‘sliding scale’.

    Nota tambahan: Sliding scale merupakan keadaan di mana syarikat insurans mempunyai klausa iaitu pembayaran (pampasan) yang disebabkan oleh kematian semula jadi tertakluk kepada beberapa faktor tertentu.

    Contoh: Sekiranya anda meninggal dunia akibat daripada kematian semula jadi dalam tempoh 6 bulan bulan pertama polisi insurans bertempoh anda, penama anda hanya akan menerima bayaran pampasan untuk premium yang anda telah bayar sehingga tempoh itu.

    Buat kajian & bandingkan dulu!

    Insurans nyawa bertempoh merupakan sejenis polisi yang individu ambil apabila mereka ingin memberikan bantuan kewangan segera kepada orang yang mereka sayang setelah kematian mereka atau hilang upaya kekal.

    Lakukan kajian mengenai polisi lain akan membantu anda membuat keputusan yang tepat mengenai cara terbaik untuk melindungi masa depan orang tersayang dan diri sendiri.

    Kami cadangkan kepada anda untuk melakukan lebih banyak pembacaan mengenai insurans nyawa, insurans penyakit kritikal dan insurans perubatan sebelum membuat keputusan mengenai insurans yang anda perlukan bagi melindungi masa depan anda.

    Rujukan:

    Sumber 1

    Sumber 2

    Sumber 3

    Sumber 4

    Sumber 5