Skip to content
Home » Cara Bantu Kenderaan Terlibat Kemalangan

Cara Bantu Kenderaan Terlibat Kemalangan

    Kemalangan depan mata

    Tahukah anda?

    Berdasarkan statistik tahun 2010 hingga 2019 yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), secara puratanya lebih 500,000 kes kemalangan jalan raya dilaporkan setiap tahun dengan melibatkan hampir 7,000 kematian.

    Berdasarkan daripada statistik tersebut, mungkin ada dalam kalangan pembaca di sini yang pernah menjadi mangsa kemalangan jalan raya, ataupun mungkin juga ada yang pernah menyaksikan kemalangan jalan raya berlaku di depan mata.

    Jika anda berada dalam situasi kedua (ternampak kemalangan di depan mata), apakah yang perlu anda lakukan? Abaikan sahaja dan teruskan perjalanan seperti biasa, atau siap sedia untuk membantu? 

    Teruskan membaca artikel ini untuk ketahui tindakan paling sesuai yang anda kena lakukan.

    Tidak membantu jika…

    Anda sedang melalui lebuh raya, secara tiba-tiba kereta di hadapan anda terlanggar divider jalan dan menghadapi kemalangan yang agak teruk.

    Sebagai pengguna jalan raya yang kebetulan ada di situ, anda boleh memperlahankan kenderaan dan cuba membantu mangsa.

    Jika niat untuk membantu itu betul, perlahankan kenderaan, parkir di tepi (tempat yang selamat) dan turun untuk teruskan membantu. Jangan perlahankan kenderaan semata-mata untuk merakam video kejadian sahaja. Ini bukan sahaja menunjukkan sikap anda yang tidak prihatin, malah juga menyusahkan pengguna jalan raya lain.

    Cara bantu kenderaan terlibat kemalangan

    Tanpa berlengah lagi, berikut Bjak kongsikan kepada anda cara betul untuk anda bantu mangsa kemalangan jalan raya.

    Lihat sekeliling

    Berikan bantuan jika anda melihat tiada siapa yang menolong lagi

    Kemalangan baru berlaku? Berhenti di tempat yang selamat dan bantulah mangsa.

    Jika kemalangan tersebut sudah dibantu oleh ramai orang, maka anda digalakkan untuk meneruskan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan trafik. 

    Catat maklumat kemalangan 

    Kenderaan anda ada dashcam? Maka anda sebenarnya akan sangat membantu mangsa kemalangan jalan raya terbabit. Namun jika tiada, anda juga boleh cuba mengingati detik serta punca kemalangan tersebut. Ini akan membantu dalam siasatan polis.

    Catatkan info penting termasuk kawasan kemalangan, nombor plat kenderaan terlibat, jumlah mangsa, tahap kecederaan mangsa dan punca kemalangan.

    Hubungi 999

    Hubungi 999 untuk dapatkan bantuan kecemasan bagi pihak mangsa

    Selesai mencatatkan maklumat, jangan berlengah lagi! Segera hubungi talian kecemasan 999 untuk melaporkan kejadian kemalangan terbabit. Jika boleh, maklumkan juga kondisi mangsa kemalangan supaya anggota perubatan tahu tindakan selanjutnya yang boleh mereka lakukan.

    Maklumkan juga maklumat penting seperti jenis kenderaan, jumlah kenderaan terbabit dan lain-lain yang anda rasa perlu untuk memudahkan bantuan diberikan.

    Hulurkan bantuan 

    Beri bantuan kepada mangsa jika anda melihat mangsa tersepit atau cedera ringan. Jika mangsa dilihat cedera parah sehingga tidak boleh bergerak, jangan sentuh mangsa untuk mengelak daripada menambahkan lagi kecederaan mangsa. 

    Jika mangsa masih sedar dan boleh bercakap, cuba dapatkan maklumat waris mangsa untuk dihubungi. 

    Buat pengagihan tugas

    Sebagai orang awam yang berhenti untuk cuba membantu mangsa, jangan buang masa dan cuba agihkan tugas sesama anda sementara menunggu pihak berkuasa dan ambulan sampai.

    Jika anda berkemahiran, cuba kawal lalu lintas di sekitarnya untuk memastikan trafik lancar. Pastikan juga bukti kemalangan dan barangan peribadi/ berharga mangsa tidak diganggu dan disimpan dengan baik.

    Tampil sebagai saksi

    Jadi saksi kemalangan jika anda menyaksikan kejadian

    Jika kemalangan tersebut betul-betul berlaku depan mata anda, maka anda dinasihatkan untuk tampil di balai polis sebagai saksi. Ia bagi membantu mangsa termasuklah bagi proses tuntutan insurans kereta atau motor nanti. 

    Berikan maklumat kepada polis setepatnya seperti apa yang anda nampak.

    Jangan pentingkan diri sendiri

    Malang tidak berbau dan sesiapa sahaja boleh terlibat dalam kemalangan tanpa mengira masa dan tempat. Jadilah pengguna jalan raya yang prihatin dan berikan bantuan yang sepatutnya jika anda menyaksikan kemalangan jalan raya. 

    Guna cara bantu kenderaan terlibat kemalangan yang dikongsikan di atas jika keadaan mengizinkan. Ingat, hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita!


    Bjak menyediakan lebih 10 jenama insurans untuk pengguna lakukan perbandingan. Dapatkan sebut harga percuma di Bjak dan pilih pelan terbaik hari ini!

    Baca juga:

    Tags: